COVID-19 dan Kesihatan Lelaki – Dr Mohd Aizuddin Abd Rahman

Pengenalan

Pandemik COVID-19 yang diisytihar oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sejak bulan Mac 2020 telah memberi impak yang sangat besar keseluruh dunia, bukan sahaja dari sudut kesihatan, bahkan dari aspek sosial dan kewangan.  Data terbaru menunjukkan COVID-19 telah menjangkiti seramai 440 juta orang dan mengakibatkan hampir 5.9 juta kematian di seluruh dunia. Pada awalnya, COVID-19 dijangka hanya memberi kesihatan kepada sistem pernafasan (respiratory), tetapi, terdapat bukti terkini yang jelas menunjukkan jangkitan COVID-19 juga memberi impak kepada sistem-sistem yang lain termasuklah jantung (cardiovascular), darah (hematology), saraf (nervous system) dan penghadaman tubuh (gastro-intestinal).

Pelbagai kajian telah dijalankan membuktikan bahawa jangkitan COVID-19 memberi kesan terhadap kesihatan lelaki.  Ada kajian terdahulu mendapati risiko untuk mendapat jangkitan COVID-19 adalah sama antara lelaki dan wanita, tetapi sekiranya dijangkiti, lelaki mempunyai risiko tiga kali ganda untuk mendapat jangkitan yang teruk, yang boleh membawa kepada kemasukan ke unit rawatan rapi (Intensive Care Unit; ICU) dan juga kematian. Hal ini adalah kerana lelaki mempunyai sistem imuniti yang berbeza daripada wanita. Tahap keterukan jangkitan COVID-19 juga dikaitkan dengan masalah co-morbidities, seperti masalah darah tinggi, kolesterol, kencing manis, yang mana lebih kerap berlaku di kalangan lelaki.

Apakah kesan-kesan COVID-19 ke atas kesihatan lelaki?

Jangkitan COVID-19 boleh membawa kepada penurunan hormon testosterone bagi seseorang lelaki. Penurunan hormon ini boleh mengakibatkan seseorang lelaki mendapat jangkitan COVID-19 yang lebih teruk daripada kebiasaan. Kekurangan hormon testosterone berkait rapat dengan penyakit sistem cardiovascular serta kegemukan (obesity); yang juga merupakan risiko untuk seseorang lelaki mendapat jangkitan yang teruk. Selain daripada itu, hormon testosterone yang rendah boleh membawa kepada peningkatan respon keradangan (inflammatory response).

Kesuburan lelaki juga boleh terjejas disebabkan jangkitan COVID-19. Sekiranya dijangkiti, seseorang lelaki berisiko untuk mendapat masalah keradangan pada testis (orchitis) dan kemungkinan untuk dimasukkan ke hospital adalah lebih tinggi. Jangkitan COVID-19 juga memberi kesan yang tidak bagus terhadap penghasilan dan parameter air mani (semen).

Daripada sudut kesihatan seksual, terdapat kajian yang mendapati bahawa seseorang lelaki yang dijangkiti COVID-19 lebih berisiko untuk mendapat masalah mati pucuk (erectile dysfunction). Ini adalah kerana, COVID-19 mengakibatkan kecederaan kepada sel-sel endothelial sehingga sel-sel tersebut tidak berfungsi, dan seterusnya menyebabkan mati pucuk.

Masalah kesihatan mental juga patut diberikan perhatian yang serius. Kajian mendapati peningkatan ketara masalah kemurungan (depression) dan keresahan (anxiety) di kalangan lelaki yang dijangkiti COVID-19. Hal ini menyebabkan penggunaan ubat penenang (anti-depressant) turut meningkat.

Apa yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko seseorang lelaki mendapat jangkitan yang teruk?

Vaksin COVID-19 boleh mencegah daripada mendapat jangkitan COVID-19, seterusnya boleh membantu seseorang lelaki daripada mendapat masalah kesuburan dan juga masalah seksual,yang disebabkan oleh virus COVID-19. Kajian meluas telah dijalankan dan mendapati bahawa pengambilan vaksin tidak ada kaitan dengan pengurangan kesuburan seseorang lelaki, bahkan orang yang tidak mengambil vaksin adalah lebih berisiko untuk mendapat jangkitan COVID-19! Hasil kajian ini boleh menjawab kegusaran yang timbul di kalangan golongan yang enggan mendapatkan vaksin.

Penjagaan kesihatan umum daripada mendapat penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, jantung, kencing manis, juga penting untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 yang teruk. Gaya hidup yang sihat seperti penjagaan diet dan berat badan, aktiviti fizikal serta tidak mengambil alkohol atau rokok, amatlah penting untuk diamalkan.

Sekiranya anda bergejala, anda disarankan untuk melakukan ujian kendiri dan dapatkan khidmat nasihat daripada doktor yang berhampiran.

Rujukan:

  1. Dubin, Justin M.; Bennett, Nelson E.; Halpern, Joshua A. The adverse impact of COVID-19 on men’s health, Current Opinion in Urology: March 2022 – Volume 32 – Issue 2 – p 146-151
  2. Patel DP, Punjani N, Guo J, Alukal JP, Li PS, Hotaling JM. The impact of SARS-CoV-2 and COVID-19 on male reproduction and men’s health. Fertil Steril. 2021 Apr;115(4):813-823.
  3. https://www.worldometers.info/coronavirus/

Biodata penulis

Dr Mohd Aizuddin bin Abd Rahman

Pakar Perubatan Keluarga,

Jabatan Perubatan Keluarga,

IIUM Kuantan.

Kelayakan : MBBCh (Mansoura University), M.Med Family Medicine (IIUM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box