Hemodialisis: Apa yang Perlu Saya Tahu Secara Umumnya? – Prof Madya Dr Mohd Radzniwan A. Rashid, Dr Saharuddin Ahmad, Dr Mohd Fairuz Ali

Hemodialisis

Hemodialisis merupakan proses apabila darah pesakit yang mengalami kerosakan buah pinggang peringkat akhir (ESRD) dibersihkan daripada “kekotoran” seperti kreatinin, urea, sisa perkumuhan lain dan bendalir berlebihan akibat buah pinggang yang rosak. Proses ini dilakukan oleh mesin hemodilisis. Selain menjalani proses hemodilisis, pesakit buah pinggang tahap akhir ini mempunyai pilihan rawatan dialisis peritoneum (PD) bagi penyucian darah mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup. Walau bagaimanapun pemindahan buah pinggang adalah rawatan yang paling utama kerana pesakit tidak perlu lagi menjalani kehidupan yang rumit seperti perlu menjalani proses pembersihan tiga kali seminggu sekiraya melakuannya melalui hemodilisis. Namun, tahap kesedaran masyarakat di negara ini terhadap pendermaan organ masih rendah iaitu hanya 1.3 peratus telah mendaftar sebagai penderma buah pinggang daripada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia yang menyebabkan ramai pesakit masih menunggu “dipanggil” untuk pemindahan buah pinggang.  Di negara kita  kegagalan buah pinggang adalah disebabkan oleh banyak punca. Antaranya yang penting ialah  penyakit diabetis, darah tinggi, “glomurelonephritis”, jangkitan kuman ke  atas buah pinggang, penyakit SLE dan lain-lain.

CKD (chronic kidney disease) adalah keadaan di mana buah pinggang kehilangan fungsinya secara beransur-ansur dalam satu jangka masa. Apabila tahap kesihatan buah pinggang berada pada tahap CKD 4, doktor perlu menyediakan pesakit bagi tujuan rawatan gantian buah pinggang. Pesakit akan dirujuk kepada pakar buah pinggang atau  nefrologis bagi tindakan seterusnya. Seperti yang telah diterangkan diatas, pakar buah pinggang  akan bertanyakan pesakit apakah pilihan yang mereka mahukan setelah perincian diterangkan melalui sesi pra-kaunseling. Apabila tahap kesihatan buah pinggang berada pada  CKD tahap 5, pesakit wajib menjalani proses cuci darah ini dengan segera.

Setiap cara ada kelebihan dan keburukan masing-masing. Kelebihan hemodilisis adalah, pesakit lebih bebas bergerak dan proses penyucian darah melalui hemodilisis adalah lebih efektif bebanding melalui dialisis peritoneum. Walau bagaimanapun mereka berisiko mendapat jangkitan kuman melalui darah seperti HIV, hepatitis B dan C dan perlu hadir ke pusat hemodialisis tiga kali seminggu bagi membersihkan darah. Kos rawatannya juga agak tinggi berbanding dialisis peritoneum.

Sekiranya pesakit bersetuju untuk memilih hemodilisis, mereka akan dirujuk kepada pakar bedah bagi menyediakan “tapak” melalui pembedahan kecil untuk pembentukan “fistula” untuk proses pengeluaran dan kemasukan darah ke mesin hemodilisis boleh dilakukan. Ia juga dikenali sebagai ‘vascular access’ kekal dimana pembuluh darah vena yang mengandungi campuran darah arteri bagi tujuan menyalurkan darah yang mencukupi semasa rawatan hemodialisis terbentuk.  Selalunya “tapak” ini hanya boleh digunakan selepas 3 -6 bulan selepas pembedahan kecil tersebut. Sementara menungggu ianya boleh digunakan, proses keluar masuk darah dilakukan melalui saluran sementara yang biasanya dilbuat pada saluran darah di leher iaitu di  “internal jugular vein”. Proses hemodilisis perlu dilakukan segera melalui saluran khas ini. Jika tidak, kotoran yang tinggi di dalam badan akan menjadi toksik , menyebabkan pesakit mendapat gejala berpunca daripada tinggi urea seperti loya,muntah,gatal di kulit dan paing teruk  kesan pada jantung, “uraemic encephalopathy”  dan “severe metabolic acidosis” yang boleh membawa maut.

