Kesan merokok dan vape pada sistem imun manusia – Dr Noraziah Nordin (PhD) & Nur Syahmina Mohd Zamberi

Pengenalan

Merokok adalah suatu perbuatan di mana bahan terbakar dan asap yang terhasil disedut dan diserap ke dalam peredaran darah melalui paru-paru manakala vape ialah penggunaan e-rokok atau peranti elektronik dengan menyedut bahan kimia seperti nikotin atau perisa sebagai wap [1-2]. Sistem penghantaran nikotin elektronik (ENDS) dan sistem penghantaran bukan nikotin elektronik (ENNDS), biasanya dimaksudkan untuk e-rokok yang dikenali sebagai alat yang memanaskan cecair untuk membentuk wap udara kemudian dihirup oleh pengguna. Kedua-dua penggunaan rokok dan e-rokok telah merekodkan jutaan masalah kesihatan yang dikaitkan dengan masalah gangguan otak, pernafasan, kardiovaskular, jangkitan dan juga keganasan. Sistem imun badan juga boleh terjejas di sebabkan oleh penghasilan beberapa mediator imunologi atau inflamasi, seperti sitokin pro-radang dan anti-radang yang dikaitkan dengan rokok [3].

Kandungan e-rokok (rokok elektronik)

 

E-rokok dicipta di China pada tahun 2003 sebagai pengganti rokok mudah terbakar dan ia mula muncul di pasaran di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2006. Ia dicipta sebagai alternatif kepada rokok tradisional. E-rokok digunakan dengan cara mengewapkan cecair dan wap yang terhasil disedut ke dalam saluran pernafasan. Semasa melakukan vape, e-rokok memanaskan cecair menggunakan sumber kuasa, elemen pemanas dan takungan cecair. Terdapat tiga jenis bahan di dalam e-rokok iaitu perasa, pelarut seperti propilena glikol atau gliserin sayuran, serta bahan ketagihan seperti nikotin dan/atau tetrahydrocannabinol (THC) [4].

Kandungan asap tembakau dalam rokok

 

Pembakaran tembakau daripada rokok mengandungi beberapa bahan berbahaya, termasuklah kadmium, produk berasaskan nikotin, nitrogen oksida dan karbon monoksida. Lebih empat ribu komponen kimia, termasuk lebih 60 karsinogen boleh didapati dalam asap tembakau. Daun tembakau hijau secara semula jadi mengandungi kira-kira separuh daripada bahan kimia ini. Karbon monoksida, hidrogen sianida, benzena, formaldehid, nikotin, fenol, hidrokarbon aromatik polisiklik (PAH) dan nitrosamin khusus tembakau (TSNA) antara beberapa sebatian yang terdapat dalam asap tembakau [5].

Kesan nikotin pada sistem imun

Produk tembakau yang mengandungi nikotin telah dikaitkan dengan penurunan fungsi sistem imun, mempengaruhi kedua-dua proses imunosupresif dan pengaktifan imun, serta risiko jangkitan pernafasan dan penyakit autoimun yang lebih tinggi. Kajian secara in-vitro telah menunjukkan bahawa nikotin menyekat tindak balas imun, melemahkan pertahanan antimikrob serta meningkatkan keradangan yang membimbangkan sistem imunologi manusia [6-7]. Nikotin diketahui mempunyai sifat imunosupresif dan berinteraksi dengan nAChR (reseptor nikotinik asetilkolin) pada permukaan sel imun seperti makrofaj, limfosit T dan B [8-10]. Keadaan ini boleh mempengaruhi perubahan molekul, biokimia dan fungsi jangka panjang sistem imun manusia.

Kesan wap e-rokok dan asap tembakau ke atas sistem imun

Pendedahan kepada wap vape selama sejam akan menyebabkan aktiviti antimikrobial manusia yang melibatkan jangkitan keratinosit-MRSA akan berkurangan. Pendedahan selepas dua jam kepada wap vape pula mengakibatkan aktiviti antibakteria murine dan neutrofil manusia, yang merupakan pengantara imuniti semula jadi yang penting dan pembersihan bakteria dalam badan terjejas. Namun, pengurangan dalam aktiviti antibakteria ini tidak dikaitkan dengan dos nikotin. Kajian yang dijalankan kepada tikus makmal yang didedahkan kepada wap vape dalam tempoh empat minggu mendapati  peningkatan ketara dalam penanda keradangan. Selain itu, kajian mendapati bakteria MRSA yang terdedah dengan wap vape menghasilkan lebih banyak biofilm, lebih hidrofobik, dan melekat pada keratinosit manusia dengan kadar yang lebih tinggi [11]. Semua kajian ini dapat menjurus kepada kelemahan sistem imun manusia.

