Transient Synovitis: Radang Sendi yang Kerap Menyerang Pinggul Kanak-kanak – Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

“Anak saya ni tak mahu berjalan sejak semalam doktor!” Encik Amir mengadu kepada Dr. Nasriah yang bertugas di wad kecemasan. Anak Encik Amir, Hakim berusia 4 tahun hanya terbaring di katil.

“Anak Encik Amir ada tak demam kat rumah?” Dr. Nasriah bertanya sambal memeriksa suhu badan Hakim. Suhunya normal.

“Tak ada demam doktor. Saya ada periksa pakai termometer kat rumah tadi. Suhu Hakim normal sahaja. Cuma minggu lepas Hakim ada batuk-batuk sikit.”

“Ada encik perasan anak encik terjatuh sebelum tu?”

“Tak ada pulak doktor. Dia elok je main dengan adik dia yang dua tahun tu pagi semalam. Lepas tu tiba-tiba je mengadu sakit pinggul dalam tengahari dan tak mahu berjalan dah.

Senario di atas adalah antara yang kerap berlaku. Ibubapa mengadu anak mereka tidak mahu berpijak dan berjalan akibat kesakitan pada pinggul yang terlibat. Langkah membawa ke hospital dengan segera adalah tempat bagi memastikan diagnosis yang sebenar dan membolehkan rawatan segera diberi kepada anak anda.

 

Apakah Transient Synovitis?

Transient synovitis ialah keradangan pada tisu synovium di dalam sendi. Ia boleh berlaku pada mana-mana sendi namun ia paling kerap berlaku pada sendi pinggul (hip joint). Ia adalah punca utama yang menyebabkan sakit sendi pada kanak-kanak dan berlaku 3 peratus kepada kanak-kanak berusia antara 3 ke 10 tahun. Kanak-kanak lelaki mempunyai dua kali risiko untuk mendapat kondisi ini berbanding kanak-kanak perempuan.

Risiko

Punca sebenar kondisi ini belum diketahui namun ia dikaitkan dengan jangkitan bakteria dan virus, alahan dan trauma kepada sendi yang terlibat.

 

Simptom

Kanak-kanak biasanya akan mengadu sakit sendi dan tidak boleh berjalan atau berpijak. Anak anda mungkin mengalami demam atau mempunyai sejarah jangkitan tekak sebelum masalah ini timbul.

Pemeriksaan fizikal

Suhu kanak-kanak yang mengalami kondisi ini biasanya normal atau mempunyai suhu yang hanya sedikit tinggi (low grade fever). Pesakit akan meletakkan sendi pinggul kaki yang terlibat dalam keadaan sedikit bengkok (flexed, abducted and externally rotated) bagi merehatkannya. Pergerakan sendi masih boleh dilakukan namun sedikit terbatas kerana kesakitan.

Perlukan x-ray dilakukan?

Doktor akan melakukan x-ray bagi memastikan ia normal. Antara perkara tidak normal yang akan dipastikan melalui x-ray ialah kepatahan atau kerosakan pada tulang akibat jangkitan kuman (osteomyelitis). Dalam kes transient synovitis, x-ray adalah normal.

Siasatan lain

Antara siasatan lain yang mungkin akan dilakukan (jika difikirkan perlu) ialah pemeriksaan ultrabunyi (ultrasound) bagi melihat pengumpulan cecair atau nanah di dalam sendi.

Ujian darah akan menunjukkan bacaan keradangan ESR dan CRP yang normal. Bacaan sel darah putih pula adalah normal atau sedikit tinggi sahaja daripada paras normal.

Diagnosis

Transient synovitis adalah diagnosis yang dilakukan secara by exclusion. Dengan erti kata lain, kami perlu pastikan tiada diagnosis lain dahulu yang menyebabkan kesakitan kepada sendi pinggul yang menyebabkan anak anda tidak mahu berpijak dan berjalan.

Antara diagnosis lain yang perlu disisihkan termasuk:

  1. Septic arthritis (nanah di dala, sendi pinggul)
  2. Kepatahan pada tulang sendi pinggul
  3. Sendi pinggul terkeluar (hip dislocation)
  4. Perthes disease
  5. Slipped Upper Femoral Epiphysis (SUFE)
  6. Masalah lutut atau tulang belakang

Rawatan

Apabila diagnosis transient synovitis telah dipastikan, rawatan yang akan diberikan termasuk ubat anti-radang dan ubat tahan sakit. Sendi juga akan dituam dengan menggunakan ais bagi mengurangkan keradangan. Pesakit akan diminta untuk tidak berpijak buat sementara bagi merehatkan sendi pinggul. Terdapat kes tertentu dimana kaki pesakit akan dipasang skin traction iaitu ditarik dengan menggunakan pemberat bagi membolehkan sendi direhatkan.

Transient synovitis bersifat self-limiting, pesakit akan mula sembuh dan boleh berjalan kembali selepas 24 ke 48 jam dan sembuh sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Prognosis

Prognosis kepada kondisi ini adalah baik namun ia mempunyai kebarangkalian untuk kembali terjadi dalam 20 peratus kes.

Kesimpulan

Anda perlu segera ke hospital sekiranya anak anda tidak mahu berpijak atau berjalan. Kami perlu pastikan diagnosis anak anda terutamanya Septic arthritis iaitu jangkitan kuman berlaku pada sendi pinggul anak anda.

Septic arthritis adalah kondisi serius yang memerlukan pembedahan dilakukan bagi membolehkan nanah dikeluarkan dan sendi dicuci. Sekiranya sendi tidak dibersihkan dan nanah tidak dikeluarkan, ia boleh menyebabkan sendi menjadi rosak. Dalam kes yang serius, pesakit boleh meninggal akibat jangkitan kuman yang merebak ke dalam sistem peredaran darah.

Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Beliau juga penasihat The Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan

  1. https://www.orthobullets.com/pediatrics/4030/transient-synovitis-of-hip
  2. Review of Orthopaedics 5th Mark D. Miller. Sauders Elsevier. page232

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box