Gout dan Cara Mengatasinya – Dr Noraini Mat Husin & Dr Ahmad Mahyuddin

Apa itu gout?

Gout adalah sejenis radang sendi atau arthritis yang terjadi apabila terdapat pengumpulan urik asid berlebihan di dalam sendi kita. Sendi utama yang paling kerap diserang adalah ibu jari kaki. Antara simptom serangan gout ialah sendi terlibat akan menjadi merah, panas, bengkak dan tersangat sakit. Malah, geseran yang sedikit di sendi yang mengalami keradangan pun akan menyebabkan kesakitan yang teramat sangat.

Serangan radang sendi ini selalunya terjadi apabila pesakit mengambil makanan yang mempunyai kadar purine yang tinggi seperti daging, udang, ikan bilis, kekacang dan ikan sardin. Purine yang dimakan inilah yang akan dicernakan kepada asid urik.

Kesakitan akibat serangan gout akut ini mencapai tahap maksima pada 48 jam yang pertama. Ia akan berkurangan sedikit demi sedikit dan kebiasaannya akan pulih sepenuhnya menjelang hari yang ke-14.

Gout adalah radang sendi yang boleh dipulihkan dengan pengambilan ubat yang betul dan penjagaan makanan rendah purine dengan penuh disiplin.

Bagaimana gout boleh berlaku?

Terdapat ramai orang yang tidak menyedari mereka mempunyai kandungan asid urik yang tinggi akibat tabiat pemakanan dan mengamalkan cara hidup yang kurang sihat sehinggalah mereka mengalami serangan akut gout akibat mengambil makanan yang mempunyai kadar purine yang tinggi.

Terdapat dua keadaan dimana pengumpulan asid urik di dalam sendi terjadi iaitu apabila penghasilan asid urik berlaku secara berlebihan atau pembuangan asid urik melalui air kencing berkurangan.

Golongan yang lebih berisiko mendapat gout ialah mereka yang obes, pesakit darah tinggi, kencing manis serta pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang.

Pengumpulan asid urik di dalah sendi boleh menyebabkan radang sendi dan sekiranya ia tidak terkawal dan dibiarkan berlarutan kerosakan sendi boleh berlaku. Selain daripada sendi, asid urik ini boleh membentuk benjolan yang dipanggil ‘tophi’ dan berkumpul di bawah kulit, di dalam otot, tendon serta saraf. Sekiranya tidak dirawat, ianya boleh membawa kepada kerosakan otot, saraf dan tendon berkenaan.

Bagaimana diagnosa gout dibuat?

Seseorang doktor akan membuat diagnosis gout berdasarkan kriteria tertentu. Ia memerlukan 2 kriteria daripada 4 yang tersenarai dibawah:

  1. Sejarah serangan sendi sekurang-kurangnya 2 kali, dimana radang sendi tersebut pulih dalam masa 2 minggu.
  1. Sejarah serangan terhadap sendi ibu jari kaki yang disebut podagra (1st Metatarsal)
  1. Adanya benjolan di bawah kulit yang dipanggil tophus/tophi
  1. Tindak balas yang baik dengan pengambilan colchicine dalam masa 48 jam.

Bagi kes-kes dimana kristal yang dipanggil Monosodium Urate Crystal (MSU) di dalam bendalir sendi (synovial fluid) kelihatan dibawah ‘polarised electron microscopy‘ maka ia sudah mencukupi untuk membuat diagnosa akut gout.

Bagaimana gout dirawat?

Ada 2 matlamat penting dalam merawat pesakit gout:

  1. Mengurangkan tahap keradangan dan sakit dengan ubat-ubatan seperti NSAIDs, colchicine atau prednisolone.
  1. Menurunkan tahap urik asid di dalam badan agar tiada lagi serangan sendi akan berlaku. Ini juga akan menyebabkan tiada pembentukan tophi yang baru serta pengurangan tophi yang lama. Tophi boleh hilang sekiranya ianya tidak terlalu keras.
  1. Mengelakkan serangan gout berulang dengan menjaga pemakanan iaitu dengan mengurangkan kandungan makanan yang mengandungi kandungan purine yang tinggi.

 

Apakah fungsi NSAIDs?

NSAIDs atau Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs adalah ubat yang berfungsi bukan sahaja untuk mengurangkan kesakitan tetapi juga bagi mengurangkan tahap keradangan di dalam sendi atau tisu. Apabila radang berkurangan, maka kebengkakkan sendi tersebut juga akan surut.

Terdapat pelbagai jenis NSAIDs yang boleh diberikan oleh doktor anda. Doktor akan memberikan ubat ini mengikut dos yang bertepatan bagi menjalankan fungsi anti-radang.

 

Apakah target urik asid yang diperlukan?

Kita perlulah mempunyai matlamat yang jenis yang ingin dicapai bagi kandungan asid urik dalam darah kita. Kandungan yang perlu dicapai adalah seperti berikut:

  1. Gouty arthritis: Asik Urik <360 micromol/L
  2. Chronic tophaceous gout: Asid Urik <300 micromol/L

Mengelakkan serangan gout

Antara cara yang paling berkesan bagi mengelakkan gout ialah dengan menjaga pemakanan anda. Anda perlu mengelakkan makanan yang kaya dengan kandungan purine.

