Episod 3 (Kisah Ana): Dialisis – Fasa hidup seterusnya – Dr Nur Hidayati

– sebuah cereka sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2018 –

Kisah ini hanyalah satu antara 1001 kisah yang ditemui sepanjang kerjaya saya sebagai seorang doktor perubatan. Sebarang persamaan dengan mana-mana individu samada hidup atau mati adalah secara kebetulan. Kisah ini dikongsi sebagai kisah tauladan dan diharap paparan kisah ini dapat membantu masyarakat memahami tentang penyakit buah pinggang.

Selepas kelahiran anak sulungnya, fungsi buah pinggang Ana terus merosot. Sebagai pakar perubatan yang memantau beliau, saya mula memperkenalkan konsep rawatan penggantian buah pinggang (Renal Replacement Therapy) kepada beliau.

Beliau pada mulanya sukar untuk menerima kenyataan bahawa beliau perlu memulakan rawatan dialysis. Dia melihat keadaan ini sebagai kegagalan dirinya untuk menjaga buah pinggangnya. Beliau berasa kecewa kerana kini beliau perlu bergantung dengan mesin untuk terus hidup.

Seseorang yang perlu menjalani rawatan dialisis bukanlah seorang yang gagal. Malah, mereka adalah orang yang kuat untuk teruskan hidup walaupun tanpa buah pinggang yang berfungsi dengan baik.

Tahukah anda untuk kegagalan organ lain seperti jantung ataupun otak, seseorang itu pasti tidak dapat meneruskan hidup. Hanya mereka yang kegagalan buah pinggang bernasib baik dapat peluang untuk meneruskan hidup walaupun tanpa buah pinggang yang berfungsi.

Kehidupan seseorang yang menjalani rawatan dialisis pastinya tidak sama berbanding seseorang yang tidak memerlukan dialisis. Mereka perlu menyesuaikan rutin seharian bagi menampung masa terapi dialisis. Jika mereka dapat mengamalkan terapi dialisis dengan baik serta patuh mengambil ubatan yang diperlukan, mereka boleh mengelakkan komplikasi kegagalan buah pinggang.

Untuk puan Ana, ini bermakna beliau boleh terus sihat dan mampu menjaga anak serta keluarganya. Malah, dia boleh kembali menjalani rutin harian beliau sebelum ini seperti melakukan kerja rumah mahupun kembali berkerja.

Bagaimana jika dia mahu hamil semula? Bolehkah dirinya hamil?

Seseorang yang sedang menjalani dialisis secara umumnya mempunyai tahap kesuburan yang rendah. Ada yang mengalami gangguan hormon sehingga menyebabkan kitaran haid menjadi tidak teratur dan ini menyukarkan seorang pesakit buah pinggang untuk hamil secara semula jadi.

Namun, ada sesetengah wanita yang menjalani rawatan dialisis masih boleh hamil. Namun, kehamilan semasa dialisis mempunyai risiko tinggi untuk pelbagai komplikasi melibatkan kesihatan ibu serta bayi. Kehamilan semasa dalam rawatan dialysis cenderung untuk berakhir dengan keguguran pada trimester pertama. Bayi dalam kandungan juga berisiko untuk mengalami kerencatan tumbesaran (intrauterine growth retardation) atau kematian dalam kandungan (intrauterine death). Si ibu boleh mengalami komplikasi praeklampsia yang serius hingga mengancam nyawa.

Atas sebab itu, pesakit dialisis tidak digalakkan untuk hamil. Mereka hanya digalakkan hamil selepas menjalani transplan buah pinggang atas sebab risiko kehamilan untuk seseorang yang sudah menjalani transplan adalah lebih rendah.

Perlukah seorang wanita yang menjalani rawatan dialisis mengamalkan kaedah pencegahan hamil?

Oleh kerana risiko komplikasi yang tinggi jika mereka hamil, pesakit dialisis disarankan untuk mengamalkan kaedah pencegahan hamil untuk jangka masa panjang. Pesakit dinasihatkan untuk merujuk doktor pakar Kesihatan Keluarga mahupun Sakit Puan untuk mendapat nasihat yang lebih terperinci bagi mimilih kaedah perancang keluarga yang sesuai untuk diri masing-masing. Pilihan kaedah perancang keluarga bergantung kepada penyakit lain yang dihidapi, ubatan yang diambil serta pilihan individu itu sendiri. Ini penting kerana sesetengah kaedah perancang boleh mempunyai kesan sampingan atau berinteraksi dengan ubatan yang diambil.

