Ceria Sepanjang Usia: Apa Itu Demensia? – Dr Farizah Mohd Hairi dan Muhammad Haizril Arif Bin Md Mokhtar

Demensia adalah satu istilah umum untuk sejenis penyakit pelbagai gejala yang disebabkan oleh kerosakan pada otak. Gejala penyakit demensia ini berlaku dengan cara yang berbeza, bergantung kepada bahagian-bahagian otak yang terjejas. Ianya boleh merangkumi masalah hilang ingatan, penyusutan kebolehan berfikir, kebolehan menyelesaikan masalah, masalah pergerakan fizikal, kesukaran berkomunikasi, kawalan emosi, perubahan tingkah laku dan personaliti.

 

Justeru itu, sekiranya seseorang mengalami demensia, ianya akan menjejaskan kebolehan seseorang untuk berfikir, menyelesaikan masalah, berkomunikasi, menjalankan aktiviti harian, dan mengawal emosi; juga menyebabkan kesukaran bagi individu yang mengalami demensia untuk menjalani kehidupan seharian dengan kemampuan kognitif dan pergerakan mereka yang semakin terjejas, dan kemudiannya menyebabkan seseorang itu memerlukan penjagaan jangka masa panjang sekiranya demensia yang dialaminya bertambah teruk. Keadaan akan menjadi lebih buruk, lebih-lebih lagi jika seseorang yang mengalami demensia itu tidak mendapat sokongan atau bantuan daripada orang yang rapat seperti ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan, atau jiran terdekat.

 

Menurut kajian, berikut merupakan di antara beberapa faktor atau risiko yang mempengaruhi seseorang untuk mendapat demensia: –

  • Sesetengah jenis demensia lebih tinggi di kalangan wanita.
  • Individu yang mengalami pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, dan penyakit jantung.
  • Gaya hidup dan persekitaran.
  • Individu yang terencat akal atau mengalami masalah pembelajaran.
  • Faktor genetik atau keturunan.

Anggaran peratusan risiko seseorang itu menghidap demensia adalah sebanyak lima peratus untuk mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan akan berganda bagi setiap lima tahun usia meningkat. Malah, peratusan risiko meningkat kepada 25% bagi umur 85 tahun ke atas. Namun, demensia juga boleh berlaku dalam kalangan individu yang berumur kurang daripada 60 tahun.

Apakah tanda-tanda dan gejala demensia?

Demensia bukanlah proses penuaan yang normal. Ia merupakan suatu penyakit yang boleh menjejaskan fungsi otak secara berperingkat yang membawa kepada kemerosotan keupayaan otak untuk berfungsi dengan baik. Secara umumnya tanda-tanda dan gejala penyakit demensia ini adalah seperti berikut:

a. Kemerosotan daya ingatan dan daya fikir.

  • Kesukaran untuk mengingati perkara yang berlaku dalam seharian seperti kerap tertinggal barang, atau tidak berupaya mengingati di mana barang tersebut diletakkan.
  • Kemerosotan justifikasi kelakuan seperti meletakkan barang di tempat yang ganjil sehingga menyebabkan kesukaran untuk mengingatinya semula seperti meletakkan cermin mata di dalam peti sejuk.
  • Semakin sukar untuk memahami sesuatu perkara atau maklumat yang kompleks atau rumit.

b. Kesukaran menjalani urusan harian.

  • Penyusutan kebolehan pergerakan untuk menjalani aktiviti seharian seperti memasak, mengemas rumah, urusan kebersihan diri, dan mengenakan pakaian.
  • Mula mengalami masalah pergerakan dan justifikasi pergerakan seperti menganggar jarak anak tangga, melangkah longkang, atau ketidakseimbangan badan di atas permukaan licin.
  • Kemerosotan kemahiran diri seperti menjahit, bertukang, atau berkebun.
  • Masalah pemikiran abstrak seperti kerap mengalami kesukaran membezakan dan menentukan pilihan ketika membeli belah, atau menilai sesuatu.

c. Masalah berkomunikasi dan memahami maklumat.

  • Kesukaran mencari dan menggunakan perkataan yang mudah, sebagai contoh objek harian ‘sikat’ digantikan dengan perkataan atau frasa yang ganjil seperti ‘benda yang kita guna untuk rambut’.
  • Kesukaran menerangkan sesuatu, atau kerap mengulangi percakapan.

d. Keliru tentang masa, tempat, dan keadaan.

  • Masalah orientasi diri seperti kerap lupa tarikh dan hari, hilang arah walaupun di kawasan yang biasa dilalui, atau lupa arah tuju ke sesuatu tempat yang sebelum ini biasa pergi.

e. Perubahan sikap dan tingkah laku.

  • Kawalan emosi tidak menentu dan ada kalanya berlaku secara tiba-tiba tanpa sebab seperti mudah marah, ketawa berlebihan, menangis, mudah curiga, atau murung.
  • Perubahan fungsi otak yang menyebabkan seseorang individu bertindak di luar kawalan diri dan berbeza dari personaliti biasa mereka.

f. Perubahan minat dan cita rasa.

  • Hilang minat terhadap sesuatu yang digemari suatu ketika dahulu.
  • Menjauhkan diri dari terlibat dalam aktiviti-aktiviti sosial.

Peringkat Demensia

Walaubagaimanapun tanda-tanda dan gejala penyakit demensia ini adalah berbeza bagi setiap individu. Penjaga warga emas mungkin dapat mengesan tanda-tanda awal penyakit demensia ini, akan tetapi mereka berkemungkinan mengabaikannya kerana beranggapan ia hanya suatu proses penuaan yang normal. Malah ada di antara mereka tidak menyedarinya di peringkat awal sehinggalah warga emas yang menghidap demensia ini berada di peringkat pertengahan.

