Episod 4 (Kisah Ana): Transplan “Hadiah Kehidupan Baru” – Dr Nur Hidayati

– sebuah cereka sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2018 –

Kisah ini hanyalah satu antara 1001 kisah yang ditemui sepanjang kerjaya saya sebagai seorang doktor perubatan. Sebarang persamaan dengan mana-mana individu samada hidup atau mati adalah secara kebetulan. Kisah ini dikongsi sebagai kisah tauladan dan diharap paparan kisah ini dapat membantu masyarakat memahami tentang penyakit buah pinggang.

Sudah sekian lama saya tidak bertemu dengan Puan Ana. Saya tidak menyangka bertemu dengannya di klinik transplan. Beliau kelihatan gugup apabila melihat saya. Saya menegur dan bertanyakan tentang tujuan kedatangannya.

“ Doktor – saya rasa saya berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai transplan buah pinggang.”

Saya tersenyum. “ Transplan buah pinggang adalah pilihan terbaik untuk seorang wanita muda yang mengalami kegagalan buah pinggang seperti puan. “

“ Saya ingat mahu cuba untuk hamil lagi. Namun, doktor sakit puan menasihatkan saya – cara terbaik untuk memastikan saya boleh hamil lagi dengan selamat adalah hamil selepas menerima transplan buah pinggang. ”

“ Kalau begitu, biar saya terangkan apakah itu transplan buah pinggang.”

Transplan buah pinggang merupakan pemindahan buah pinggang daripada penderma yang sihat kepada seseorang yang mengalami kegagalan buah pinggang. Ianya dilakukan dengan pembedahan berbius penuh. Buah pinggang yang sihat akan dimasukkan ke dalam rongga abdomen penerima.

“Perlukah buah pinggang saya yang telah rosak dikeluarkan?”

Untuk kebanyakan individu, tiada keperluan untuk membuang atau mengeluarkan buah pinggang asal penerima.

Selepas menerima buah pinggang baru, penerima perlu mengambil ubatan ‘immunosuppressant’ secara berterusan. Ubatan ini adalah penting untuk menghalang reaksi imun supaya badan penerima tidak menolak buah pinggang yang baru. Penerima akan perlu mengambil ubatan ini untuk seumur hidup.

Sumber gambar: FlyMedi

Penerima buah pinggang baru dapat hidup lebih lama berbanding pesakit dialisis. Berpandukan data registri buah pinggang USA, bagi seseorang yang mendapat transplan buah pinggang pada umur kurang dari 40 tahun– jangka hayat beliau akan bertambah dari 10-15 tahun (dengan rawatan dialisis) kepada 30-40 tahun dengan transplan buah pinggang.

Transplan buah pinggang dapat memberi kebebasan hidup untuk seseorang yang mengalami kegagalan buah pinggang. Mereka tidak perlu bergantung kepada mesin dialisis dan hanya perlu mengambil ubatan “immunosuppressant” sahaja.

Seorang wanita yang sudah menerima buah pinggang yang baru berpeluang untuk kembali berkerja/bersekolah dan menjalani hidup yang normal. Dia juga mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk hamil. Risiko komplikasi kehamilan juga lebih rendah bagi seorang wanita yang sudah menjalani transplan buah pinggang berbanding wanita yang bergantung dengan dialisis.

Namun, pembedahan pemindahan buah pinggang tidaklah 100% kemungkinan berjaya. Seperti mana-mana pembedahan besar yang lain, penerima mempunyai kemungkinan menglami komplikasi seperti pendarahan atau jangkitan kuman. Buah pinggang yang diterima juga ada berkemungkinan tidak berfungsi selepas pemindahan.

Sumber gambar: self.com

Ubatan “immunosuppressant” juga mempunyai kesan sampingan. Kadangkala, buah pinggang yang diterima boleh mengalami kerosakan samada penyakit buah pinggang asal berulang kembali ataupun kerana tubuh penerima menolak buah pinggang yang diterima. Sesetengah wanita mempunya risiko lebih tinggi untuk menolak buah pinggang yang diterima. Atas sebab itu, penerima perlu dipantau dengan rapi selepas pemindahan buah pinggang.