Apabila tapak boleh digunakan, proses keluar dan masuk darah pesakit dilakukan melalui tapak ini. Pesakit perlu menjalani hemodialisis 3 kali seminggu atau lebih kerap lagi bergantung kepada penilaian pakar nefrologi. Satu sesi rawatan mengambil masa selama 3-4 jam. Pesakit dinasihatkan untuk meneruskan pengambilan ubat, mengawal diet, memastikan “dry weight” yang optimum dan kekal aktif . Mereka dilarang untuk mengambil makanan yang tinggi garam, phosphate dan kalium. Pengambilan protein adalah digalakkan pada ketika ini berbanding sebelum hemodialisis kerana kajian menunjukkan bahawa kebanyakkan pesakit yang menjalani hemodialisis mempunyai masalah nutrisi akibat pengambilan protein yang rendah dalam diet. Ianya juga disebabkan oleh protein dan asid amino “disingkirkan“ dengan banyak semasa proses hemodialisis.

Dialisis peritoneum

Statistik di Malaysia sangat membimbangkan apabila  jumlah pesakit buah  pingggang telah meningkat dengan ketara. Menurut ‘National Renal Registry’  tahun 2017, terdapat sebanyak 7,996 pesakit baru dialysis dimana 6,862 adalah pesakit baru  hemodilisis dan  1,134 adalah pesakit baru peritoneal  dialysis. Paling ramai pesakit baru adalah daripada Selangor dan paling kurang adalah daripada Perlis. Manakala  menurut National Health Morbidity Survey 2018,    prevalens penyakit buah pinggang kronik di Malaysia ialah sebanyak 15.5 peratus tahun 2018, meningkat daripada 9.1 peratus yang direkodkan pada tahun 2011.

Ini mungkin disebabkan kebanyakan pesakit  tidak tahu mengenai tahap kesihatan buah pinggang mereka  kerana tidak berasa sakit di mana-mana bahagian badan. Malah, mereka hanya sedar apabila pemeriksaan kesihatan secara rutin dilakukan atau mengalami simptom  urea dan kreatinin yang tinggi di dalam darah terjadi.

Terdapat juga  banyak pusat hemodialisis di Malaysia setakat ini. Walau bagaimanapun jumlahnya masih tidak dapat menampung pesakit yang saban hari semakin  meningkat, seiring dengan jumlah peningkatan penyakit kronik. Di negara ini , Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) berperanan menyalurkan bantuan kepada pesakit menerusi program dialisis, selain bekerjasama dengan pelbagai badan NGO lain  untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penyakit buah pinggang kronik melalui kempen kesedaran. Bukan itu saja kos rawatan juga semakin meningkat dimana satu sesi hemodialisis pesakit perlu membayar dalam lingkungan RM170 dan ke atas. Penyakit buah pinggang kian menjadi beban besar kepada negara apabila sekurang-kurangnya 39,000 pesakit memerlukan dialisis dengan kos rawatan dianggarkan bernilai RM1.6 bilion pada setiap tahun. Oleh yang demikian, badan seperti Pusat Zakat, PERKESO,  dan badan kebajikan lain berperanan memberi kemudahan serta bantuan kewangan pada pesakit hemodialisis yang layak.

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daipada mengubat, maka berusahalah supaya buah pinggang kita sentiasa dalam keadaan yang baik.

Artikel ini ditulis oleh:

Prof Madya Dr Mohd Radzniwan A. Rashid1, Dr Saharuddin Ahmad2, Dr Mohd Fairuz Ali3

  1. MB.BCh.BAO(Ireland),  M.Med (Fam Med) (UKM). Unit Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan , Universiti Sains Islam Malaysia, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, 56100 Kuala Lumpur, Selangor
  2. MD (UKM)M.Med (Fam Med) (UKM).  Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala Lumpur
  3. MBBS (WAus) M.Med (Fam Med) (UKM). Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala Lumpur

RUJUKAN:

  1. Clinical Practice Guidelines 2018, Management of Chronic Kidney Disease (second edition) Malaysia Health Technology Assessment Section (MaHTAS), Ministry of Health Malaysia. Putrajaya.
  2. http://www.myhealth.gov.my/en/hemodialisis. Retrieved on February 10 April 2020.
  3. https://codeblue.galencentre.org/2019/11/05/prevalens-penyakit-buah-pinggang-kronik-kini-16-peratus. Retrieved on February 10 April  2020.
  4. Food Phosphate guide for chronic kidney disease. What patients need to know, learn and practice . Tilakavati Karupiah, Zulfitri Azuan Mat Daud, Khor Ban Hock, Sharmela Sahathevan, Ayesha Sualeheen. Malaysia Society of Nephrology. 2018-2019.
  1. MDTR REPORT: 25th Report of the Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2017.National Renal Registry.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box