Jangkitan Japanese Encephalitis (JE): Sejarah yang Kian Berulang ! – Dr Shaiful Ehsan

Sumber gambar: NPR

Beberapa hari yang lalu, negara kita dikejutkan sekali lagi dengan penularan penyakit Japanese Encephalitis atau JE di Sarawak. Sejak awal tahun ini, sebanyak lima kes jangkitan telah dilaporkan iaitu menyamai separuh daripada jumlah keseluruhan kes berbanding tahun lalu. Jumlah ini dikhuatiri makin meningkat dan penyakit ini boleh merebak menjadi wabak jika tidak dibasmi. Jangkitan yang suatu masa dahulu terkawal dan jarang diperkatakan kini mula menghantui corak dan statistik jangkitan penyakit di dalam negara kita – seiring dengan kemunculan kembali jangkitan penyakit berjangkit yang lain. Justeru langkah berjaga-jaga telah diambil berat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia termasuk memantau status imunisasi JE di kalangan golongan sasar iaitu remaja.   Masyarakat umum juga boleh membantu dengan mengambil tahu berkenaan penyakit JE serta mengamalkan langkah pencegahan. Justeru, mari kita kenali apa itu JE?

Apa itu JE ?

Sumber gambar: CDC

Penyakit Japanese encephalitis atau J.E. adalah jangkitan kuman oleh virus “Japanese encephalitis”, iaitu daripada keluarga flavivirus. Ianya adalah penyakit yang merebak kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culicine yang dijangkiti virus JE. Ianya secara kitaran menjangkiti haiwan seperti khinzir dan burung liar yang kemudiannya dibawa oleh nyamuk kepada manusia. Nyamuk ini selalunya mengigit pada waktu senja dan malam. Perlu diingatkan bahawa manusia tidak bertindak sebagai ejen penyebaran di mana jangkitan daripada manusia ke manusia tidak berlaku.

Setelah gigitan nyamuk, virus ini akan merebak dan membiak di dalam aliran darah dan mengakibatkan gejala-gejala seperti demam, lemah-lemah badan, muntah dan kurang selera badan; iaitu selepas lima hingga 15 hari virus ini menjangkiti manusia. Kebanyakan pesakit juga tidak menunjukkan sebarang tanda yang jelas. Namun, kesan jangkitan yang paling ketara adalah jangkitan kepada otak (acute encephalitis) yang mana boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk, keletihan, kurang daya tumpuan, tidak sedarkan diri, sawan, ganguan pernafasan, ganguan saraf pada otot dan badan atau lumpuh. Selanjutnya pesakit boleh menjadi koma.

Apakah komplikasi penyakit JE?

Ianya boleh mengakibatkan kecederaan kekal pada otak dan kematian. Sekiranya sembuh, separuh pesakit mengalami perkembangan otak yang terencat dan menjadi kurang upaya atau cacat badan. Kematian berlaku pada kadar yang tinggi iaitu satu pertiga daripada mereka yang mengalami jangkitan otak (encephalitis).

Bagaimana dengan sejarah JE di Malaysia?

Penyakit JE adalah endemik dan senantiasa ada di negara-negara Asia seperti Malaysia, Vietnam, China, Japan, Nepal, Vietnam dan India; iaitu negara yang mempunyai iklim yang panas dan ternakan khinzir yang banyak. Kes pertama dilaporkan di Malaysia adalah pada tahun 1951 ketika berlaku wabak di kalangan banduan British pada perang dunia kedua. Sejak itu, kes JE di Malaysia berlaku pada kadar yang terkawal namun beberapa kes wabak telah berlaku seperti di Langkawi (1974), Pulau Pinang (1988), dan Serian, Sarawak (1992). Pada tahun 1999, wabak JE yang besar telah berlaku di mana lebih daripada 50 orang meninggal dunia dan beratus-ratus khinzir telah dimusnahkan untuk mengawal jangkitan di seluruh negara.

Siapa yang cenderung mendapat jangkitan JE?

Di kawasan yang endemik seperti Malaysia, jangkitan JE mudah terjadi pada kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah. Masyarakat yang lebih dewasa kebanyakannya sudah terdedah dengan virus JE secara tidak langsung justeru mendapat imunisasi secara semulajadi dan kurang risiko mendapat jangkitan yang teruk.

Sumber gambar: MpStudy

Bagaimana ia boleh merebak?

Melalui jangkitan nyamuk iaitu bawaan nyamuk dari haiwan yang menjadi perumah virus JE kepada manusia. Ianya mudah merebak pada mereka yang tidak mendapat imunisasi menentang jangkitan JE.

Bagaimana jangkitan JE dapat dikesan?

Jangkitan JE dapat dikenalpasti apabila pihak doktor melalui pengambilan sampel darah atau air sum-sum tulang dan mengenalpasti kuman dari sampel tersebut melalui ujian di makmal.

Adakah ianya boleh dirawat?

Sehingga kini, tiada rawatan khusus untuk penyakit JE. Tiada lagi ubat yang dapat membunuh virus ini. Rawatan yang ada adalah lebih kepada rawatan sokongan dan mengelakkan komplikasi yang lebih teruk. Justeru, pencegahan adalah langkah yang terbaik.

Bagaimana mencegah jangkitan JE?

Langkah pencegahan adalah melalui kawalan pembiakan nyamuk dan mengelakkan diri dari gigitan nyamuk.

Namun, langkah yang paling bijak adalah dengan mengambil vaksinasi terutama bagi golongan berisiko tinggi (kanak-kanak) untuk mencegah penularan jangkitan JE.

 

Sumber gambar: The Star Online

Bagaimana dengan jadual imunisasi vaksin JE di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia?

Ianya diberikan di Sarawak sahaja kepada bayi berusia 9 bulan dan ke. Namun, ianya digalakkan pada semua kanak-kanak berusia 9 bulan dan ke atas di Malaysia.

Bagaimana jika anak saya tidak pernah mendapatkan imunisasi JE?

Imunisasi JE boleh diberikan biarpun anak anda sudah menjangkau usia dan tidak pernah mendapatkan vaksin JE. Silalah mendapatkan maklumat lanjut dari pihak doktor anda untuk maklumat lanjut vaksin tersebut.

Justeru itu, diharap artikel ini dapat memberi kesedaran yang mendalam kepada semua, terutama berkenaan bahaya penyakit JE dan pentingnya pencegahan jangkitan melalui imunisasi dan penjagaan kebersihan dan kesihatan. Mari beri sokongan pada program vaksin. Mari bersama-sama mengelakkan sejarah wabak daripada berulang lagi.

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan.

Dr Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan klinik kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.

Rujukan:

Textbook – General practice John Murtagh

https://www.cdc.gov/japaneseencephalitis/

https://www.uptodate.com/contents/japanese-encephalitis

http://www.cdc.gov/vaccines/schedules/downloads/adult

www.myhealth.gov.my > bayi & kanak-kanak

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box