Antara makanan yang mengandungi kandungan purine yang tinggi termasuk:-

  1. Ikan – bilis, sardin, salmon
  2. Daging (Otot) – Ayam, lembu, kambing, angsa, itik, ayam belanda, arnab, khinzir
  3. Ibu roti (yeast)
  4. Daging (Organ) – hati, buah pinggang jantung, otak
  5. Kerang, kepah, ketam, udang galah
  6. Kekacang – kacang panjang, kacang pea
  7. Sayuran – bayam, cauliflower, asparagus
  8. Cendawan
  9. Minuman beralkohol

Makanan yang boleh dan tidak boleh dimakan ini tidak sama antara seorang individu dengan individu yang lain. Malangnya, ia perlu dicuba secara ‘try and error’ (cuba jaya). Kebanyakan pesakit tidak tahu mereka tidak boleh makan sesuatu sehinggalah mereka terkena serangan gout ini setelah makan makanan tersebut.

 

NOTA BUAT DOKTOR

Ubat bagi mengurangkan radang (NSAIDS) harus diberi mengikut dos khusus bagi menjalankan fungsi anti-radang dan bukannya sekadar sebagai ubat tahan sakit (analgesics). Contohnya, Meloxicam perlu diberi pada dos 15mg dan bukannya 7.5mg bagi mengurangkan keradangan.

Pemilihan ubat adalah bergantung kepada pemasalahan pesakit. Pesakit yang mempunyai masalah gastritis (gastrik) atau ulser di perut, maka ubat anti-radang dari jenis COX-2 inhibitor seperti Celecoxib atau Etoricoxib adalah lebih sesuai. Ubat NSAIDs ini boleh diberikan bersama dengan ubat Colchicine 0.5mg tiga kali sehari.

Namun begitu, bagi pesakit buah pinggang, NSAIDs perlu diberi dengan berhati-hati. Dos Colchicine juga perlu diberi mengikut kepada tahap kerosakan buah pinggang iaitu berdasarkan Creatinine clearance. Secara umumnya:

  • Creatinine clearance >50, dos maksima ialah 3 kali sehari
  • Creatinine clearance 34-49, 0.5mg bd
  • Creatinine clearance 10-34, 0.5mg selang sehari
  • Dialysis dependent   0.25mg 2 kali seminggu

Sekiranya tahap kesakitan masih teruk dan pesakit tidak mempunyai sebarang jangkitan kuman, maka anda boleh mulakan Prednisolone 30mg setiap hari selama 5 hari.

 

Bilakah ubat Allopurinol atau Febuxostat perlu dimulakan untuk pesakit?

Bagi pesakit yang masih belum menerima ubat seperti Allopurinol atau Febuxostat untuk menurunkan kadar urik asid di dalam badan, ianya perlu dimulakan sekurang-kurangnya 4 minggu setelah serangan gout akut.

Ubat Allopurinol ini hanya boleh dimulakan oleh Pakar setelah pesakit mengalami serangan gout sebanyak 3 kali atau lebih ataupun pesakit mempunyai ‘Chronic Tophaceous Gout’ yang di mana ada banyak benjolan urik asid yang berkumpul dibawah kulit, sendi, otot atau tendon.

Dos Allopurinol perlu dinaikkan secara perlahan-lahan setiap 4 ke 6 minggu mengikut kadar asid urik di dalam badan. Anda boleh mulakan dengan dos serendah 100mg dan maksima 800mg sehari. Teknik ini adalah amat penting untuk diamalkan kerana ramai pengamal perubatan yang tidak menaikkan dose ubat Allopurinol melebihi 300mg sehari.

Allopurinol boleh menyebabkan alahan yang membahayakan kepada sesetengah pesakit. Maka, indikasi penggunaannya mestilah jelas dan bertepatan. Pengamal perubatan juga perlu memberi penerangan yang jelas berkenaan alahan yang boleh berlaku dan sekiranya ianya berlaku, pesakit perlulah memberhentikan penggunaan ubat tersebut. Febuxostat adalah ubat alternatif yang ada sekiranya pesakit mempunyai alahan kepada ubat Allopurinol.

Allopurinol tidak akan menyebabkan fungsi buah pinggang semakin teruk. Walaupun demikian, pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat alahan daripada penggunaan ubat allopurinol. Oleh itu, bagi pesakit-pesakit tersebut, kita boleh mulakan dengan dos yang paling rendah dan dinaikkan secara perlahan-lahan. Fungsi hati dan buah pinggang pesakit juga perlu diperiksa setiap kali dos dinaikkan.

Selain daripada itu, pesakit juga perlu diberikan colchicine 0.5mg sehari sekali sepanjang proses kenaikkan dos ubat allopurinol untuk mengurangkan kebarangkalian serangan akut gout. Setelah tahap asid urik telah dicapai, maka ubat colchicine ini hanya perlu diambil sekiranya perlu.

Selain daripada Allopurinol dan Febuxostat, Probenecid juga boleh digunakan. Ia dikhususkan bagi pesakit yang tidak mempunyai batu karang pada buah pinggang dan urik asid tidak dapat dibuang dengan baik melalui air kencing (kandungan 24 jam urik asid di dalam air kencing <800mg). Probenecid boleh mengurangkan kadar urik asid di dalam darah dengan meninggikan kadar pembuangan melalui air kencing.

Kesimpulan

Kesimpulannya penyakit gout ini adalah radang sendi yang boleh sembuh sekiranya pesakit mengawal pemakanan dan mengambil ubat untuk menurunkan urik asid kepada target yang sepatutnya. Para pengamal perubatan juga perlu tahu penggunaan ubat allopurinol dan tahap asid urik yang perlu dicapai.

Dr Noraini binti Mat Husin,

Pakar Perubatan Dalaman & Rheumatology,

HRPB Ipoh, Perak.

 

Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Pakar Ortopedik,

HOSHAS Temerloh, Pahang

(Penasihat The Malaysian Medical Gazette)

 

Rujukan

  1. Malaysian Gout CPJ 2008
  2. Eular/ACR guidelines on gout management 2016
  3. BSR guideline on gout management 2017
  4. CPG

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box