Berikut adalah beberapa peringkat demensia yang dibahagikan kepada peringkat awal, pertengahan dan akhir:

Peringkat Awal

  • Mudah lupa walaupun terhadap perkara-perkara mudah seperti mengingati semula perkara yang baru sahaja berlaku.
  • Masalah dalam berkomunikasi seperti kesukaran untuk menerangkan sesuatu perkara dengan ringkas dan mudah.
  • Merasa bingung dan keliru di dalam rumah sendiri seperti kesukaran mengingati dan mencari barang yang diletakkan di suatu tempat.
  • Mudah keliru dan sukar untuk mengingati tarikh, masa, atau tempat.
  • Mengalami kesukaran untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah harian.
  • Mudah keliru dan mengalami kesukaran mengurus hal-hal kewangan dan harta.
  • Kemerosotan keupayaan pemikiran dan pergerakan dalam melakukan urusan harian seperti memandu kenderaan, mengemas rumah, memasak, atau mengurus kebersihan diri.
  • Perubahan emosi – mudah marah, sensitif, atau kemurungan.

Peringkat Pertengahan

  • Kemerosotan daya ingatan, bukan sahaja kesukaran mengingati semula perkara yang baru sahaja berlaku, malah juga sukar mengingati nama seseorang.
  • Mudah keliru tentang tempat seperti mengingati laluan perjalanan, dan perbezaan jarak sesuatu tempat.
  • Mudah keliru tentang waktu, dan perbezaan pagi, petang, dan malam.
  • Kemahiran berkomunikasi semakin merosot.
  • Mungkin memerlukan bantuan mengurus diri seperti mandi, buang air, dan mengenakan pakaian.
  • Mungkin memerlukan bantuan dalam urusan harian seperti pergi ke suatu tempat, kerja rumah, dan hal-hal kewangan.
  • Perubahan sikap – kerap termenung, merayau-rayau tanpa hala tuju, pengulangan dalam percakapan, mengalami halusinasi, dan sering mengigau ketika tidur.

Peringkat Akhir

  • Tidak menyedari peredaran masa dan perbezaan tempat.
  • Hilang daya ingatan dan kemampuan berfikir secara rasional.
  • Tidak menyedari atau mengetahui perkara yang berlaku di sekeliling.
  • Tidak mengenali atau mengingati ahli keluarga, saudara-mara, jiran tetangga, atau rakan-rakan.
  • Tidak berupaya mengurus diri sendiri dan menjalani urusan harian.
  • Berkemungkinan mengalami masalah menahan buang air kecil dan air besar.
  • Mengalami masalah pergerakan atau lumpuh.
  • Perubahan sikap dan personaliti yang lebih agresif seperti menjerit-jerit, memberontak, dan kerap membaling barang.

Demensia menyebabkan keterbatasan terhadap keupayaan dan kebolehan seseorang yang semakin dimamah usia itu untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Oleh yang demikian, kemerosotan ini lebih jelas berlaku di peringkat pertengahan seterusnya bertambah serius di peringkat akhir.

Perubahan fizikal dan kognitif yang disebabkan oleh penyakit demensia ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang menghidapnya tetapi juga memberi tekanan kepada ahli keluarga atau penjaga. Ambil prihatin dan cakna terhadap tanda-tanda dan gejala demesia ini. Jadikanlah kehidupan Warga Emas kita sentiasa Ceria Sepanjang Usia!

Dipetik daripada ‘Modul Latihan Demensia’ yang disediakan oleh Prevent Elder Abuse and negleCt initiativE(PEACE), Centre for Epidemiology and Evidence-Based Practice, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, 2020.

 

Dr Farizah Hairi adalah Professor Madya dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Malaya. 

Muhammad Haizril Arif Bin Md Mokhtar
memperolehi Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) (Komunikasi Antarapersonal), dari UiTM Shah Alam.

Beliau adalah seorang Penolong Penyelidik yang bekerja di bawah projek Prevent Elder Abuse and Neglect Initiative (PEACE) selama 4 tahun di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan & Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Rujukan:

  1. David J. Libon, Melissa Lamar, Rodney A. Swenson, Kenneth M. Heilman (Eds) (2020). Vascular Disease, Alzheimer’s Disease, and Mild Cognitive Impairment. Oxford University Press, UK.
  2. O’Brien JT, Firbank MJ, Ritchie K, et al. (2020). Association between midlife dementia risk factors and longitudinal brain atrophy: the PREVENT-Dementia study. Journal of Neurology, Neurosurgery & Psychiatry; 91:158-161.
  3. Beydoun M.A., Kivimaki M. (2020). Midlife obesity, related behavioral factors, and the risk of dementia in later life. Neurology; 94 (2) 53-54.
  4. Sarah Floud S, Simpson R. F, Balkwill A, et al. (2020). Body mass index, diet, physical inactivity, and the incidence of dementia in 1 million UK women. Neurology; 94 (2) e123-e132.
  5. Wium-Andersen, I., Rungby, J., Jørgensen, M., Sandbæk, A., Osler, M., & Wium-Andersen, M. (2020). Risk of dementia and cognitive dysfunction in individuals with diabetes or elevated blood glucose. Epidemiology and Psychiatric Sciences; 29, E43.
  6. World Health Organization, Dementia. Access in January 2020 from https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/dementia
  7. Yates, J. A., Clare, L., & Woods, R. T. (2015). Subjective memory complaints, mood and MCI: a follow-up study. Aging and M

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box