Tennis elbow (Lateral epicondylitis): Kesakitan pada sendi siku – Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Chai    : “Eh Abam, jom main tennis petang ni, nak?”

Abam  : “Tak boleh la Chai, siku aku ni nak seminggu lebih sakit ni. Tak pernah sakit macam ni. Nak pegang raket pun tak boleh.” Abam memegang siku kanannya sambil menggosoknya perlahan.

Chai    : “Kau ada terhantuk siku kat mana-mana ke?”

Abam  : “Tak ada. Tiba-tiba je sakit. Sebenarnya sebelum ni dah pernah kena dulu masa kat universiti. Doktor kata sakit ni sebab selalu main tennis.”

Chai    : “Kau biar betul Abam. Betul ke main tennis boleh dapat masalah macam ni?”

 

Soal jawab seperti ini sebenarnya adalah tipikal bagi kondisi yang dikenali sebagai Tennis elbow atau Lateral epicondylitis.

 

Simptom

Individu yang mengalami masalah Tennis elbow biasanya mengadu kesakitan di bahagian siku sebelah luar (lateral) terutamanya ketika menggenggam sesuatu.

Kesakitan ini akan menjadi semakin teruk sekiranya pesakit menggenggam tangan sambil membengkokkan sendi pergelangan tangan dengan pergerakkan umpama melakukan backhand semasa bermain badminton atau tennis.

Punca

Tennis elbow ialah berpunca daripada kekoyakkan kecil (micro-tear) dan keradangan pada pelekatan permulaan (muscle origin) tiga otot tangan pada bahagian siku pesakit.

Otot-otot ini boleh koyak atau mengalami keradangan akibat pergerakan backhand yang berulang (repetitive movement). Ia kerap dialami pekerja yang melakukan pekerjaan melibatkan pergerakan tangan seperti ini dan pemain badminton dan tennis. Lantas, kondisi ini lebih dikenali sebagai Tennis elbow.

Sumber gambar: ScienceDirect.com

 

Otot-otot yang terlibat ialah:

  1. Extensor carpi radialis brevis (ECRB)– paling kerap terlibat
  2. Extensor carpi radialis longus (ECRL)
  3. Extensor carpi ulnaris (ECU)

 

Pemeriksaan

Bagi menentukan diagnosis ini, selain daripada simptom yang dialami, pesakit perlu menjalani pemeriksaan fizikal. Secara umumnya, tiada apa yang tidak normal pada bahagian luaran siku. Dalam erti kata lain, tiada kemerahan atau kebengkakkan yang dapat dilihat pada siku.

Akan pesakit akan mengadu kesakitan pada bahagian hujung lengan pada sisi luar (lateralepicondyle) sekiranya ditekan (palpation). Ini adalah tempat asal otot lekatan otot (lihat gambar). Bahagian yang sama juga akan terasa sakit sekiranya doktor menekan bahagian belakang tangan pesakit dalam keadaan pesakit sedang membengkokkan pergelangan tangan seperti melakukan pukulan backhand.

Rawatan

Majoriti pesakit yangmengalamiTennis elbow sembuh dengan rawatan secara konservatif iaitu tanpa pembedahan.

Rawatan melibatkan:

  1. Mengubah cara hidup (lifestyle modification)
  2. Ubat anti-radang bagi mengurangkan keradangan
  3. Ubat tahan sakit (analgesic) bila perlu sahaja
  4. Counter-force brace
  5. Fisioterapi
  6. Suntikan steroid

Sumber: Google image

Antara modifikasi cara hidup yang boleh dilakukan ialah dengan mengurangkan kekerapan bermain, melakukan regangan an memanaskan badan sebelum bermain dan juga menggunakan raket yang lebih fleksibel dengan pemegang yang lebih kemas.

Counterforce brace digunakan dengan mengikat bracepada bahagian tangan forearm bagi merehatkan tempat lekatan otot yang bermasalah (muscle origin), lantas mengurangkan keradangan bahagian tersebut.

Fisioterapi termasuk menggunakan kaedah regangan (stretching), haba dan ultrasound yang juga bertujuan bagi mengurangkan keradangan.

Sekiranya gagal, suntikan steroid boleh diberikan bagi bahagian yang paling sakit. Ia boleh memberikan kelegaan segera dengan kadar kejayaan lebih 90 peratus. Namun, pesakit tetap perlu patuh kepada modifikasi cara hidup dan fisioterapi.

Pembedahan cuma perlu dilakukan sekiranya rawatan konservatif di atas gagal dan pesakit mengalami kesakitan yang melampau sehingga mengganggu aktiviti harian beliau. Pembedahan melibatkan luka kecil pada bahagian atas siku dan mencuci atau membuang (debridement) sebahagian kecil otot ECRB.

Kesimpulan

Tennis elbow adalah kondisi yang boleh sembuh sekiranya dirawat. Sekiranya anda atau saudara anda mengalami simptom sebegini, saya nasihatkan anda segera berjumpa doktor bagi memastikan punca sebenar ia berlaku.

Rujukan

  1. Review of Orthopaedics 5thEdition, Roger D. Miller, p283-4

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box