Penderma dan penerima buah pinggang perlu menjalani pemeriksaaan perubatan sebelum transplan dilakukan. Ini adalah untuk memastikan mereka sesuai untuk menjalani pembedahan serta mengurangkan risiko komplikasi selepas pemindahan buah pinggang dilakukan.

Puan Ana bertanya lagi, “ Apakah risiko bagi penderma? Kakak saya mahu menderma buah pinggangnya kepada saya. Beliau baru sahaja berkahwin dan bercadang untuk hamil pada masa akan datang. Bolehkah dia mengandung selepas mendermakan buah pinggangnya? Adakah ada mudarat bagi seorang wanita untuk menderma buah pinggangnya.”

Secara umumnya – manusia boleh hidup hanya dengan satu buah pinggang. Jika seorang penderma telah disaring sebelum pembedahan untuk memastikan mereka tidak mempunyai masalah kesihatan, risiko mereka untuk mengalami komplikasi selepas menderma adalah tipis.

Namun, bagi wanita yang telah menderma buah pinggang, mereka mempunyai risiko untuk mendapat komplikasi darah tinggi semasa mengandung jika dibanding dengan wanita yang bukan penderma buah pinggang. Mereka juga mempunyai risiko memerlukan rawatan dialisis pada masa akan datang jika mereka menghidapi masalah buah pinggang di kemudian hari. Oleh sebab itu, penderma buah pinggang harus menjaga buah pinggang mereka dan dipantau dengan rapi untuk memastikan mereka kekal sihat.

Risiko ini tidak sepatutnya menghalang seseorang untuk menderma buah pinggang mereka. Jika kita sayang seseorang itu, kita pasti sanggup untuk berkorban demi keselamatan mereka walaupun kita sendiri menghadapi risiko kematian. Contohnya, dalam keadan kebakaran, sanggupkah anda berlari ke dalam api yang marak untuk menyelamatkan insan yang anda sayang? Adakah nyawanya lebih bernilai berbanding risiko anda melecur atau keracunan asap kebakaran? Jika ya, pasti anda berasa kebaikan transplan itu jauh melebihi dari risiko yang perlu diambil untuk pendermaan buah pinggang.

Puan Ana tersenyum lega. Beliau akhirnya bersetuju untuk menjalani penilaian kesihatan untuk transplan buah pinggang bersama kakak beliau.

Rujukan

  1. Tonelli, M., Wiebe, N., Knoll, G., Bello, A., Browne, S., Jadhav, D., Klarenbach, S. and Gill, J. (2011), Systematic Review: Kidney Transplantation Compared With Dialysis in Clinically Relevant Outcomes. American Journal of Transplantation, 11: 2093–2109. doi:10.1111/j.1600-6143.2011.03686.x
  1. Levidiotis, V., Chang, S., & McDonald, S. (2009). Pregnancy and Maternal Outcomes Among Kidney Transplant Recipients. Journal of the American Society of Nephrology : JASN20(11), 2433–2440. http://doi.org/10.1681/ASN.2008121241
  1. Ibrahim, H., Akkina, S., Leister, E., Gillingham, K., Cordner, G., Guo, H., … Matas, A. (2009). Pregnancy Outcomes after Kidney Donation. American Journal of Transplantation : Official Journal of the American Society of Transplantation and the American Society of Transplant Surgeons9(4), 825–834.
  1. Garg AX, Nevis IF, McArthur E, Sontrop JM, Koval JJ, Lam NN, et al. Gestational Hypertension and Preeclampsia in Living Kidney Donors. New England Journal of Medicine. 2015;372(2):124-33
  1. United States Renal Data System (2015) Mortality. In: USRDS annual data report: epidemiology of kidney disease in the United States. National Institutes of Health, National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases, Bethesda, chapter 6, vol 2, Table 6.4. Available at: http://www.usrds.org/2015/download/vol2_06_Mortality_15.pdf

Artikel ini ditulis sempena Hari Kesihatan Buah Pinggang Sedunia 2018 dengan kerjasama Unit Renal Pusat Perubatan Universiti Malaya.

 

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box