Episod 2 (Kisah Ana): Kehamilan dan Buah Pinggang – Dr Nur Hidayati

– Sebuah cereka sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2018 –

 

Kisah ini hanyalah satu antara 1001 kisah yang ditemui sepanjang kerjaya saya sebagai seorang doktor perubatan. Sebarang persamaan dengan mana-mana individu samada hidup atau mati adalah secara kebetulan. Kisah ini dikongsi sebagai kisah tauladan dan diharap paparan kisah ini dapat membantu masyarakat memahami tentang penyakit buah pinggang.

 

Beberapa bulan berlalu, saya bertemu semula dengan Puan Ana. Kali ini, kami bertemu di wad antenatal hospital saya bertugas. Saya menerima perkhabaran gembira bahawa Puan Ana telah hamil dengan kandungannya yang pertama. Namun malangnya, doctor yang bertugas mendapati kandungan gula dalam darah beliau adalah tinggi serta tekanan darahnya juga tidak terkawal. Air kencing beliau juga mengandungi tahap protein yang tinggi. Fungsi buah pinggang beliau juga dikesan lebih rendah daripada aras normal.

Puan Ana merasa tertekan kerana risau tentang keadaan bayinya. Beliau juga takut masalah buah pinggang yang dialami menjadi lebih teruk.

Semasa kehamilan, badan kita akan mengalami banyak perubahan dan adakalanya menyebabkan masalah kesihatan termasuklah masalah buah pinggang. Bagi pesakit yang sudah mempunyai masalah buah pinggang sebelum hamil, mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat masalah buah pinggang yang lebih serius dan juga keadaan yang dikenali sebagai pra-eklampsia.

Sumber gambar: Pregnancy & Baby

Pra-eklampsia adalah satu keadaan yang disebabkan oleh kehamilan dan selalunya dikesan selepas usia kandungan mencecah 20 minggu. Tekanan darah yang tinggi berserta kehadiran protein dalam air kencing adalah antara tanda seseorang itu mengalami masalah pra-eklampsia semasa kehamilan. Tanda pra-eklampsia lain adalah sakit kepala, penglihatan kabur atau badan menjadi bengkak. Kadang-kala ada pesakit mendapat kepedihan pada bahagian di bawah rusuk kanan akibat bengkak hati.

Wanita yang mengalami pra-eklampsia perlu memeriksa keadaan buah pinggang mereka kerana tekanan darah tinggi boleh merosakkan salur darah termasuklah saluran darah di buah pinggang. Apabila ini berlaku, buah pinggang tak dapat berfungsi dengan baik. Dalam keadaan normal, protein akan ditapis oleh buah pinggang dan tidak bocor ke dalam air kencing. Namun, akibat tekanan darah tinggi, buah pinggang tidak dapat menapis protein. Apabila banyak protein bocor dalam air kencing, badan seseorang itu menjadi bengkak kerana kekurangan protein dalam badan.

Wanita yang mempunyai ahli keluarga yang menghidapi darah tinggi atau sejarah pra-eklampsia semasa kehamilan terdahulu, obes, berusia lebih 40 tahun, mengandung kembar atau wanita yang sudah mempunyai masalah buah pinggang sebelum hamil (akibat kencing manis, hipertensi kronik, lupus dan sebagainya) lebih cenderung untuk mengalami pra-eklampsia.

“Adakah semua wanita hamil yang mendapat pra-eklampsia akan mendapat masalah buah pinggang?”

 

Jawapannya adalah tidak. Bagi kebanyakan pesakit yang mengalami pra-eklampsia, mereka kembali sihat selepas melahirkan anak. Namun ada kajian yang menunjukkan mereka yang pernah mengalami pra-eklampsia mempunyai lebih risiko untuk mendapat masalah buah pinggang kronik pada masa akan datang berbanding wanita yang tidak pernah mengalami masalah pra-eklampsia. Oleh sebab itu, adalah penting bagi wanita yang mempunyai sejarah pra-eklampsia memantau keadaan buah pinggang mereka.

“Bagaimana untuk membezakan jika saya mengalami masalah pra-eklampsia sahaja ataupun masalah buah pinggang kronik?”

