20 Tip Atasi Pertelingkahan dan Tingkahlaku Agresif Anak Terhadap Adik Beradik – Dr Rozanizam Zakaria

Langkah pertama ialah memahami mengapa tingkah laku ini berlaku. Ada 4 sebab yang biasanya menyumbang kepada tingkah laku agresif terhadap adik beradik:

  1. Sebahagian daripada proses perkembangan psikologi.

Sifat protektif terhadap hak sendiri merupakan sebahagian daripada naluri yang terbentuk dalam proses perkembangan kognitif dan psikologi kanak-kanak. Pengkaji psikologi perkembangan manusia – Erick Erikson misalnya menggariskan bahawa pada fasa 2 tahun pertama, kanak-kanak akan meneroka kehidupannya dengan membina kepercayaan terhadap sekeliling. Apabila mereka rasa tidak selamat atau terancam, sama ada dari segi emosi atau fizikal, mereka akan menunjukkan tingkah laku tertentu sebagai sebahagian daripada proses perkembangan tersebut. Maka kehadiran adik dalam ruang lingkup ini ada kalanya memberi kesan terhadap mereka. Ini merupakan proses yang normal, cuma mereka memerlukan sokongan ibu bapa.

  1. Naluri semulajadi (temperament)

Setiap anak dilahirkan dengan naluri semulajadi yang berbeza. Ada yang pendiam, pemalu, berani, petah dan sebagainya. Ia merupakan sebahagian sifat yang menjadikan mereka unik. Ada kalanya temperament yang berbeza antara anak boleh menjadi punca kepada perbalahan. Sifat ini kemudiannya akan berkembang menjadi personaliti tertentu berdasarkan interaksi antara naluri semula jadi dengan persekitaran.

  1. Anak-anak yang mempunyai masalah kesihatan/gangguan perkembangan

Adakalanya tingkah laku agresif ini merupakan antara tanda-tanda awal masalah gangguan perkembangan neuro seperti autisme, attention deficit and hyperactivity disorder (ADHD) atau specific learning disorder atau gangguan masalah pembelajaran. Selain daripada itu, ia boleh juga berlaku akibat kanak-kanak itu rasa tidak selesa secara fizikal akibat penyakit-penyakit fizikal tertentu seperti demam.

  1. Model dari persekitaran

Ada juga tingkahlaku agresif yang berlaku akibat contoh yang dipelajari dari persekitaran seperti perbuatan ibubapa, adik beradik yang lebih tua, pendedahan di tempat asuhan serta pengaruh media seperti televisyen, permainan komputer dan telefon.

Tips elak anak berebut atau berbalah

  1. Jika pergaduhan itu mengenai perkara remeh – abaikan. Teknik ini perlu untuk meningkatakan ketahanan (resilience) mereka disamping melatih anak supaya tidak terlalu mudah mengadu. Ia juga bagi mengelakkan mereka menarik perhatian ibu bapa menerusi tingkahlaku negatif.
  2. Jika pergaduhan melibatkan perkara yang lebih serius seperti berebut mainan sehingga menganggu permainan atau melarat menjadi perbalahan, anda perlu mengambil langkah memberi respon kepada emosi mereka dan tidak terlalu fokus kepada menghukum perbuatan. Ajar mereka menamakan emosi yang mereka alami – marah, sedih, tak suka. Ini merupakan sebahagian daripada proses perkembangan emosi kanak-kanak.
  3. Hadapi isu mereka dengan hormat. Panggil salah seorang secara berasingan, dengar aduan mereka, tengok ke dalam mata dan pegang tubuh mereka.
  4. Tunjukkan kepada mereka bahawa anda faham dan situasi itu sukar bagi mereka. Contohnya, “kakak nak Lego yang ni untuk buat rumah Barbie, tapi adik nak buat kereta…tapi lego ni ada satu sahaja tinggal. Patutlah kakak dan adik berebut, sebab tinggal satu sahaja”.
  5. Tunjukkan yang anda percaya mereka boleh selesaikan pertelingkahan tersebut. “Mama tahu dua-dua nak benda yang sama, tapi benda ada satu sahaja, cuba kakak dengan adik fikir, macam mana nak kongsi supaya dua-dua tak bergaduh. Mama tahu kakak dengan adik mesti boleh selesaikan. Dah besar kan? Dua-dua anak soleh Mama”.
  6. Tinggalkan mereka untuk menyelesaikan sambil anda menjadi pemerhati. Teknik ini mungkin tidak menyelesaikan perbalahan mereka. Tetapi jika kita konsisten dengan teknik ini, mereka akan mula belajar untuk mengaitkan bergaduh dan berebut dengan emosi yang negatif (marah, bergaduh) kerana kita mendidik mereka untuk menjadi lebih berdikari dalam menguruskan emosi. Inilah kemahiran yang sangat penting apabila mereka meningkat remaja dan dewasa nanti.

