Episod 1 (Kisah Ana): Lindungi Buah Pinggangku – Dr Nur Hidayati

– sebuah cereka sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2018 –

 

Kisah ini hanyalah satu antara 1001 kisah yang ditemui sepanjang kerjaya saya sebagai seorang doktor perubatan. Sebarang persamaan dengan mana-mana individu sama ada hidup atau mati adalah secara kebetulan. Kisah ini dikongsi sebagai kisah tauladan dan diharap paparan kisah ini dapat membantu masyarakat memahami penyakit buah pinggang.

 

Sumber gambar: aliveholistichealth.ca

Saya mula mengenali Puan Ana apabila beliau dirujuk kepada klinik di mana saya bertugas. Pada mulanya, beliau telah mendapati banyak buih-buih di dalam air kencing beliau. Puan Ana mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis. Beliau sedar yang seseorang yang menghidapi darah tinggi dan kencing manis mempunyai potensi tinggi untuk mendapat kegagalan buah pinggang.

Beliau amat risau jika ini adalah tanda-tanda awal kerosakan buah pinggang. Beliau mahu tahu lebih lanjut bagaimana caranya untuk memastikan buah pinggangnya kekal sihat.

Kencing berbuih adalah salah satu tanda awal kerosakan buah pinggang. Keadaan ini adalah akibat berlakunya kebocoran protein dalam air. Jika kita tidak mengambil langkah awal untuk menjaga buah pinggang kita, kemungkinan untuk fungsi buah pinggang kita merosot adalah tinggi.

Berikut adalah penerangan saya kepadanya.

“Buah pinggang kita adalah organ yang amat penting untuk memastikan kita kekal sihat. Ianya berfungsi untuk menyingkir bahan berbahaya dan toksik dalam tubuh manusia. Jika ianya rosak, toksin ini akan berkumpul di dalam badan dan meracun diri kita. ”

Atas sebab itu, adalah penting bagi kita mengambil langkah-langkah untuk memastikan buah pinggang kita dapat terus berfungsi dengan baik.

  1. Jaga pemakanan – Pemakanan yang sihat adalah penting untuk mengawal penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis. Jika penyakit kronik tidak terkawal, buah pinggang akan makin rosak secara perlahan-lahan. Adalah penting untuk kurangkan kandungan gula dan garam dalam makanan.
  1. Kekalkan berat badan yang ideal – Seseorang yang mempunyai beat badan berlebihan lebih cenderung untuk mengalami penyakit metabolik seperti kencing manis dan darah tinggi. Penyakit kronik yang tidak terkawal boleh merosakkan buah pinggang dalam jangka masa panjang. Menurunkan berat badan secara sihat dan teratur mampu mengawal penyakit kronik untuk mengelakkan kesan buruk di masa akan datang. Anda digalakkan mengurangkan berat badan dengan bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat.
  1. Elakkan penggunaan ubatan, kosmetik atau supplemen yang boleh merosakkan buah pinggang – Sentiasa berhati-hati dengan penggunaan ubatan seperti ubat tahan sakit, ubatan menguruskan badan, supplemen atau ubatan tradisional terutamanya jika ia tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. Ini kerana ubatan yang tidak berdaftar telah dikesan dicemari dengan bahan terlarang yang boleh merosakkan buah pinggang.

Sila rujuk senarai berikut yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengetahui ubatan-ubatan yang mengandungi bahan terlarang.
https://www.pharmacy.gov.my/v2/en/apps/adulterated

  1. Kawal aras gula dan tekanan darah – Ramai yang menyalahkan penggunaan ubatan hospital menyebabkan buah pinggang rosak. Disebabkan anggapan salah ini, ada pesakit yang berhenti mengambil ataupun mengurangkan pengambilan ubatan kencing manis dan darah tinggi tanpa nasihat doktor. Hasilnya, aras gula dan tekanan darah tinggi menjadi tidak terkawal dan ini adalah penyebab utama ramai pesakit kronik mendapat kerosakan buah pinggang.
  1. Elakkan merokok – Tahukah anda bahawa banyak kajian menunjukkan pahawa individu yang merokok lebih cenderung untuk mendapat kerosakan buah pinggang. Merokok boleh merosakkan salur darah ke jantung dan buah pinggang. Ini akan mengurangkan aliran darah ke organ-organ ini menyebabkan fungsi buah pinggang menyusut dan akhirnya gagal.
  1. Minum air pada kadar yang sesuai – Pasti anda pernah mendengar nasihat untuk minum lebih dari 8 gelas air sehari. Sebenarnya, keperluan air untuk semua orang adalah berlainan. Keperluan air anda bergantung kepada umur, cuaca sekeliling, aktiviti senaman yang diamalkan serta jika seseorang itu sedang hamil, menyusukan anak atau sedang menhidapi penyakit kronik. Jadi, anda mungkin perlu kurang atau lebih air dari jumlah 8 gelas yang disarankan.

Sumber gambar: Connected Women

Salah satu cara untuk menilai jika anda mengambil air yang cukup adalah dengan memantau warna air kencing yang dihasilkan. Jika air kencing anda kelihatan pekat dan gelap, ia menandakan anda mengalami dehidrasi dan perlu minum lebih banyak. Anda digalakkan untuk mengambil air bersih yang sudah dimasak atau minuman sihat seperti susu rendah lemak atau jus buahan yang tidak ditambah gula.

Jika seseorang itu minum air lebih dari yang diperlukan, buah pinggang kita selalunya mampu menyingkirkan air berlebihan ini melalui air kencing.Tetapi, jika anda mengambil air terlalu banyak dan melebihi dari kadar yang dapat disingkirkan oleh buah pinggang, anda boleh mengalami keadaan toksikasi air (water intoxication) sehingga menyebabkan komplikasi berbahaya yang dinamakan hiponatremia.

Bagi pesakit buah pinggang kronik (seperti sindrom nefrotik atau pesakit dialisis), mereka dinasihatkan untuk mengambil jumlah air tidak melebihi daripada yang disarankan oleh doktor masing-masing. Jika anda adalah pesakit buah pinggang kronik, sila rujuk doktor anda untuk mengetahui jumlah air yang perlu diambil.

  1. Periksa fungsi buah pinggang anda secara berkala – Kebanyakan pesakit buah pinggang tidak sedar apabila fungsi buah pinggang semakin menurun. Pesakit buah pinggang tahap awal selalunya tidak menunjukkan tanda-tanda masalah buah pinggang. Itu sebabnya, masalah buah pinggang antara penyakit yang menjadi pembunuh senyap di kalangan rakyat Malaysia. Ramai pesakit hanya berjumpa doktor apabila tahap buah pinggang sudah melarat dan sudah memerlukan dialisis.

Oleh sebab itu, anda patut memeriksa darah semasa pemeriksaan tahunan atau lebih kerap jika anda mempunya masalah penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi. Rujuklah doktor anda untuk sebarang masalah atau kemusykilan kesihatan. Jadikan doktor anda sebagai tempat yang anda boleh luahkan masalah atau apa-apa kerisauan mengenai kesihatan. Sila buang rasa malu atau segan bertanya serta ikutilah nasihat yang diberikan.

 

Artikel ini ditulis sempena Hari Kesihatan Buah Pinggang Sedunia 2018 dengan kerjasama Unit Renal Pusat Perubatan Universiti Malaya.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box