Bahaya Kepatahan Tengkuk Tulang Peha (Fracture neck of femur) – Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Seorang wanita berusia 80 tahun telah dimasukkan ke wad saya selepas terjatuh di bilik air. Beliau mengadu kesakitan pada tulang pinggul dan tidak boleh bangun selepas terjatuh. Beliau dibawa ke hospital bagi pemeriksaan lanjut. Semasa pemeriksaan, kaki kanan beliau kelihatan lebih pendek berbanding kaki sebelah kiri dan beliau langsung tidak mampu menggerakkan sendi pinggul kanan beliau kerana kesakitan.

Kepatahan tengkuk tulang peha

Kepatahan tengkuk tulang peha atau fracture neck of femur adalah antara kepatahan yang kerap berlaku di kalangan warga emas. Ia disebabkan ketumpatan tulang yang berkurang dan tulang menjadi semakin rapuh (Osteopaenic dan Osteoporosis) apabila kita semakin meningkat usia. Kepatahan lain yang kerap berlaku pada warga emas akibat kerapuhan tulang ialah kepatahan pada pergelangan tangan (fracture distal end of radius) dan kepatahan tulang belakang (compression fracture of vertebra).

Namun begitu, satu fakta yang membezakan rawatan bagi kepatahan tengkuk tulang peha ini ialah bekalan darahnya. Apabila kepatahan berlaku, bekalan darah pada kawasan tersebut turut terjejas dan ini boleh menyebabkan tulang bahagian kepala (head of femur) mati (necrosis). Keadaan ini disebut sebagai Avascular necrosis. Ia diertikan sebagai kematian bahagian tulang akibat ketiadaan bekalan darah kepadanya.

Anatomi dan bekalan darah

Terdapat 4 salur darah yang membekalkan darah ke kepala tulang peha:

  1. Profunda femoris artery (berasal daripada medial circumflex femoral artery (MCFA) dan lateral circumflex femoral artery (LCFA)
  2. Obturator artery yang memberi bekalan kepada kepala tulang femur melalui artery of ligamentous teres
  3. Superior gluteal artery
  4. Inferior gluteal artery

Salur-salur darah ini membentuk jaringan darah yang disebut Trochantericdan Cruciateanastomosisdan juga membentuk salur darah retinacular (retinacular vessels) pada tengkuk tulang peha ini yang membekalkan darah ke kepala tulang peha. Kualiti salur darah ini juga semakin berkurang apabila seseorang semakin berusia.

Jenis kepatahan

Kepatahan tengkuk tulang peha boleh dibahagikan mengikut lokasi kepatahan yang berlaku atau menerusi klasifikasi yang dibuat oleh Garden (Garden classification) berdasarkan betapa teruknya kepatahan yang berlaku dan sama ada tulang yang patah itu beralih kedudukannya atau tidak.

Jenis kepatahan mengikut lokasi

  1. Base of neck of femur
  2. Tran-cervical neck of femur
  3. Sub-capital neck of femur

 

Garden classification

  1. Garden I: Kepatahan separa, terpenyek dan membengkok valgus (incomplete, impacted fracture with valgus malalignment)
  2. Garden II: Kepatahan lengkap namun tidak beralih (complete but undisplaced fracture)
  3. Garden III: Kepatahan lengkap dan membengkok varus (completely displaced fracture in varus alignment)
  4. Garden VI: Kepatahan lengkap dan beralih sepenuhnya (completely displaced fracture)

 

 

Rawatan

Secara prinsipnya, setiap kali berlaku kepatahan, doktor Ortopedik akan cuba meletakkan kembali bahagian tulang yang patah pada kedudukan yang betul dan memegang bahagian tersebut dengan implant dalam tempoh penyembuhan agar tulang yang patah dapat bersambung kembali.

Bagi kepatahan tulang peha, jenis rawatan yang akan ditawarkan kepada pesakit ditentukan oleh umur pesakit, lokasi kepatahan dan klasifikasi Garden seperti yang diterangkan di atas.

Pesakit berusia kurang 60 tahun

Apabila berlaku kepatahan bagi seorang pesakit yang berusia kurang 60 tahun, pilihan rawatan yang akan dilakukan adalah bergantung kepada lokasi kepatahan tersebut:

  1. Skru (screw fixation) – bagi kepatahan bahagian trans-cervical
  2. Dynamic hip screw (DHS) – kepatahan pada bahagian pangkal (base)

Pesakit berusia lebih 60 tahun

Namun, sekiranya berlaku kepatahan pada pesakit yang berusia lebih 60 tahun, bekalan darah pada kawasan tersebut akan terjejas. Dengan kata lain, walaupun tulang yang patah tersebut diletakkan kembali pada kedudukan yang betul dan dipegang dengan skru, ia tidak akan sembuh dan bercantum kembali kerana ketiadaan bekalan darah menyebabkan penyembuhan tidak dapat berlaku dan ini akan menyebabkan kematian tulang kepala pinggul (avascular necrosis of the head of femur).

Oleh itu, bahagian kepatahan yang patah terpaksa digantikan dengan implant (prosthesis) khas bagi membolehkan pesakit kembali berjalan dan sembuh. Bagi pesakit yang berusia lebih 60 tahun, dua jenis pembedahan yang biasa dilakukan ialah:

  1. Hemiarthroplasty: Penukaran bahagian tulang tengkuk pinggul yang patah dengan prosthesis.
  2. Total hip arthroplasty (THR): Penukaran bahagian tulang tengkuk pinggul yang patah dan juga mangkuk sendi pinggul (acetabulum) dengan prosthesis.

Sebelum pembedahan dilakukan, kesihatan pesakit akan diperiksa dengan teliti bagi memastikan pembedahan selamat dijalankan. Antara risiko pembedahan ini termasuk risiko pembedahan iaitu pendarahan dan jangkitan kuman serta risiko bius (anaesthesia). Risiko ini akan diterangkan secara teliti kepada anda sebelum pembedahan dilakukan.

Kesimpulan

Kepatahan tulang pinggul ini adalah kepatahan yang serius dan berisiko menyebabkan komplikasi sekiranya berlaku. Ia boleh dielakkan dengan memastikan keadaan persekitaran rumah  dan bilik air kita selamat bagi mengelakkan kemalangan dan kejatuhan yang boleh menyebabkan kepatahan ini berlaku.

 

Reference

  1. Last’s anatomy, regional and applied. 11th Chummy S. Sinnatamby. Churchill Livingstone Elsevier; page123
  2. https://www.orthobullets.com/trauma/1037/femoral-neck-fractures
  3. Review of Orthopaedics 5th Mark D. Miller; page 610-612

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box