Negara kita Malaysia merupakan negara beriklim khatulistiwa yang mengalami suhu panas dan kelembapan yang tinggi sepanjang tahun. Namun, sejak kebelakangan ini, fenomena cuaca panas ekstrem semakin kerap berlaku, dipengaruhi oleh perubahan iklim global serta fenomena seperti El Niño. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan harian, malah boleh memberi kesan serius kepada kesihatan manusia dan kesejahteraan masyarakat.

Negara kita kini sedang mengalami cuaca panas dan kekeringan yang ekstrem pada bulan ini, dengan suhu harian mencecah 350C hingga 370C di beberapa Kawasan. Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, terutamanya Kedah berada dalam status cuaca panas Tahap 1 iaitu berjaga-jaga dan Tahap 2 gelombang haba. Ianya berlaku akibat fenomena El Nino yang kuat serta fasa kering yang melampau.
Apa itu El-Nino?
El-Nino Adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik yang mengganggu corak cuaca global termasuk taburan hujan dan suhu. Ianya mengurangkan pembentukan awan dan taburan hujan di rantau Asia Tenggara serta menyebabkan tempoh kering yang lebih Panjang. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada kejadian gelombang haba.

Mengapa kali ini lebih panas?
Ini adalah kerana factor Kesan jangka yang kini lebih menular dan memuncak. Ini termasuk kesan gabungan perubahan pemanasan iklim global, peningkatan suhu purata dunia, factor urbanisasi dan Pembangunan tidak terancang, penebangan pokok yang berterusan dan kekurangan hujan berpanjangan yang mengurangkan penyejukan semula jadi.
Bagaimana mengahadapi situasi ini?
Fenomena musim panas ekstrem ini akan meningkatkan kes penyakit berkaitan haba seperti dehidrasi dan strok haba. Ianya juga akan menyebabkan risiko kekurangan bekalan air di sesetengah Kawasan terlibat. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil:
- Pastikan pengambilan air minuman secukupnya iaitu 2–3 liter sehari, bahkan lebih jika banyak melakukan aktiviti
- Elakkan minuman berkafein dan beralkohol
- Pakai pakaian yang lebih ringan, longgar dan berwarna cerah
- Hadkan aktiviti luar terutama antara jam 10 pagi hingga 4 petang. Jika perlu, carilah tempat berteduh atau memakai payung dan topi.
- Kenali tanda awal penyakit berkaitan haba dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala seperti kekeliruan, muntah atau pengsan
- Ambil cakna akan hebahan amaran cuaca panas oleh agensi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia
Secara kesimpulannya, cuaca panas ekstrem merupakan isu kesihatan awam yang semakin penting di Malaysia. Kerjasama antara individu, komuniti dan pihak berkuasa amat penting dalam mengurangkan risiko serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Artikel ini ditulis oleh Dr Mohd Shaiful Ehsan Bin Shalihin, pakar perubatan keluarga dan pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga, Kulliyyah of Medicine, International Islamic University of Malaysia.
Rujukan:
- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Panduan Menghadapi Cuaca Panas dan Jerebu.
- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). Fenomena El Niño dan Gelombang Haba di Malaysia.
- World Health Organization (WHO). Heatwaves and Health: Guidance on Warning-System Development.
