HIV dan Perkahwinan: Apa Yang Anda Perlu Tahu? – Dr Shaiful Ehsan

Seringkali kita mendengar isu berkaitan pasangan mendapat tentangan daripada pihak keluarga untuk meneruskan perkahwinan mereka apabila mendapat tahu salah seorang dari bakal pasangan mereka menghidapi jangkitan human immunodeficiency virus (HIV). Artikel ini membincangkan lebih lanjut berkenaan isu ini dan bermatlamat mengurangkan stigma masyarakat dan mengekang pandangan serong keluarga terhadap mereka yang menghidapi HIV untuk meneruskan perkahwinan dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik – iaitu berumahtangga seperti lapisan masyarakat yang lain.

Program Saringan HIV di Klinik Kesihatan

Terdapat pelbagai saluran program saringan HIV di klinik kesihatan dan komuniti. Antaranya termasuklah saringan secara sukalera dan tanpa nama, saringan ketika mengandung, saringan selepas terdedah kepada risiko jangkitan seperti seks rambang dan saringan ketika mendapat jangkitan kelamin. Namun, terdapat satu saluran saringan yang boleh mengubah persepsi pasangan yang bercadang mendirikan rumah tangga – iaitu saringan pra perkahwinan.

Saringan Pra-Perkahwinan HIV telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak awal tahun 2001 bermula di negeri Johor untuk semua bakal pengantin beragama Islam sebelum diwajibkan ke seluruh negeri di Malaysia. Ianya boleh dilakukan di mana-mana klinik kesihatan di seluruh Malaysia. Saringan ini bertujuan membolehkan pasangan mengetahui status HIV masing-masing dan seterusnya mengambil tindakan yang terbaik untuk mencegah penyebaran dan jangkitan penyakit ini kepada orang lain. Mereka akan diberikan pendidikan kesihatan, penerangan dan memulakan rawatan berserta pemantauan susulan.

Ujian saringan HIV ini dijalankan menggunakan kaedah ujian segera atau Rapid Test. Sekiranya di dapati ‘reaktif’, sample darah akan diambil dan dihantar ke pusat saringan HIV di makmal hospital untuk pengesahan. Rawatan anti-retroviral (ARV) untuk penghidap HIV boleh didapati di klinik kesihatan tanpa perlu dirujuk ke hospital. Rawatan ini telah dimulakan di klinik kesihatan sejak tahun 2000 dan pemantauan rawatan dikendalikan oleh Pakar Perubatan Keluarga.

Harapan untuk berkahwin

Tidak dinafikan, risiko penyebaran jangkitan HIV boleh terjadi melalui hubungan seks antara pasangan. Namun ini tidak bermakna pesakit HIV atau mereka yang hidup dengan HIV tidak mampu untuk berkeluarga mahupun untuk memperolehi zuriat. Mereka juga seperti manusia biasa yang lain, iaitu  mempunyai nafsu dan keinginan untuk berkahwin dan memiliki zuriat yang sihat. Justeru, peranan pihak kesihatan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada pesakit dan bakal pasangan dengan kerjasama pesakit itu sendiri amatlah penting untuk mengelakkan berlakunya kesalahfahaman berkenaan HIV itu sendiri. Sesungguhnya, jangkitan HIV dapat dibendung dengan rawatan dan pasangan ini boleh melakukan hubungan seks dengan risiko jangkitan yang amat rendah. Namun, bagaimanakah caranya?

Seks dan zuriat: Bagaimana jangkitan HIV dapat dielakkan?

Serodiscordant couple merujuk kepada keadaan pasangan di mana salah seorang disahkan menghidapi jangkitan HIV, manakala seorang lagi pasangan adalah bebas dari HIV. Dalam situasi seperti ini, matlamat jangka panjang semestinya adalah mencegah jangkitan HIV daripada merebak kepada pasangan ketika melakukan hubungan seks. Dalam masa yang sama, harapan juga diletakkan agar mendapat kelahiran zuriat yang bebas daripada jangkitan HIV. Adakah ini mampu dicapai? Adakah cara yang lebih mudah tanpa melibatkan kos yang membebankan?

 

Jawapannya semestinya Ya, ada.

Kajian menunjukkan pesakit HIV yang mengambil rawatan antiretroviral atau combined antiretroviral therapy (cART) secara berdisiplin dan berkala setiap hari, mereka mampu meningkatkan level antibody ke tahap yang optimum dan menjadikan paras virus HIV menjadi terlalu rendah atau tidak dikesan dalam darah (suppressed viral load). Sekiranya ini berterusan, pesakit kemudiannya tidak perlu memakai kondom ketika bersama pasangan dalam tempoh waktu subur untuk hamil. Di luar tempoh subur, pesakit hendaklah disiplin memakai kondom biarpun paras virus HIV sangat rendah. Umumnya, waktu subur wanita adalah ketika berlakunya proses ovulasi, iaitu tempoh penghasilan sel telur matang berlaku pada 12 hingga 16 hari sebelum darah haids yang berikutnya dijangka keluar. Tips ini mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV kepada pasangan dan juga anak yang bakal dikandungkan itu. Namun sebelum merancang hubungan seks tanpa kondom ketika tempoh subur, kedua-dua pasangan juga perlulah disaring dan dirawat akan segala penyakit kelamin sekiranya ada.

Terdapat juga keperluan menggunakan ubat antiretroviral oleh pasangan yang bebas HIV dan ingin melakukan hubungan seks dengan pasangan HIV (PrEP prophylaxis). Namun ini lebih terbukti berbaloi untuk diamalkan sekiranya pasangan mereka yang menghidapi HIV tidak mendapat rawatan antiretroviral yang berkala atau tidak berjaya mencapai paras HIV virus ke tahap yang sangat rendah atau masih mengamalkan cara hidup yang berisiko mendapat jangkitan HIV yang berterusan.

Kesimpulan

Secara kesuluruhannya, telah terbukti penghidap HIV juga mampu mengawal tahap kesihatan mereka dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik seperti manusia lain. Mereka juga layak untuk berkahwin dan memiliki zuriat yang sihat, asalkan mematuhi nasihat dan rawatan yang diberikan oleh pihak doktor dan berjaya menurunkan paras virus HIV. Marilah bersama mengekang budaya stigma terhadap penghidap HIV. Artikel ini ditulis sempena sambutan Hari AIDS Sedunia yang disambut pada setiap 1 Disember di seluruh dunia dalam usaha memupuk kesedaran komuniti.

Rujukan:

1) UpToDate – Use of Assisted Reproduction in HIV- And Hepatitis-Infected Couples

2) Garis Panduan Ujian Saringan HIV Secara Sukarela dan Tanpa Nama

3) Pre-Marital HIV Screening Programme – PORTAL MyHEALTH

 

Dr Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Klinik Kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box