Mengenalpasti Rawatan Dermatitis Atopik (Ekzema) – Dr Noraziah Nordin & Nadhrah Mohammed

Pengenalan

Dermatitis atopik (DA) atau juga dikenali sebagai ekzema adalah keradangan kulit yang kronik dicirikan oleh lesi ekzema yang berulang dan gatal-gatal yang melampau. Ia biasanya dikaitkan dengan kanak-kanak dan menjejaskan kira-kira 2 daripada setiap 10 kanak-kanak, walaupun ia juga boleh menjejaskan orang dewasa. Penyakit kulit ini tidaklah membawa maut, namun ia meningkatkan risiko kepada alahan makanan, asma, dan rinitis alahan. Sehingga 80 peratus kanak-kanak dengan dermatitis atopik mengalami asma dan/atau rinitis alahan di kemudian hari. Perkembangan dermatitis atopik semasa bayi kepada rinitis alahan dan asma pada zaman kanak-kanak dan remaja dirujuk sebagai “atopic march” atau “allergic march”. Mekanisme dermatitis atopik termasuk ketidakfungsian penghalang kulit, faktor genetik, disregulasi imun dan keradangan dan perubahan mikrobiom kulit. Walaupun dermatitis atopik tidak mempunyai penawar yang pasti, banyak rawatan telah dikaji untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit. Dalam menguruskan keadaan ini, mengenal pasti dan menghapuskan faktor pencetus boleh bertindak sebagai rawatan pertama (bukan farmakologi), kemudian diteruskan dengan rawatan farmakologi atau rawatan alternatif. Dalam menguruskan pesakit dermatitis atopik, penilaian keterukan adalah penting untuk merancang pengurusan rawatan pesakit. Secara amnya, pesakit akan merujuk kepada penjagaan primer terlebih dahulu, jika keadaan pesakit masih tidak bertambah baik dengan rawatan semasa, justeru mereka perlu dirujuk ke penjagaan yang lebih tinggi iaitu penjagaan tertiari untuk rawatan yang lebih menyeluruh. 

 

Rawatan untuk Dermatitis Atopik

Pendekatan bukan farmakologi

  • Hilangkan faktor yang mungkin memburukkan dermatitis atopik

Penghalang epidermis kulit yang lemah memerlukan penjagaan yang teliti. Mandi berlebihan sahaja tidak akan menghidratkan badan kita, sebaliknya kulit memerlukan penghidratan dengan pelembap, kekal dalam suasana sederhana kering, dan mengelakkan sebarang detergen untuk membantu memulihkan penghalang kulit yang telah lemah. Mengelakkan kulit daripada keadaan ini penting dalam pengurusan masalah kulit akut dan kronik. Oleh kerana individu yang mengalami dematitis atopik lebih sensitif kepada rangsangan pruritik (kecenderungan untuk menggaru), apa-apa sahaja keadaan yang boleh menyebabkan individu DA untuk menggaru harus dielakkan. Selain itu, pesakit DA yang berkemungkinan mendapat alahan kepada alergen tertentu, seperti hama, debunga dan habuk rumah perlu mengurangkan pendedahan kepada alergen tersebut, walaupun ia mungkin tidak mengurangkan keterukan penyakit DA1.

 

  • Mengekalkan penghidratan kulit

Pelembap mungkin merupakan agen yang baik dalam membantu memulihkan integriti kulit dengan memberikan penghidratan dan perlindungan yang mencukupi kepada kulit, menghalang air di dalam kulit daripada keluar daripada kulit badan. Krim dengan tekstur tebal dan kandungan air yang rendah adalah komponen yang sangat sesuai digunakan. Ia bertujuan untuk dapat membina semula struktur kulit kerana ketiadaan filaggrin dalam stratum korneum dengan menggunakan krim tebal seperti pelembap2. Kajian yang dijalankan oleh Esther J Zuuren et al. (2017) ke atas pesakit DA dalam mengurangkan simptom ekzema dan flare-up mendapati pelembap yang mengandungi asid glycyrrhetinic, iaitu sejenis bahan anti-radang semula jadi adalah empat kali lebih berkesan daripada terapi aktif topikal yang digunakan dalam merawat keadaan mereka3. Kesimpulan yang dibuat oleh kumpulan penyelidik tersebut mendapati terapi aktif topikal ditambah dengan pelembap boleh mengurangkan keterukan penyakit DA.