Sumber gambar: Sibling Rivalry

Jika pergaduhan jadi berpanjangan atau melarat menjadi fizikal, sambung dengan teknik ini:

  1. Nyatakan dengan jelas apa yang anda nampak dan tidak suka – “nampaknya kakak dengan adik tak nak beralah dan berkongsi permainan sama-sama, sekarang dah jadi gaduh..”
  2. Pergi kepada anak yang dicederakan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan kepada yang memukul.
  3. Tarik kelebihan bermain (time-off) dan asingkan – “sekarang, dua-dua tak boleh main untuk sepuluh minit. Kakak pergi bilik kakak, adik pergi main bilik adik. Bila dua-dua dah tenang, baru boleh main semula”.
  4. Apa yang paling penting, ibu bapa perlu konsisten. Tak kisah sehebat manapun teknik, kalau kita beralah pada situasi, mereka akan dengan cepat tahu cara untuk nak tewaskan peraturan kita.
  5. Jika anak secara konsisten menyebabkan kecederaan pada anak-anak lain, dapatkan penilaian doktor untuk saringan masalah-masalah kesihatan seperti yang disebutkan diatas.
  6. Kenalpasti model tingkahlaku agresif anak-anak ini dan rawat. Jika ia berlaku akibat pendedahan dari media, pastikan anda mempunyai kawalan ke atas penggunaan media oleh mereka.

Perkara-perkara berikut perlu dilakukan secara konsisten jika berlaku perebutan di kalangan anak-anak.

  1. Pastikan setiap anak ada masa khusus, satu dengan satu, bersama ibubapa. Perasaan cemburu, rasa kurang disayangi adakalanya diterjemah dengan sifat keganasan.
  2. Jangan label mereka – “kakak dengan adik ni asyik bergaduh aje”
  3. Jangan bandingkan – “kenapa kamu berdua tak boleh jadi macam anak auntie X”. Terima apa rungutan mereka. Jangan tunjukkan anda berpihak atau tidak mempercayai salah seorang daripada mereka.
  4. Jangan halang mereka untuk marah, bahkan biarkan mereka marah – marah ialah emosi manusia, jangan halang, tapi tunjukkan mereka cara yang betul untuk tunjukkan dan uruskan perasaan marah itu.
  5. Beri perhatian bila mereka main dengan baik tanpa bergaduh – puji dan reward jika perlu.
  6. Alihkan tumpuan dengan buat jenaka, kisah lucu dan perkara yang buat mereka ketawa daripada isu perebutan itu.
  7. Jika mereka berkelakuan ganas/fizikal, beri hukuman sewajarnya secara konsisten. Jelaskan yang ia tidak boleh diterima dan setiap kelakuan fizikal akan dapat akibat (tidak semestinya fizikal, contohnya abaikan, time off, tarik kembali kelebihan boleh bermain di taman atau makan ais krim untuk tempoh tertentu.
  8. Kawal emosi anda. Secara tabi’i-nya, keganasan akan membangkit sifat yang sama pada diri kita. Ambil nafas perlahan-lahan dan fikirkan tindakan yang wajar bukan berdasarkan emosi.

Dr Rozanizam Zakaria

Pensyarah dan Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box