Cervical Myelopathy: Tekanan Saraf Tengkuk yang Melemahkan Tangan Anda – Dr Ahmad Mahyuddin

Seorang wanita berusia awal 40-an masuk ke bilik konsultasi saya. Beliau mengadu mengalami kesukaran semasa memasak kerana sudu dan sudip sering terlepas daripada pegangan tangannya. Beliau mula perasan keadaan ini sejak awal tahun namun ia semakin serius sehingga menimbulkan bahaya kerana kemungkinan terkena minyak panas.

 

Adakalanya tangan beliau menjadi lenguh dan kebas. Kebelakangan ini, beliau juga mendapati semakin hilang keseimbangan dan kerap terjatuh semasa berjalan kaki.

 

Tangan menjadi lemah

Wanita di atas mungkin mengalami kondisi yang dikenali sebagai Cervical Myelopathy. Ia disebabkan oleh tekanan pada saraf tunjang di bahagian tengkuk beliau. Kondisi ini lebih kerap terjadi apabila kita semakin meningkat usia.

Individu yang mengalami masalah ini biasanya mengadu kekuatan tangan berkurangan terutamanya pada genggaman jari. Adakalanya ia bermula dengan ketidakselesaan atau kesakitan pada bahagian tengkuk, bahu dan tangan. Jika tekanan pada saraf tunjang adalah serius, ia boleh menyebabkan tangan menjadi lemah dan kebas.

Doktor Ortopedik biasanya akan dapat mengetahui lokasi tekanan ini daripada pemeriksaan awal. Ini adalah kerana setiap satu daripada 8 saraf Cervical kita membekalkan kawasan dan sendi yang spesifik. Ia dikenali sebagai dermatomes dan myotomes.

Sekiranya keadaan ini berlanjutan, ia boleh menyebabkan kelemahan pada kedua belah kaki, ketidakstabilan semasa pesakit berjalan (imbalance gait) dan masalah membuang air kecil.

Punca-punca Cervical Myelopathy

Cervical Myelopathy terjadi akibat tekanan pada saraf tunjang (spinal cord) di bahagian tengkuk pesakit. Punca-punca yang dikenalpasti boleh menyebabkan masalah ini berlaku adalah:

  1. Osteophytes atau penumbuhan tulang-tulang kecil akibat proses degenerative dan penuaan yang mengakibatkan ruang saraf tunjang menjadi sempit.
  2. Kepatahan tulang tengkuk menyebabkan anatomi tulang berubah.
  3. Tekanan pada pelapik tulang atau intervertebral disc yang tidak normal
  4. Ketumbuhan pada tulang belakang atau kawasan sekitarnya
  5. Jangkitan kuman yang menyebabkan pengumpulan nanah atau kerosakan pada struktur tulang belakang
  6. Tidak menjaga posture tengkuk dengan betul
  7. Penebalan dan ossifikasi ligamen tengkuk (Posterior Longitudinal Ligament dan/atau Ligamentum flavum)
  8. Penebalan sendi facet (facet hypertrophy)

 

Pemeriksaan

Hoffman sign

Apabila anda berjumpa doktor Ortopedik, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal ke atas anda selepas bertanya sejarah masalah anda. Antara pemeriksaan yang akan dilakukan ialah memeriksa kekuatan setiap otot sendi tangan dan kaki anda, kawasan yang kebas sekiranya ada dan pemeriksaan refleks pada otot sendi siku (biceps and triceps jerk), lutut (knee jerk) dan buku lali (ankle jerk). Pemeriksaan refleks ini dilakukan dengan menggunakan pengetuk tendon hammer dengan mengetuk secara perlahan ke atas urat tendon tersebut.

Selain daripada pemeriksaan saraf seperti refleks, clonus dan Babinski sign, terdapat juga pemeriksaan khusus bagi melihat tekanan pada saraf tunjang yang dikenali sebagai Myelopathy sign. Antaranya:

  1. Finger escape sign
  2. Hoffmann sign
  3. Inverse brachioradialis reflex
  4. Scapulohumeral reflex

Pemeriksaan ini akan dilakukan oleh doktor Ortopedik sekiranya kami mengesyaki anda mengalami kondisi ini. Anda tidak perlu risau kerana semua pemeriksaan fizikal ini langsung tidak menyakitkan!

 

Perlukah MRI dilakukan?

Imbasan X-ray akan dilakukan terlebih dahulu bagi melihat struktur tulang belakang pesakit. X-ray akan dapat menunjukkan perubahan seperti kurangnya ruang antara 2 tulang tengkuk, penumbuhan tulang-tulang Osteophytes, proses degenerative atau penuaan serta kedudukan dan keselarian tulang tengkuk.

MRI atau Magnetic Resonance Imaging adalah modaliti terbaik bagi melihat tekanan pada saraf tunjang dan integriti pelapik tulang (intervertebral disc). MRI biasanya akan dilakukan jika terdapat tanda-tanda tekanan saraf daripada pemeriksaan doktor.

Rawatan

Cervical Myelopathy boleh dirawat secara konservatif atau pembedahan bergantung kepada tahap kondisi yang dialami dan keadaan setiap pesakit secara keseluruhan.

Pada peringkat awal, doktor akan menasihati anda supaya berehat dan melakukan modifikasi terhadap cara hidup anda. Pesakit akan diberi ubat penahan sakit dan ubat anti-radang bagi mengurangkan kesakitan. Adalah penting bagi anda membetulkan postur anda duduk, menggunakan komputer dan telefon bimbit bagi mengelakkan masalah anda ini daripada semakin melarat.

Fisioterapi termasuk menggunakan kaedah haba dan ultrasound boleh membantu bagi sesetengah pesakit. Teknik ini boleh mengurangkan kekejangan pada otot tengkuk seterusnya mengurangkan kesakitan.

Namun sekiranya MRI menunjukkan tekanan saraf yang serius, atau simptom pesakit adalah amat teruk, pembedahan mungkin perlu dipertimbangkan bagi melegakan tekanan pada saraf tunjang tersebut.

Sekiranya anda atau saudara-mara anda mengalami simptom sebegini, saya nasihatkan anda segera berjumpa doktor bagi memastikan punca sebenar ia berlaku dan berbincang mengenai rawatan yang perlu dilakukan.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Rujukan

  1. Postgraduate Orthopaedics, Paul A. Banaszkiewicz, page 258-9
  2. Review of Orthopaedics, Mark D. Miller 5th edition, p472-3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box