 

Pendekatan farmakologi

  • Merawat kerengsaan

Perencat calcineurin topikal seperti pimecrolimus dan tacrolimus boleh digunakan bersama dengan kortikosteroid topikal sebagai rawatan pertama4. Apabila rawatan pertama gagal, fototerapi ultraviolet adalah rawatan seterusnya yang selamat dan berkesan untuk dermatitis atopik sederhana hingga teruk. Antibiotik yang bersifat anti-staphylococcal juga berkesan dalam merawat jangkitan kulit sekunder. Antihistamin yang diambil secara oral tidak disyorkan kerana ia tidak membantu bagi keadaan kerengsaan bersama pruritus (kegatalan). Dupilumab, dan bukan ubat imunosupresan tradisional seperti siklosporin dan methotrexate, mungkin menjadi pilihan bagi sesetengah individu yang gejalanya tidak bertindak balas terhadap rawatan topikal dan individu yang tidak memilih melakukan fototerapi. Dupilumab ialah antagonis reseptor interleukin (IL-4) yang dibenarkan oleh FDA Ameriksa Syarikat untuk digunakan sebagai rawatan dermatitis atopik sederhana hingga teruk pada kanak-kanak berumur enam bulan ke atas yang tidak bertindak balas terhadap rawatan preskripsi topikal. Tambahan pula, dupilumab mempunyai kesan sampingan yang lebih rendah dan boleh digunakan untuk merawat dermatitis atopik untuk masa yang lama.

 

  • Menghilangkan kegatalan

Antihistamin oral biasanya digunakan sebagai adjuvant (bahan untuk meningkat respon imuniti) untuk melegakan pruritus pada individu dengan dermatitis atopik. Namun, kajian berskala kecil yang dijalankan menunjukkan pengambilan ubat ini sebagai terapi “tambahan” untuk ekzema tidak mempunyai perbezaan dengan kumpulan plasebo (ref 2019)5. Fexofenadine, sebaliknya, berkemungkinan menghasilkan sedikit peningkatan dalam pruritus yang dilaporkan oleh pesakit, tanpa perbezaan ketara dalam kuantiti ubat yang diperlukan untuk mengelakkan ekzema flare-up. Tiada petunjuk bahawa cetirizine lebih baik daripada plasebo dari segi penunjuk klinikal yang dinilai oleh doktor atau simptom yang dinilai pesakit, dan tiada bukti bahawa loratadine lebih baik daripada plasebo, walaupun semua terapi tersebut adalah selamat. Walau bagaimanapun, semua kajian ini adalah tidak mencukupi untuk memberi kesimpulan kerana hasil yang tidak jelas5.

Kaedah lain yang dapat membantu menghilangkan kegatalan adalah menggunakan pembalut basah bagi menyuburkan dan melegakan kulit sambil mengurangkan kemerahan pada kegatalan, melonggarkan kawasan berkerak dan menghalang kulit daripada digaru secara terus di kawasan yang terjejas6.

 

Rawatan Alternatif

  • Perubatan Tradisional Cina

Percubaan rawak formulasi lima herba iaitu formulasi PentaHerbs (PHF) telah dilakukan di China. Formulasi ini mengandungi P. suffruticosa, Phellodendron chinense, Lonicera japonica, Menthahaplocalyx, dan Atractylodes lancea. Lapan puluh lima kanak-kanak dengan DA sederhana hingga teruk kronik telah diberikan PentaHerbs atau plasebo secara rawak setiap hari selama 12 minggu. Hasil keputusan mendapati kumpulan kanak-kanak PentaHerbs mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dan menggunakan lebih sedikit kortikosteroid topikal dengan pengurangan ketara dalam kepekatan plasma purata selepas 3 bulan, daripada 1798 pg/mL dan 824 pg/mL pada garis dasar kepada 1378 pg/mL dan 492 pg/mL (P = 0.002 dan 0.013, masing-masing). Tiada kejadian buruk yang serius dilaporkan oleh kumpulan ini. PentaHerbs telah terbukti mempunyai kesan imunomodulator berdasarkan kajian yang dijalankan7.

