Kulat kuku boleh dirawat! – Dr Aminuddin Bin Hasnol Aidi

Pengenalan

Kulat kuku atau nama perubatannya Onychomycosis merupakan satu penyakit kuku kronik yang kerap berlaku dikalangan orang dewasa dan sebahagian kecil di kalangan kanak-kanak. Kulat kuku boleh melibatkan sebahagian atau keseluruhan daripada kuku pada tangan ataupun kaki. Untuk kebanyakan kes, pesakit selalunya akan cuba untuk merawat sendiri dengan membeli ubat sapuan di farmasi. Namun, tidak ramai yang berjaya mengubati kondisi ini dan akhirnya akan membiarkan keadaan seadanya.

Gejala, tanda-tanda dan komplikasi

Jangkitan kulat pada kuku akan menyebabkan kuku menjadi tebal, keras, rapuh dan terpisah daripada kulit kuku. Kuku yang dijangkiti juga akan berubah warna menjadi putih atau kuning-kehitaman dan mengeluarkan bau yang busuk. Jika dibiarkan tanpa rawatan, penyakit ini akan menyebabkan komplikasi yang lebih teruk seperti sakit berpanjangan atau mendapat jangkitan bakteria yang boleh merebak pada bahagian kaki ataupun tangan.

Kecacatan rupa fizikal kuku juga boleh menyebabkan tekanan psikologi yang menjadikan pesakit itu malu, rendah diri dan kurang bersosial.  Dalam kes terpencil, tekanan mental berpanjangan ini boleh mengakibatkan penyakit kegelisahan dan kemurungan yang serius.

Faktor risiko dan jenis kulat

Seseorang itu lebih mudah dijangkiti kulat kuku sekiranya mempunyai faktor risiko yang berikut;

  • Sistem imunisasi badan yang rendah – pesakit Diabetes (kencing manis) atau HIV
  • Penyakit kulit kronik – psoriasis atau hyperhidrosis (peluh setempat)
  • Jenis pekerjaan/ aktiviti/ hobi – tempat basah atau berisiko untuk cedera
  • Merokok
  • Jantina – lelaki lebih berisiko dari wanita
  • Usia – umur lebih daripada 50 tahun lebih berisiko
  • Faktor genetik

Jenis kulat yang mengakibatkan penyakit ini adalah berbeza-beza bergantung kepada faktor geografi setempat. Kulat yang paling utama direkodkan dalam kajian ialah Dermatophytes iaitu sebanyak 70% daripada seseluruhan kes dan selebihnya oleh kulat Nondermatophyte molds dan yeast.

Diagnosis dan ujian pengesahan

Diagnosis atau pengesahan penyakit amat penting dibuat sebelum rawatan dimulakan dan boleh dilakukan oleh mana-mana pegawai perubatan. Ini adalah untuk memastikan rawatan yang diterima berkesan dan mengelakkan kesan sampingan daripada rawatan yang salah.

Sekiranya diagnosis sukar dibuat secara klinikal, pegawai perubatan akan menghantar sampel kuku bagi menjalankan ujian pemeriksaan dibawah mikroskop atau ujian kultur kulat. Keputusan daripada ujian ini memberikan maklumat tepat berkenaan jenis kulat dan seterusnya memudahkan pemilihan rawatan yang sesuai.

Rawatan

Rawatan kulat kuku bergantung kepada tahap keterukan dan risiko komplikasi dan ianya perlu dirawat segera sekiranya menyebabkan kesakitan dan jangkitan bakteria.

Rawatan terbahagi kepada dua cara iaitu secara sapuan (topical) ataupun ubat makan (oral).

Jenis ubat sapuan;

  • Efinaconazole
  • Amorolfine
  • Ciclopirox

Jenis ubat makan;

  • Terbinafine
  • Itraconazole

Penyakit tahap ringan boleh dirawat dengan ubat sapuan sahaja pada bahagian kuku yang dijangkiti. Namun, tempoh rawatan efektif memerlukan masa 6 bulan hingga setahun untuk melihat kesan pemulihan kuku.

 

Untuk gejala tahap serius, rawatan ubat makan dan sapuan perlu digunakan secara serentak dan memerlukan penglibatan pegawai perubatan untuk memantau keberkesanan dan kesan sampingan rawatan.

Tips pencegahan

Persekitaran yang kotor dan lembap lebih kerap terdedah kepada risiko jangkitan kulat kuku. Antara tips yang boleh diamalkan bagi mengurangkan risiko jangkitan adalah;

  • Menjaga kebersihan kaki – terutamanya selepas aktiviti yang mengeluarkan peluh
  • Mengelak dari pergi tempat yang berisiko tinggi – tempat berkarpet yang kotor
  • Tidak memakai kasut atau stokin lama atau yang sudah lapuk
  • Memakai bedak anti-kulat

Kesimpulannya, sekiranya berlaku perubahan pada kuku yang membimbangkan, segeralah berjumpa dengan pegawai perubatan kerana ianya bukan normal dan boleh dirawat.

Artikel ini ditulis oleh;

Dr Aminuddin Bin Hasnol Aidi

Pakar Perubatan Dalaman,

Jabatan Perubatan Dalaman,

IIUM Kuantan

 

(Gambar pesakit dimuatnaik dengan izin)

Rujukan:

  1. Onychomycosis: Epidemiology, clinical features and diagnosis. https://www.uptodate.com/contents/onychomycosis-epidemiology-clinical-features-and-diagnosis?search=onychomycosis&source=search_result&selectedTitle=2~108&usage_type=default&display_rank=2
  2. Onychomycosis management.

https://www.uptodate.com/contents/onychomycosis-management?search=onychomycosis&source=search_result&selectedTitle=1~108&usage_type=default&display_rank=1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box