Jika seseorang yang sedang menjalani rawatan dialisis mahu hamil, mereka dinasihatkan untuk menjalani rawatan transplan buah pinggang. Ini kerana wanita yang sudah menjalani transplan buah pinggang mempunyai risiko komplikasi lebih rendah jika mereka hamil berbanding wanita yang masih bergantung dengan rawatan dialisis.

Apa yang saya patut lakukan jika saya tetap hamil tanpa dirancang sebelum sempat menjalani transplan buah pinggang? Adakah peluang untuk saya melahirkan bayi yang sihat walaupun perlu menjalani rawatan dialysis semasa hamil?

Atas sebab kadar transplan buah pinggang yang rendah di negara kita, adalah sukar untuk wanita yang mempunyai kegagalan buah pinggang untuk menjalani transplan buah pinggang dengan cepat. Dalam masa yang sama, umur mereka makin meningkat. Oleh sebab itu, ada juga wanita yang memilih untuk cuba hamil walaupun mereka belum menjalani transplan buah pinggang.

Wanita yang memilih untuk hamil semasa menjalani rawatan dialisis harus memahami risiko tinggi yang diambil. Pilihan ini harus dibincangkan dengan doktor pakar buah pinggang yang memantau penyakit mereka serta pakar sakit puan yang mahir dalam kes kehamilan berisiko tinggi.

Walaupun kehamilan jarang berlaku, ada pesakit buah pinggang tahap akhir yang mampu hamil. Pada masa dahulu, atas risiko kehamilan yang tinggi, mereka dinasihatkan untuk tidak meneruskan kehamilan mereka. Tetapi, pakar buah pinggang telah melakukan banyak kajian di kalangan pesakit dialisis yang hamil. Mereka mendapati jika pesakit dialisis yang hamil mampu mengekalkan tahap urea kurang dari 16 mmol/L dan meningkatkan dos rawatan dialisis minimum 24 jam hingga lebih 36 jam rawatan hemodialysis setiap minggu(1), mereka dapat merendahkan peratusan risiko komplikasi kehamilan mereka dan peluang mereka untuk melahirkan bayi yang sihat adalah lebih cerah.

Oleh sebab itu, pesakit dialisis yang telah hamil harus dirujuk dengan segera kepada pakar buah pinggang dan pakar sakit puan yang mampu memantau kandungan bersiko tinggi dari awal tempoh kehamilan lagi. Ini penting bagi memastikan pesakit tidak mengalami komplikasi kehamilan yang boleh mengancam nyawa dan bayinya.

Bagi Puan Ana, memandangkan umurnya yang masih muda, beliau telah dinasihatkan untuk menjalani transplan buah pinggang dengan segera jika beliau beliau memilih untuk hamil lagi. Sementara menunggu untuk mendapat rawatan transplan, beliau memilih untuk menjalani rawatan peritoneal dialisis.

Reference

  1. Hladunewich MA, Hou S, Odutayo A, Cornelis T, Pierratos A, Goldstein M, et al. Intensive hemodialysis associates with improved pregnancy outcomes: a Canadian and United States cohort comparison. J Am Soc Nephrol. 2014;25(5):1103-9.
  1. Fertility, Contraception, and Novel Reproductive Technologies in Chronic Kidney Disease Ahmed, Sofia B. et al. Seminars in Nephrology , Volume 37 , Issue 4 , 327 – 336
  1. Gianfranco Manisco, Marcello Potì’, Giuseppe Maggiulli, Massimo Di Tullio, Vincenzo Losappio, Luigi Vernaglione; Pregnancy in end-stage renal disease patients on dialysis: how to achieve a successful delivery, Clinical Kidney Journal, Volume 8, Issue 3, 1 June 2015, Pages 293–299, https://doi.org/10.1093/ckj/sfv016

Artikel ini ditulis sempena Hari Kesihatan Buah Pinggang Sedunia 2018 dengan kerjasama Unit Renal Pusat Perubatan Universiti Malaya.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box