Total Knee Replacement (TKR): Pembedahan Menukar Sendi Lutut – Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Seorang wanita berusia 60 tahun berjalan memasuki Klinik Pakar Ortopedik. Jelas terpapar mimik rupa beliau yang kesakitan setiap kali kaki beliau menapak. Daripada cara beliau berjalan saya sudah boleh meneka diagnosis beliau. Beliau mengalami kerosakan sendi lutut yang serius yang dikenali sebagai Osteoarthritis.

“Kenapa ni makcik, makcik apa kabar?” Saya membuka bicara sejurus selepas beliau duduk di kerusi.

“Lutut makcik ni sakit doktor. Dah lama dah, dekat 10 tahun. Makin lama makin sakit.”

“Kalau makcik duduk sakit tak?” Ini adalah soalan yang amat penting dan perlu ditanya.

“Kalau duduk tak sakit la doktor. Kalau berjalan baru sakit,” kata beliau sambil menggosok-gosok kepala lutut kanan beliau.

 

 

Pesakit Osteoarthritis mengalami kesakitan semasa berjalan atau weightbearing kerana meletakkan berat badan semasa berjalan. Kesakitan akan hilang atau amat kurang apabila pesakit duduk kerana tiada berat badan yang dibebankan pada sendi lutut tersebut.

 

 

X-ray lutut beliau jelas menunjukkan sendi yang sempit dan bengkok. Pada kerosakan sendi yang amat kronik ini, ubat atau suntikan bagi menggalakkan pembentukan cecair pelincir lutut dan pembaikan sendi iaitu Hyaluronic acidseperti glucosamine dan chondroitin sulphate biasanya kurang berkesan.

“Makcik, saya fikir kita perlu bincang mengenai pembedahan bagi menukar sendi lutut makcik…”

Saya berkata kepada beliau setelah memberi penjelasan panjang lebar mengenai pemeriksaan fizikal dan xray yang telah dilakukan ke atas beliau.

Apakah Pembedahan Tukar Sendi Lutut atau Total Knee Replacement (TKR)?

Pembedahan penukaran sendi lutut ialah pembedahan di mana permukaan tulang rawan (cartilage) pada sendi lutut yang rosak dibuang dan digantikan dengan implant. Implant yang digunakan biasanya dibuat daripada aloi Titanium.

Ia adalah pembedahan yang ditawarkan untuk kes kerosakan sendi lutut terutamanya akibat Osteoarthritis. Osteoarthritis ialah kondisi di mana permukaan tulang rawan (cartilage) sendi rosak dan mempunyai karakter seperti berikut:

  1. Kesakitan pada sendi lutut terutamanya semasa berjalan. Kesakitan ini akan hilang apabila duduk atau berehat.
  2. Sendi lutut menjadi bengkok (Genu varus)
  3. Sendi lutut berbunyi apabila digerakkan atau semasa berjalan (Crepitus)

Perlukah x-ray dilakukan?

Sekiranya doktor mengesyaki anda mengalami Osteoarthritis, doktor akan meminta xray dilakukan bagi memastikan diagnosis ini. Terdapat beberapa perkara yang akan dapat dilihat dalam xray iaitu:

  1. Sendi lutut menjadi sempit (narrowing of joint space)
  2. Penumbuhan tulang-tulang kecil (Osteophytes formation)
  3. Terdapat Sista pada bahagian bawah permukaan sendi (Subchondral cyst)
  4. Kerosakan permukaan sendi (Sclerosis of articular surface)

Apakah tujuan pembedahan ini dilakukan?

Tujuan utama penukaran sendi ini dilakukan ialah bagi:

  1. Menghilangkan kesakitan pada sendi lutut
  2. Membetulkan lutut yang bengkok (correction of knee alignment)
  3. Memastikan tekanan yang sekata pada sendi semasa berjalan

Apakah risiko atau komplikasi yang boleh berlaku jika pembedahan ini dilakukan?