Selain itu, Xiao-Feng-San (XFS), formula 13 herba, telah dikaji dalam percubaan rawak di Taiwan. Pesakit dengan DA teruk dirawat selama lapan minggu dengan XFS oral atau plasebo. Terdapat peningkatan yang baik yang sangat ketara dalam jumlah lesi, eritema, kerosakan permukaan, pruritus, dan skor tidur dalam kumpulan rawatan XFS berbanding dengan plasebo. Peningkatan yang lebih baik dapat dilihat walaupun selepas 4 minggu menerima rawatan8. Akupunktur juga terbukti sebagai rawatan adjuvant yang hebat dan meningkatkan keberkesanan rawatanDA dengan mengurangkan saiz wheal, kerengsaan kulit dan pengaktifan basofil selain hanya menggunakan terapi herba[1]. Perubatan tradisional Cina juga telah dianggap selamat secara meluas9.

 

  • Homeopati

Berdasarkan kajian oleh ElioRossi et al. (2012), 70% pesakit kanak-kanak yang menerima rawatan homeopati dan diperiksa 8 tahun kemudian telah kehilangan DA sepenuhnya. Ini menunjukkan bahawa homeopati mempunyai kesan terapeutik yang bermanfaat ke atas kanak-kanak dan remaja10. Tambahan pula, penyelidikan menunjukkan bahawa pesakit zaman kanak-kanak yang dirawat dengan homeopati mempunyai peluang yang berkurangan untuk mendapat asma (dan rinitis alahan) apabila dewasa. Kejayaan rawatan homoeopati dinilai menggunakan penilaian keadaan kulit objektif serta penilaian peribadi pesakit pada skala 9 yang sama dengan Skala Hasil Homeopati Glasgow. Kesan keseluruhan mereka serta keadaan kulit mereka bertambah baik lebih daripada 50%11.

 

  • Minyak primrose

Kajian oleh Johnston et al. (2004), menyatakan bahawa minyak evening primrose biasanya digunakan dalam memanipulasi diet di mana 13% (3 daripada 24 pengguna) merasakan pengambilan minyak ini telah membantu kulit mereka. Hanya 51% (38 daripada 75 pennguna) telah berunding dengan doktor atau pakar diet sebelum memulakan sebarang perubahan diet, tetapi 39% (29 daripada 75 pengguna) merasakan bahawa kulit mereka telah bertambah baik akibat daripada manipulasi diet melalui minyak ini12. Dalam kajian berasingan, disimpulkan bahawa minyak evening primrose memperbaiki dermatitis atopik di sebabkan keabnormalan enzim delta-6-desaturase yang menjelaskan penemuan biokimianya13. Selain itu, ekstrak minyak evening primrose (yang mengandungi 8-10 peratus asid gamma linolenik (GLA)) nampaknya mempunyai sedikit kesan negatif dan menyebabkan penambahan asid lemak yang diperlukan bagi membantu masalah dermatitis atopik ini14.

 

Kesimpulan

Secara ringkasnya, dermatitis atopik telah mencetuskan kebimbangan kerana ia biasa berlaku pada kanak-kanak dan boleh memberi kesan yang ketara kepada gaya hidup dan masa depan kanak-kanak. Malah, ia juga boleh terjadi di kalangan remaja dan dewasa. Terdapat beberapa pilihan terapi yang tersedia untuk membantu mengurangkan keterukan AD, apabila kesihatan pesakit tidak bertambah baik dan tidak bertindak balas dengan rawatan semasa. Cadangan rawatan di dalam artikel ini adalah pilihan yang boleh diambil, namun masih memerlukan nasihat pakar kulit sebelum mencuba sesuatu rawatan. Dengan rawatan yang bersesuaian, diharap dapat menambah baik gaya hidup pesakit. Membantu memudah penjagaan kesihatan serta dapat meningkatkan kebahagiaan hidup mereka.

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Noraziah Nordin (pensyarah kanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM) dan Nadhrah Mohammed (pelajar perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM).