Kajian lain oleh Sussan et al menggunakan model tikus menunjukkan bahawa wap vaping menyebabkan keradangan saluran udara dan mengurangkan tindak balas imunologi terhadap virus dan bakteria [12]. Pendedahan wap vape membawa kepada tahap penunjuk tekanan oksidatif yang lebih tinggi dalam paru-paru tikus berbanding pendedahan udara. Wap e-rokok juga menyebabkan sel-sel epitelium alveolar jenis II pada saluran pernafasan seseorang merosot lebih cepat daripada individu yang hanya terdeah kepada udara [13].

Pendedahan kepada wap vape dan juga asap rokok meningkatkan bilangan makrofaj dalam saluran udara menyebabkan tindak balas kepada keradangan. Tikus yang terdedah kepada wap vape mempunyai tindak balas paru-paru yang lebih lemah terhadap jangkitan Streptococcus pneumoniae berbanding dengan tikus yang tidak terdedah dengan wap vape. Tikus yang diberi dos intranasal virus influenza H1N1 menunjukkan hasil yang sama apabila didedahkan dengan wap vape dengan mengakibatkan peningkatan virus, penurunan berat badan, dan kematian kepada tikus kajian [12].

Merokok mengurangkan bilangan sel NK (natural killers) yang dianggap sebagai punca kadar aktiviti sel NK menurun [14]. Sel NK adalah sel yang penting dalam tindak balas sistem imun terhadap tumor dan jangkitan virus. Sel NK menyokong kedua-dua sistem imun semula jadi dalam badan dan yang diperolehi daripada luar badan. Kajian yang telah dijalankan ke atas manusia menunjukkan merokok menurunkan peratusan sel NK yang ketara secara berterusan selama bertahun-tahun sehingga merokok dihentikan. Perokok dan bekas perokok mempunyai 25% lebih sedikit sel NK daripada bukan perokok [15]. Telah dilaporkan bahawa penurunan dalam fungsi sel NK boleh menyumbang kepada pertumbuhan kanser. Keadaan ini bermungkinan di sebabkan oleh komponen nikotin atau tembakau yang mengurangkan aktiviti sel NK yang bertindak kepada perkembangan penyakit kanser paru-paru khususnya[16].

Pendedahan kepada aerosol daripada e-rokok mengubah sel imun semula jadi dalam paru-paru. Vaping mencetuskan penyempitan saluran pernafasan dan pengeluaran lendir yang mengakibatkan permulaan bronkitis kronik sehingga membawa kepada gejala pernafasan seperti batuk dan sesak nafas [4]. Vaping juga meningkatkan risiko individu untuk didiagnosis menghidap asma. Berdasarkan kajian in vitro, in vivo, dan penyelidikan ke atas subjek manusia, penyedutan aerosol daripada e-rokok dalam jangka masa panjang akan menyebabkan perubahan patologi dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit paru-paru [4].

 

Merokok dan vaping menurut perspektif Islam

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah dilarang kerana ia memudaratkan badan, mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, mengandungi racun, dan membazir wang [17].

Allah SWT berfirman:

‘Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam kebinasaan.’ (Surah al-Baqarah 2: 195)

Dr Muhammad Ali al-Bar yang merupakan penulis Hal al-Tabgh wa al-Tadkhin min al- Maharramat menyatakan bahawa kesan merokok lebih berbahaya daripada taun, cacar, dan kusta. Ini menunjukkan bahawa, sebagai umat Islam, kita dilarang daripada mendedahkan diri kita kepada kemudaratan kepada tubuh badan kita.

Rasullulah s.a.w juga pernah bersabda:

‘Seharusnya tidak ada kemudaratan mahupun balasan kemudaratan’. [Sunan Malik (1435), Sunan Ibn Majah (2341), Sunan Ahmad dan al- Daraqutni]

Merokok dan menghisap vape juga membazirkan wang. Mufti Kerajaan Brunei Darussalam berkata: ‘Tidak dinafikan, menggunakan wang untuk membeli rokok adalah sama dengan membuang wang.

Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya’. (Surah al-Isra’ 17: 27)

Kesimpulan

Berdasarkan kajian dan dalil daripada al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w menunjukkan bahawa merokok dan vape memberi kesan buruk kepada sistem imun manusia. Perokok dan penghisap vape harus mempertimbangkan untuk berhenti dan mempunyai motivasi yang tinggi untuk memperbaiki dan mengekalkan kualiti hidup yang sihat kerana tubuh badan kita adalah amanah Allah yang akan dipersoalkan olehNya di akhirat kelak.  Terdapat cadangan motivasi yang boleh membantu orang ramai untuk berhenti merokok, antaranya menetapkan tarikh untuk berhenti merokok, yakin dengan keputusan, membuat nota peringatan, bercakap dengan diri sendiri bahawa ”Saya bukan perokok atau penghisap vape”, sentiasa berfikiran positif, mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan, menggunakan terapi penggantian nikotin dan mendapatkan bantuan daripada klinik berhenti merokok. Motivasi yang paling penting yang boleh diamalkan oleh seorang muslim adalah memikirkan akibat yang bakal dihadapi jika melakukan perkara yang tidak disukai oleh Allah swt.

