Rotavirus punca cirit-birit yang membahayakan kanak-kanak – Dr Fazuliati Fauzi

CIRIT-BIRIT DISEBABKAN OLEH HUMAN ROTAVIRUS PADA KANAK-KANAK

Kanak-kanak sering mengalami cirit-birit dan mungkin dianggap biasa. Namun, tahukah anda cirit-birit yang disebabkan oleh kuman Rotavirus boleh menyebabkan kekeringan cecair badan (dehidrasi dan seterusnya boleh membawa maut.

Semua ibubapa haruslah peka dan perlu mengambil tahu tentang jangkitan Rotavirus ini, supaya tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan komplikasi dari jangkitan berlaku.

 

APAKAH ITU ROTAVIRUS?

Rotavirus mendapat namanya daripada bahasa latin rota yang bermaksud roda. Oleh kerana virus ini bentuknya seperti roda, maka pada tahun 1974, Thomas Henry Flewet menamakan Rotavirus kepada virus ini.

Rotavirus adalah virus yang paling biasa menyebabkan cirit-birit dan muntah yang teruk, yang boleh menyebabkan kehilangan cecair badan yang banyak dalam kalangan kanak-kanak.

Terdapat 9 spesis Rotavirus, namun Rotavirus A adalah spesis yang paling kerap ditemui menjangkiti manusia iaitu menyebabkan >90% jangkitan.

Rotavirus A juga dikenal pasti sebagai penyebab utama cirit-birit yang serius dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

Selepas dijangkiti kuman Rotavirus, badan mengambil masa lebih kurang 2 hari untuk menunjukkan gejala-gejala penyakit antaranya demam, cirit-birit, muntah dan sakit perut.

 

SIAPAKAH YANG BERISIKO MENDAPAT JANGKITAN KUMAN ROTAVIRUS?

Hampir semua kanak-kanak akan dijangkiti oleh kuman Rotavirus sebelum atau pada usia 5 tahun. Di Malaysia, kira-kira 22% hingga 50% daripada kes cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan Rotavirus.Terdapat satu kajian di Malaysia pada tahun 2016, menyatakan bahawa: Rotavirus menyebabkan 27 kematian, 31 000 kemasukan ke hospital, 41 000 rawatan pesakit luar dan 145 000 rawatan dirumah setiap tahun di Malaysia.

 

BAGAIMANA JANGKITAN ROTAVIRUS TERSEBAR?

Rotavirus mudah berjangkit dan tersebar dengan mudah melalui kaedah tangan ke mulut (fecal to oral), iaitu virus merebak melalui penyebaran daripada najis individu yang dijangkiti ke mulut individu yang lain. Sebagai contoh, seseorang menukar lampin bayi yang mengalami cirit-birit disebabkan Rotavirus dan dia tidak membasuh tangan dengan bersih, lalu memegang peralatan, permukaan atau makanan. Jika dia menyediakan makanan atau menyuap makanan kepada bayi atau individu lain, virus tersebut akan tersebar kepada mereka. Begitu juga jika bayi, kanak-kanak atau individu lain menyentuh permukaan atau peralatan yang dicemari dengan kuman Rotavirus dan selepas itu tangannya dimasukkan kedalam mulut atau untuk makan, mereka akan dijangkiti oleh virus tersebut.

Virus ini stabil dalam persekitaran dan boleh berjangkit dalam masa seminggu.

Mereka yang mengendalikan najis bayi, kanak-kanak atau individu yang dijangkiti Rotavirus, haruslah mencuci tangan dengan bersih dan manakala barang mainan kanak-kanak serta peralatan disekitarnya perlu sentiasa bersih.

 

APAKAH SIMPTOM/TANDA BIASA YANG AKAN DIHADAPI OLEH PESAKIT?

Antara simptom/tanda anak anda dijangkiti oleh kuman Rotavirus adalah:

  • Cirit-birit
  • Muntah
  • Sakit perut
  • Demam
  • Kelesuan

Simptom biasanya bermula dalam masa 2 hari selepas seorang kanak-kanak terdedah kepada kuman. Rotavirus dan biasanya cirit-birit berlarutan selama 3 hingga 8 hari.

 

APAKAH BAHAYA JANGKITAN ROTAVIRUS?