 

Rujukan

[1] Weston, Howe, W. W. (2021, November 23). Patient education: Eczema (atopic dermatitis) (Beyond the Basics). UpToDate. https://www.uptodate.com/contents/eczema-atopic-dermatitis-beyond-the basics#: ~:text= Eczema%2C %20also %20 known % 20 as % 20atopic,with%20 Moisturizers%20and%20prescription%20ointments.

[2] Howe, W. (2022, June 13). Treatment of atopic dermatitis (eczema). UpToDate.

https://www.uptodate.com/contents/treatment-of-atopic-dermatitis-eczema.

[3] van Zuuren, E. J., Fedorowicz, Z., Christensen, R., Lavrijsen, A. P., & Arents, B. W. (2017a). Emollients and moisturisers for eczema. Cochrane Database of Systematic Reviews, 2020(8). https://doi.org/10.1002/14651858.cd012119.pub2

[4] G Berger, T. (2021b, May 18). Evaluation and management of severe refractory atopic dermatitis (eczema) in adults. UpToDate. https://www.uptodate.com/contents/evaluation-and-management-of-severe-refractory-atopic-dermatitis-eczema-inadults?topicRef=1730&source=see_link

[5] Matterne, U., Böhmer, M. M., Weisshaar, E., Jupiter, A., Carter, B., & Apfelbacher, C. J. (2019). Oral H1 antihistamines as ‘add-on’ therapy to topical treatment for eczema. Cochrane Database of Systematic Reviews, 2019(1). https://doi.org/10.1002/14651858.cd012167.pub2

[6] Alomar, A., & Yélamos, O. (2013). Guidelines review on atopic dermatitis management. Clinical Practice, 10(3), 311–316. https://doi.org/10.2217/cpr.13.19

[7] Leung, T., Wong, K., Wong, C., Fung, K., Lam, C., Fok, T., Leung, P., & Hon, K. (2008). In vitro and clinical immunomodulatory effects of a novel Pentaherbs concoction for atopic dermatitis. British Journal of Dermatology, 158(6), 1216–1223. https://doi.org/10.1111/j.1365-2133.2008.08502.x

[8] Lin, J. H. (2011). The Efficacy and Safety of a Chinese Herbal Product (Xiao-Feng-San) for the Treatment of Refractory Atopic Dermatitis: A Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Trial. Pediatrics, 128(Supplement_3), S140. https://doi.org/10.1542/peds.2011-2107bbbb

[9] Wang, Z., Wang, Z. Z., Geliebter, J., Tiwari, R., & Li, X. M. (2021). Traditional Chinese medicine for food allergy and eczema. Annals of Allergy, Asthma & Immunology, 126(6), 639–654. https://doi.org/10.1016/j.anai.2020.12.002

[10] Rossi, E., Bartoli, P., Bianchi, A., & da Frè, M. (2012). Homeopathy in paediatric atopic diseases: long-term results in children with atopic dermatitis. Homeopathy, 101(1), 13–20. https://doi.org/10.1016/j.homp.2011.09.003

[11] Itamura, R., & Hosoya, R. (2003). Homeopathic treatment of Japanese patients with intractable atopic dermatitis. Homeopathy, 92(02), 108–114. https://doi.org/10.1016/s1475-4916(03)00017-1

[12] Johnston, G., Bilbao, R., & Graham-Brown, R. (2004). The use of dietary manipulation by parents of children with atopic dermatitis. British Journal of Dermatology, 150(6), 1186–1189. https://doi.org/10.1111/j.1365-2133.2004.05888.x

[13] Wright, S., & Wright, D. S. (1991). Essential fatty acids and atopic dermatitis. Pediatric Allergy and Immunology, 2(S1), 23–30. https://doi.org/10.1111/j.1399-3038.1991.tb00317.x

[14] Williams, H. C. (2003). Evening primrose oil for atopic dermatitis. BMJ, 327(7428), 1358–1359. https://doi.org/10.1136/bmj.327.7428.1358

 

[1] Lin, JH (2011). Keberkesanan dan Keselamatan Produk Herba Cina (Xiao-Feng-San) untuk Rawatan Dermatitis Atopik Refraktori: Percubaan Terkawal Plasebo, Randomed, Double-Blind. Pediatrik , 128 (Tambahan_3), S140. https://doi.org/10.1542/peds.2011-2107bbbb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box