Rujukan

  • World Health Organization. (2022). Tobacco. Retrieved from: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/tobacco
  • Cambridge Advanced Learner’s Dictionary & Thesaurus. Retrieved from https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/vaping
  • Qiu F, Liang CL, Liu H, Zeng YQ, Hou S, Huang S, Lai X, Dai Z. Impacts of cigarette smoking on immune responsiveness: up and down or upside down? Oncotarget. 2017 Jan 1;8(1):268.
  • Casey AM, Muise ED, Alexander LE. Vaping and e-cigarette use. Mysterious lung manifestations and an epidemic. Current opinion in immunology. 2020 Oct 1;66:143-50.
  • Engstrom PF, Clapper ML, Schnoll RA. Physiochemical Composition of Tobacco Smoke. In: Kufe DW, Pollock RE, Weichselbaum RR, et al., editors. Holland-Frei Cancer Medicine. 6th edition. Hamilton (ON): BC Decker; 2003. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK13173/
  • Mahapatra SK, Bhattacharjee S, Chakraborty SP, Majumdar S, Roy S. Alteration of immune functions and Th1/Th2 cytokine balance in nicotine-induced murine macrophages: immunomodulatory role of eugenol and N-acetylcysteine. International immunopharmacology. 2011 Apr 1;11(4):485-95.
  • Matsunaga K, Klein TW, Friedman H, Yamamoto Y. Involvement of nicotinic acetylcholine receptors in suppression of antimicrobial activity and cytokine responses of alveolar macrophages to Legionella pneumophila infection by nicotine. The Journal of Immunology. 2001 Dec 1;167(11):6518-24.
  • Sopori M. Effects of cigarette smoke on the immune system. Nature Reviews Immunology. 2002 May 1;2(5):372-7.
  • Cui WY, Li MD. Nicotinic modulation of innate immune pathways via α7 nicotinic acetylcholine receptor. Journal of neuroimmune pharmacology. 2010 Dec;5:479-88.
  • Cloez-Tayarani I, Changeux JP. Nicotine and serotonin in immune regulation and inflammatory processes: a perspective. Journal of Leucocyte Biology. 2007 Mar;81(3):599-606.
  • Control of Tobacco Product and Smoking Bill 2022 https://www.parlimen.gov.my/ipms/eps/2022-07-28/DR.9.2022%20%20DR%209.2022.pdf
  • Sussan TE, Gajghate S, Thimmulappa RK, Ma J, Kim JH, Sudini K, Consolini N, Cormier SA, Lomnicki S, Hasan F, Pekosz A. Exposure to electronic cigarettes impairs pulmonary anti-bacterial and anti-viral defenses in a mouse model. PloS one. 2015 Feb 4;10(2):e0116861.
  • Hwang JH, Lyes M, Sladewski K, Enany S, McEachern E, Mathew DP, Das S, Moshensky A, Bapat S, Pride DT, Ongkeko WM. Electronic cigarette inhalation alters innate immunity and airway cytokines while increasing the virulence of colonizing bacteria. Journal of molecular medicine. 2016 Jun;94:667-79.
  • Tollerud DJ, Clark JW, Brown LM, Neuland CY, Mann DL, Pankiw-Trost LK, Blattner WA, Hoover RN. Association of cigarette smoking with decreased numbers of circulating natural killer cells. Am Rev Respir Dis. 1989 Jan 1;139(1):194-8.
  • Tollerud DJ, Clark JW, Brown LM, Neuland CY, Mann DL, Pankiw-Trost LK, Blattner WA, Hoover RN. Association of cigarette smoking with decreased numbers of circulating natural killer cells. Am Rev Respir Dis. 1989 Jan 1;139(1):194-8.
  • Barbour SE, Nakashima K, Zhang JB, Tangada S, Hahn CL, Schenkein HA, Tew JG. Tobacco and smoking: environmental factors that modify the host response (immune system) and have an impact on periodontal health. Critical Reviews in Oral Biology & Medicine. 1997 Oct;8(4):437-60.
  • Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Bayan. Mufti Wilayah Persekutuan. (2015). Linnas Siri Ke-18: Merokok: Hukum Dan Penyelesaiannya. Retrieved from https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/2634-bayan-linnas-siri-ke-18-merokok-hukum-dan-penyelesaiannya

 

Artikel ini ditulis oleh:

Dr. Noraziah Nordin, pensyarah kanan, USIM

Nur Syahmina Mohd Zamberi, pelajar perubatan, USIM

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box