Apa itu penyakit MIS-C (Multisystem Inflammatory Syndrome in Children)? – Dr La Reina Sangaran

Keluarga anda baru dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pejabat kesihatan terdekat. Anda diberitahu bahawa salah seorang rakan sekerja anda di pejabat didapati positif untuk jangkitan Covid-19 dan anda adalah salah seorang kontak rapat pesakit ini. Anda mengimbas kembali aktiviti anda selama seminggu yang lepas. Ya, anda pernah bersembang dan makan bersama rakan sekerja ini di pantri sewaktu rehat. Anda berdua tidak memakai mask dan berada di kawasan yang tertutup untuk suatu jangka masa. Anda mula panik.

Selepas beberapa hari, anda diberitahu yang anda juga didapati Covid-19 positif. Satu keluarga dibawa ke klinik kesihatan terdekat untuk mengambil swab Covid-19. Beberapa hari kemudian, keputusan swab mengesahkan bahawa isteri dan salah seorang anak anda yang baru berusia 2 tahun juga positif Covid-19. Anda diminta untuk melakukan pemantauan kendiri di rumah. Mujur anda sekeluarga cuma mengalami gejala ringan seperti sakit tekak dan sedikit batuk. Selepas dua minggu, anda sekeluarga diberitahu bahawa anda bebas daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan untuk kembali bekerja dan melakukan aktiviti seharian anda. Anda bersyukur.

Tiga minggu berlalu. Keluarga anda sihat dan nampaknya tidak mempunyai sebarang kesan daripada jangkitan Covid-19. Anda sudah kembali bekerja dan keadaan mula kembali seperti sediakala. Tiba-tiba, anda mendapat panggilan telefon daripada isteri anda. Anak anda yang berusia 2 tahun sudah demam dari pagi tadi. Demamnya tinggi dan tidak surut dengan ubat demam. Badannya tidak bermaya dan dia tidak lalu makan. Anda membawa anak anda ke klinik terdekat. Doktor menyarankan bahawa anak anda menerima rawatan di hospital.

Anda mendapati bahawa mata anak anda merah dan juga mula timbul ruam kemerahan pada badannya. Badannya masih panas dan dia mula muntah-muntah. Di hospital, selepas melakukan pemeriksaan dan beberapa ujian darah, anda diberitahu bahawa anak anda menghidapi penyakit MIS-C.

Apa itu penyakit MIS-C?

Penyakit MIS-C atau Multisystem Inflammatory Syndrome in Children adalah suatu penyakit di mana terjadi keradangan pada organ-organ tertentu di dalam badan. Penyakit ini didapati berlaku pada kanak-kanak yang mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 yang pernah terjadi di antara 2 minggu hingga 2 bulan sebelum gejala MIS-C bermula.

Siapakah yang berisiko mendapat MIS-C?

Kebanyakan kanak-kanak yang mendapat jangkitan Covid-19 tidak bergejala atau hanya mengalami gejala yang ringan sahaja. Namun, <1% kanak-kanak yang mendapat jangkitan Covid-19 boleh mendapat komplikasi MIS-C. Jika anak anda pernah mendapat jangkitan Covid-19, anak anda mungkin berisiko untuk mendapat MIS-C walaupun penyakit ini jarang berlaku.

Mengapa MIS-C boleh terjadi?

 

Punca sebenar penyakit MIS-C masih belum diketahui, tetapi nampaknya, penyakit ini mungkin terjadi kerana tindak balas imun yang berlebihan terhadap Covid-19.

Apakah tanda-tanda penyakit MIS-C?

  • Demam tinggi
  • Badan tidak bermaya
  • Hilang selera makan
  • Mual muntah
  • Sakit perut
  • Cirit birit
  • Sawan
  • Mata merah
  • Ruam
  • Bengkak kaki dan tangan
  • Bibir dan lidah merah
  • Kulit mengelupas
  • Jantung berdebar
  • Nafas laju

Adakah penyakit MIS-C boleh berjangkit?

Penyakit MIS-C tidak boleh berjangkit. Walaupun kanak-kanak yang menghidap Covid-19 boleh menjangkiti orang lain, namun sewaktu menghidap MIS-C, kebanyakan kanak-kanak ini telah lewat daripada tempoh jangkitan.

Adakah penyakit MIS-C berbahaya?

 

Ya, penyakit MIS-C sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan kehilangan fungsi organ-organ penting dalam badan seperti otak, jantung, pembuluh darah dan ginjal. Kompikasi seperti pembuluh darah jantung bengkak, jantung lemah, tekanan darah rendah, kerosakan buah piggang dan hati boleh terjadi. Jika semakin parah, boleh menyebabkan kematian.

Bolehkan penyakit MIS-C diubati?

 

Ya, penyakit MIS-C boleh diubati jika kanak-kanak diberi rawatan dengan segera. Namun, jika lambat menerima rawatan, mungkin terjadi kehilangan fungsi kekal organ-organ penting dan jika terlambat boleh menyebabkan kematian.

Bagaimanakah penyakit MIS-C diubati?

 

Kebanyakan pesakit MIS-C akan dirawat di unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU) kerana keadaan mereka yang kritikal dan memerlukan pemantauan yang sangat rapi. Kanak-kanak yang menghidap penyakit MIS-C mungkin memerlukan bantuan pernafasan, oksigen dan ubat-ubatan untuk menaikkan tekanan darah. Selain itu, ubat IVIG dan ubat steroid dosis tinggi diperlukan untuk mengawal radang dalam badan. Kebanyakan pesakit juga akan diberikan ubat antibiotik untuk mengubati jangkitan kuman. Jika berlaku kegagalan fungsi ginjal, kanak-kanak mungkin memerlukan rawatan hemodialisis. Kanak-kanak ini juga memerlukan ubat-ubatan cair darah untuk mengelakkan terjadi darah beku di pembuluh darah.

Bilakah anda perlu membawa anak anda untuk mendapatkan rawatan?

 

Jika anak anda mempunyai tanda-tanda seperti di atas, segera bawa anak anda ke hospital yang terdekat untuk mendapatkan rawatan. Jika anak anda menghidap penyakit MIS-C, keadaan anak anda boleh merosot dengan cepat jika tidak mendapatkan rawatan dengan kadar segera.

Bagaimanakah kita boleh mengelak daripada terkena penyakit MIS-C?

Kita boleh mengelakkan penyakit MIS-C dengan menggelakkan diri daripada terkena

jangkitan COVID-19.

  • Vaksin COVID-19.
  • Memakai mask dan menjaga jarak dengan orang lain.
  • Tidak membawa anak-anak ke tempat yang sesak dan tertutup.
  • Sentiasa mengamalkan cuci tangan.
  • Kurangkan daripada menyentuh muka, mata dan hidung.
  • Mengelakkan daripada berjumpa dengan orang yang mempuyai gejala COVID-19 seperti demam, batuk, selsema, sakit tekak dan hilang deria bau serta rasa.

 

Dr La Reina Sangaran merupakan seorang pakar kanak-kanak di Hospital Selayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box