Penyakit Gout dan Komplikasinya: Apa Orang Awam Perlu Tahu – Dr Mohammad Che’ Man, Dr Shahidah Che Alhadi & Dr Salman Amiruddin

APAKAH ITU PENYAKIT GOUT?

Merupakan penyakit radang sendi yang disebabkan oleh pembentukan dan pengumpulan kristal ‘monosodium urate’ di bahagian sendi-sendi.

APAKAH FAKTOR RISIKO GOUT?

  1. Diet tinggi makanan tinggi asid urik
  2. Pengambilan alkohol
  3. Berat badan berlebihan dan obesiti
  4. Penyakit darah tinggi dan kencing manis, penyakit kulit psoriasis, penyakit buah pinggang dan jantung
  5. Ubatan seperti sesetngah ubat darah tinggi seperti kumpulan diuretik dan ‘beta blocker’.
  6. Genetik/keturunan
  7. Lelaki
  8. Peningkatan usia
  9. Paling biasa antara umur diantara 30 hingga 50 tahun.
  10. Perempuan putus haid
  11. Sejarah terbaru membuat pembedahan atau mengalami ‘trauma’

APAKAH KOMPLIKASI PENYAKIT GOUT?

  • Pembentukan ‘tophi’

Iaitu pengumpulan ‘urate crystal’ di bahagian sendi-sendi dan tulang rawan (cartilage) yang keras dan membentuk benjolan pelbagai saiz diseluruh badan termasuk jari jemari, tangan, kaki dan ibu kaki, buku lali, siku dan belakang telinga.

Ianya merupakan petanda penyakit gout yang kronik dan pesakit yang selalu mendapat penyakit gout akut. Kebanyakan tidak sakit akan tetapi boleh menyebabkan sendi mengalami kerosakan dan membuatkan pesakit sukar untuk mengerakkan sendi. Ianya boleh menyebabkan komplikasi sekiranya rawatan tidak dimulakan. Sekiranya terdapat jangkitan kuman atau penekanan terhadap saraf, ianya akan menyebabkan kesakitan dan mengganggu kehidupan.

 

  • Kerosakan sendi

Ianya akan menyebabkan pembengkakan sendi-sendi dan radang sendi yang kronik yang akan menyebabkan kerosakan sendi secara senyap dan mendalam. Pesakit boleh juga mengalami kekakuan sendi (stiffness) dan juga kecacatan sendi.

 

  • Kepatahan tulang

Sesetengah kajian telah membuktikan pesakit gout boleh meningkatkan risiko patah tulang walaupun ada kajian juga telah menidakkannya.

 

  • Batu karang buah pinggang (batu karang asid urik)

Kepadatan dan tingginya asid urik akan menyebabkan pembentukan batu karang. Gejala biasa adalah sakit yang teruk di belakang badan, kawasan kemaluan dan juga kawasan bawah abdomen, kencing yang menyakitkan dan kencing berdarah.

  • Penyakit buah pinggang kronik

Apabila terlalu banyak asid urik dalam darah, buah pinggang terpaksa bekerja kuat untuk proses keseimbangan asid urik dalam badan. Sekiranya asid urik berbentuk kristal ini berkumpul di dalam buah pinggang, ianya akan menggangu fungsi buah pinggang dan seterusnya menyebabkan kerosakan buah pinggan yang nyata dan akhirnya kegagalan buah pinggang.

BAGAIMANA CARA UNTUK MENGURANGKAN KOMPLIKASI GOUT?

  1. Mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi asid urik.
  2. Tidak mengambil arak/alkohol.
  3. Perlu berbincang dengan doktor untuk pengambilan ubatan yang ada kaitan dengan peningkatan aras asid urik.
  4. Minum air yang banyak.
  5. Membuat pemeriksaan darah secara berkala terutama pemeriksaan darah buah pinggang.
  6. Makan makanan seimbang.
  7. Memastikan berat badan ideal.
  8. Membuat aktiviti fizikal.
  9. Memastikan sekiranya menghidapi kencing manis atau darah tinggi, ianya dalam keadaan terkawal.

APAKAH RAWATAN YANG ADA UNTUK PESAKIT GOUT?

Banyak ubatan yang mampu mengurangkan paras asid urik dalam darah contohnya seperti ubat bernama colchicine, allopurinol, febuxostat dan probenecid disamping mengamalkan cara hidup yang sihat. Akan tetapi perlulah berjumpa doktor bertauliah untuk sesi rundingan konsultasi.

Rujukan:

  1. 2016 updated EULAR evidence-based recommendations for the management of gout, P Richette et.al
  2. Management of Gout (Second Edition) – Ministry of Health Malaysia (MOH), 2021

Ditulis oleh,

Asst. Prof. Dr Mohammad Bin Che’ Man

Pensyarah perubatan/Pakar Perubatan Keluarga

MD.UKM, MMED.USM

Department of Family Medicine,

Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan

Asst. Prof. Dr Shahidah Binti Che Alhadi

Pensyarah perubatan/Pakar Bedah

MBBS. IIUM , MMED.USM

Department of Surgery,

Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan

 

Dr Salman Bin Amiruddin

Pensyarah perubatan/Pakar Perubatan ORL

MBBS (Cairo), Master of Surgery (ORL-Head Neck), UKM

Department of ORL,

Fakulti Perubatan, UniSZA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box