Terdapat beberapa komplikasi yang boleh terjadi semasa dan selepas pembedahan. Antaranya:

  1. Jangkitan kuman
  2. Sendi menjadi ketat atau longgar
  3. Kecederaan pada ligamen, saraf dan salur darah
  4. Risiko Pembiusan

Bagaimana pembedahan TKR dijalankan

Terdapat beberapa langkah sepanjang pembedahan ini. Ia dapat diringkaskan seperti berikut:

  1. Selepas bius diberi, pesakit akan berbaring terlentang di atas meja pembedahan.
  2. Torniquet akan dipasangkan bagi mengurangkan pendarahan yang berlaku.
  3. Luka akan dibuat pada bahagian depan lutut (anterior midline skin incision).
  4. Doktor akan membuka lapisan tisu dan otot peha sehingga permukaan sendi lutut dapat dilihat dengan jelas dan kepala lutut (patella) dapat dikesampingkan ke bahagian sisi lutut.
  5. Permukaan sendi lutut lutut kemudiannya dipotong mengikut templat (jig) yang disediakan.
  6. Sebelum implant sebenardimasukkan, doktor akan menggunakan trial atau implant cubaanterlebih dahulu bagi memastikan lutut anda kembali lurus, serta boleh diluruskan dan dibengkokkan dengan sempurna.
  7. Setelah doktor berpuas hati, implant sebenar akan dimasukkan. Implant ini distabilkan dengan menggunakan simen PMMA (polymethyl methyl acrylate).
  8. Sendi anda kemudiannya akan dicuci dan dijahit kembali. Ada kalanya luka ditutup dengan menggunakan stapler.
  9. Lutut anda kemudiannya akan dibalut dengan rapi.

 

 

Apakah yang akan terjadi selepas pembedahan

Ubat tahan sakit (analgesia)

Terdapat beberapa cara ubat tahan sakit boleh diberikan kepada pesakit selepas pembedahan. Ini bergantung kepada kesesuaian pesakit. Ini termasuk secara oral, suntikan ke dalam otot (intramuscular), melalui salur darah (intravenous) atau secara epidural.

Doktor dan jururawat akan memantau tahap kesakitan anda secara berterusan melalui Skor Kesakitan (Pain Score) dan akan menambah dan mengurangkan ubat tahan sakit ini mengikut keperluan anda.

Antibiotik

Antibiotik akan diberikan sejurus sebelum pembedahan (prophylaxis) dan akan diteruskan lagi untuk beberapa hari selepas pembedahan.

Luka

Luka pembedahan biasanya akan diperiksa pada hari kedua selepas pembedahan. Luka ini perlu dicuci sehingga ia sembuh. Sekiranya anda dibenarkan pulang, anda boleh mencuci luka di mana-mana klinik yang berhampiran kediaman anda. Jahitan atau stapler pula akan dibuka selepas 10 – 14 hari.

Bilakah saya akan dibenarkan pulang ke rumah?

Anda biasanya akan dibenarkan pulang selepas hari ketiga pembedahan. Ia bergantung kepada beberapa faktor iaitu anda tidak demam, luka anda bersih, sakit yang minima dan anda telah mampu berjalan. Doktor akan memberikan temujanji kepada anda di klinik pakar bagi memastikan proses penyembuhan dan rehabilitasi anda berjalan dengan lancar.

 

Fisioterapi

Fisioterapi adalah amat penting dalam proses rawatan ini. Ia perlu dimulakan sebelum pembedahan dilakukan lagi bagi memastikan pesakit mempunyai otot peha yang kuat dan sendi lutut yang tidak ketat (supple). Selepas pembedahan, anda juga akan dirujukkan kembali kepada fisioterapi bagi membuat latihan menguatkan otot peha, menggerakkan sendi dan belajar berjalan.

Bolehkah anda solat seperti biasa selepas pembedahan?

Majoriti pesakit Osteoarthritis yang datang kepada kami sememangnya sudah tidak boleh solat secara berdiri kerana kesakitan. Ada pesakit boleh kembali solat secara normal selepas pembedahan dan boleh melipat lutut semasa duduk antara dua sujud. Namun begitu, secara umumnya ramai yang masih perlu solat secara duduk selepas pembedahan. Bezanya, kini anda tidak lagi sakit semasa berdiri dan berjalan.

Berapa lamakah ia boleh bertahan?

Mengikut kajian yang dijalankan, tempoh hayat implant lutut ini adalah sekitar 15-20 tahun. Selepas tempoh tersebut, ada juga implant yang haus (wear and tear) dan perlu ditukar dengan implant yang baharu.

RUJUKAN

  1. Postgraduate Orthopaedics. Paul A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009; page 194-197
  2. Review of Orthopaedics 5th Mark D. Miller. Sauders Elsevier 2008; page 323-338

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box