Bahaya utama daripada jangkitan Rotavirus ialah dehidrasi iaitu kehilangan cecair badan akibat dari cirit-birit dan muntah yang teruk, beserta pengambilan makanan/minuman yang kurang baik. Dehidrasi yang teruk boleh menyebabkan kegagalan organ dalaman seperti buah pinggang, dan jika dehidrasi tidak dirawat, hanya boleh membawa maut.

Awasi tanda-tanda dehidrasi pada anak anda, seperti:

  • Kurang membuang air kecil atau lampin kering
  • Mata cengkung
  • Menangis tanpa air mata
  • Bibir mulut dan lidah kering
  • Mudah meragam
  • Kulit kurang anjal
  • Letih lesu
  • Ubun-ubun mencengkung ke dalam pada bayi kecil

 

APAKAH RAWATAN JANGKITAN ROTAVIRUS?

Tiada rawatan khusus dan tiada antibiotik atau antiviral untuk membunuh kuman Rotavirus. Rawatan lebih menjurus untuk memastikan pesakit mendapat air yang cukup untuk mengelakkan dehidrasi dan menggantikan garam galian yang hilang disebabkan cirit-birit dan muntah. Ibubapa harus pastikan untuk memberi anak minum air yang cukup, dan juga larutan rehidrasi oral (ORS) untuk tujuan mengelakkan dehidrasi. Namun, sekiranya anak anda menunjukkan tanda-tanda dehidrasi, dia perlulah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan selanjutnya.

Di Malaysia, Jangkitan Rotavirus adalah punca cirit-birit yang utama menyebaban kanak-kanak memerlukan rawatan hospital dalam bentuk menerima rawatan transfusi( memasukkan) air melalui saluran darah (intravena). Kira-kira 25% hingga 50% kes cirit-birit yang memerlukan kemasukan ke wad berpunca dari Rotavirus.

 

BAGAIMANA JANGKITAN ROTAVIRUS BOLEH DITANGANI?

Bawalah anak anda berjumpa dengan doktor jika dia menunjukkan simptom cirit-birit dan muntah, serta simptom dehidrasi. Seperti dinyatakan sebelum ini, tiada ubat khusus bagi merawat jangkitan, namun doktor boleh memberikan ubat untuk melegakan/mengurangkan simptom. Antibiotik tidak berkesan terhadap jangkitan Rotavirus.

Tumpuan utama adalah untuk mengelakkan dehidrasi:

  • Bagi bayi: teruskan penyusuan susu ibu atau formula seperti biasa. Larutan rehidrasi oral mungkin diperlukan.
  • Bagi kanak-kanak lebih besar: pastikan memberi cecair secukupnya daripada minuman atau makanan. Digalakkan juga member larutan rehidrasi oral.

Elakkan minuman bergas, jus epal, produk tenusu dan makanan bergula, kerana ini mungkin membuat cirit-birit bertambah teruk.

BAGAIMANA JANGKITAN ROTAVIRUS BOLEH DICEGAH?

Amalan kebersihan diri yang baik ialah langkah pencegahan paling asas. Mencuci tangan dengan kerap dan teliti adalah penting terutamanya selepas menggunakan tandas, selepas menukar lampin bai atau selepas membantu anak menggunakan tandas. Permukaan perabut juga perlu dinyahjangkit secara berkala. Kaedah pencucian biasa tidak mencukupi.

Langkah terbaik adalah dengan menggunakan larutan peluntur (1 bahagian peluntur + 9 bahagian air) untuk menyahjangkit permukaan/objek.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation) menyarankan vaksinasi Rotavirus sebagai satu strategi pencegahan terhadap jangkitan Rotavirus.

Di Malaysia, walaupun tidak terdapat di dalam program imunisasi kebangsaan, vaksinasi terhadap jangkitan Rotavirus ini bole didapati di klinik atau hospital swasta. Vaksinasi Rotavirus adalah dalam bentuk cecair yang perlu diminum (oral vaksin), bole diberi kepada bayi seawal umur 6 minggu, dengan keseluruhan 2 atau 3 dos mengikut jenis vaksin yang diberikan.

Tanyalah doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksinasi Rotavirus.

Disediakan oleh:

Dr Fazuliati Binti Fauzi

Pakar Kanak-Kanak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box