Adalah sukar untuk membezakan pesakit pra-eklampsia dengan pesakit yang sudah mempunyai masalah buah pinggang kronik dan sudah mengalami kebocoran protein sebelum hamil. Bagi pesakit pra-eklampsia yang tidak menghadapi masalah buah pinggang kronik sebelum hamil, mereka kurang berisiko untuk mendapat kegagalan buah pinggang berbanding pesakit yang sudah mempunyai masalah buah pinggang sebelum hamil.

Bagi anda mempunyai fungsi buah pinggang yang normal ataupun masalah buah pinggang awal, risiko komplikasi buah pinggang semasa kehamilan adalah rendah. Golongan paling berisiko untuk mendapat kegagalan buah pinggang semasa hamil adalah wanita mempunyai fungsi buah pinggang kurang daripada 40 ml/min per 1.73 m2 serta paras protein lebih dari 1 gram/24 jam. Golongan ini perlu mendapatkan pengawasan dan penjagaan rapi pakar sepanjang kehamilan mereka.

“ Adakah keadaan ini membahayakan kandungan saya?”

Wanita yang sudah menghidap masalah buah pinggang mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat masalah kandungan yang serius (adverse fetal outcomes) berbanding wanita yang sihat. 22 hingga 40 peratus daripada mereka juga boleh mengalami pra-eklampsia pada masa yang sama.

Pra-eklampsia boleh mengakibatkan aliran darah ke uri berkurangan. Keadaan ini akan membahayakan bayi dalam kandungan. Bayi tidak dapat membesar dengan baik akibat kekurangan oksigen dan nutrien. Jika tumbesaran bayi menjadi sangat terbantut, jantung bayi boleh menjadi lemah dan berhenti secara mengejut semasa dalam kandungan.

“ Apa yang saya perlu lakukan untuk mengelakkan komplikasi pra-eklampsia?”

Sumber gambar: Medscape

Antara langkah-langkah yang penting adalah mengawal tekanan darah serta aras gula dalam darah. Wanita yang berisiko tinggi untuk pra-eklampsia juga disarankan untuk mengambil ubat aspirin bermula dari awal kehamilan (12 minggu) sehingga bersalin. Ini adalah penting untuk mengurangkan risiko pra-eklampsia dan risiko kelahiran awal (premature delivery). Anda juga boleh mengambil suplemen kalsium dan asid folik.

“Perlukah saya menjalani rawatan dialisis?”

Ini bergantung kepada fungsi buah pinggang semasa dan selepas bersalin. Tidak semua pesakit buah pinggang atau pra-eklampsia mendapat kekurangan fungsi buah pinggang sehingga memerlukan rawatan dialisis semasa atau selepas hamil. Pakar buah pinggang dan pakar sakit puan akan memantau keadaan mereka dan akan mengambil langkah untuk mengelakkan keadaan buah pinggang daripada menjadi lagi teruk.

Adalah penting bagi pesakit buah pinggang kronik untuk merancang kehamilan mereka untuk memastikan risiko komplikasi yang di hadapi adalah rendah. Mereka seharusnya mengawal penyakit mereka dengan memastikan tekanan darah mereka pada aras optimum serta kandungan protein dalam urin rendah sebelum hamil. Dengan langkah-langkah ini serta pemantauan rapi pakar kesihatan, ramai yang masih mampu hamil dan akhirnya berjaya melahirkan bayi yang sihat walaupun menghidapi masalah buah pinggang kronik.

Reference

  1. Vikse, B., Irgens, L., Leivestad, T., Skjærven, R. and Iversen, B. (2008). Preeclampsia and the Risk of End-Stage Renal Disease. New England Journal of Medicine, 359(8), pp.800-809.
  1. Maynard, S., & Thadhani, R. (2009). Pregnancy and the Kidney. Journal Of The American Society Of Nephrology, 20(1), 14-22. http://dx.doi.org/10.1681/asn.2008050493
  1. Nevis IF, Reitsma A, Dominic A, McDonald S, Thabane L, Akl EA, et al. Pregnancy outcomes in women with chronic kidney disease: a systematic review. Clinical journal of the American Society of Nephrology : CJASN. 2011;6(11):2587-98.
  1. Hirose N, Ohkuchi A, Usui R, Matsubara S, Suzuki M (2014) Risk of Preeclampsia in Women with CKD, Dialysis or Kidney Transplantation. Med J Obstet Gynecol 2(2): 1028.

 

Artikel ini ditulis sempena Hari Kesihatan Buah Pinggang Sedunia 2018 dengan kerjasama Unit Renal Pusat Perubatan Universiti Malaya.

 

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box