Pengenalan
Setiap tahun kita mendengar berita tentang pendaki yang tersesat di hutan. Apabila ini berlaku, mereka mungkin akan terputus dari bekalan makanan dan kadang-kadang tanpa air langsung. Tapi pernahkah anda terfikir, apa sebenarnya yang berlaku dalam badan kita semasa saat-saat kritikal itu berlaku? Bagaimana badan kita “bertahan” walaupun tidak makan berhari-hari? Dan kenapa tanpa air jauh lebih bahaya berbanding tanpa makanan? Mari kita selongkar apakah situasi sebenar yang sering dihadapi oleh para pendaki yang tersesat dan memahami apa yang berlaku di dalam badan secara saintifik.

Apa sebenarnya yang berlaku dalam badan? Sains di sebalik ‘survival’
Fasa Tanpa Makanan: Dari Glikogen ke Jasad Keton
Apabila seseorang berhenti mengambil makanan, badan akan menggunakan glukosa sedia ada dalam darah dan simpanan glikogen di dalam hati serta otot terlebih dahulu. Bergantung kepada tahap aktiviti fizikal individu, simpanan glikogen ini biasanya akan menyusut dan habis sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 24 jam [1]. Sebaik sahaja bekalan glikogen habis, badan akan beralih kepada proses lipolisis, iaitu pemecahan lemak (trigliserida) yang tersimpan di dalam tisu badan kepada asid lemak bebas dan gliserol [1]. Dalam fasa ini, gliserol digunakan sebagai bahan mentah untuk proses glukoneogenesis bagi membolehkan hati menghasilkan glukosa baharu demi mengekalkan kestabilan paras gula darah, manakala asid lemak bebas pula digunakan secara langsung oleh otot dan sel-sel lain sebagai sumber bahan api [1-3].
Peningkatan kadar asid lemak bebas dalam darah seterusnya akan merangsang hati untuk menghasilkan jasad keton seperti acetoacetate dan beta-hydroxybutyrate melalui proses ketogenesis. Proses ini dirangsang aktif oleh hormon glukagon, kortisol, dan katekolamin, manakala paras insulin yang rendah memberikan laluan optimum untuk rembesannya. Jasad keton ini mempunyai keupayaan istimewa untuk melepasi sawar darah otak (blood-brain barrier) bagi membekalkan tenaga terus kepada otak dan otot. Keupayaan ini sangat kritikal memandangkan otak tidak boleh menggunakan asid lemak secara terus sebagai sumber tenaga. Ketika fasa kebuluran berpanjangan, jasad keton mampu membekalkan sehingga dua pertiga daripada keperluan tenaga otak yang merupakan mekanisme pertahanan badan untuk menjimatkan penggunaan protein dan glukosa [4].
Namun, apabila simpanan lemak semakin berkurangan selepas beberapa hari, badan terpaksa memecahkan protein struktur termasuk daripada tisu otot untuk menghasilkan asid amino, terutamanya alanin. Asid amino ini kemudiannya akan dibawa ke hati untuk ditukarkan menjadi glukosa. Proses pemecahan ini menjelaskan mengapa individu yang mengalami kebuluran jangka panjang akan kelihatan mengalami susut otot yang sangat ketara [5]. Pada masa yang sama, badan turut mengaktifkan proses autofagi, iaitu keadaan di mana sel-sel mengitar semula komponen dalaman sendiri bagi mendapatkan bahan tambahan untuk proses glukoneogenesis. Walau bagaimanapun, sebagai strategi untuk memanjangkan tempoh kelangsungan hidup (survival), badan akan tetap berusaha sedaya upaya untuk memelihara fungsi protein penting pada organ-organ vital seperti hati, jantung, dan buah pinggang [5].
Fasa Tanpa Air: Kesan Dehidrasi Terhadap Fungsi Tubuh
Berbeza dengan kekurangan makanan, kekurangan air memberikan kesan yang jauh lebih cepat dan berbahaya kepada tubuh manusia. Badan manusia dewasa terdiri daripada kira-kira 60% air, di mana setiap proses dalam sel memerlukan cecair untuk berfungsi secara optimum. Apabila badan langsung tidak menerima bekalan air, satu mekanisme kecemasan akan berlaku di mana tubuh akan “merampas” air daripada tisu-tisu lain untuk dialirkan terus kepada organ-organ yang lebih penting. Proses kekurangan air ini berlaku secara berperingkat, bermula daripada dehidrasi ringan yang ditandai dengan rasa dahaga, mulut kering, serta perubahan warna air kencing menjadi lebih gelap dan jumlahnya berkurangan [6].

Apabila beralih ke peringkat dehidrasi sederhana, gejala fizikal dan kognitif mula kelihatan seperti sakit kepala, keletihan, pening, kekeliruan ringan, serta penurunan prestasi mental. Malah, kajian menunjukkan bahawa kehilangan air sebanyak 2% daripada berat badan sahaja sudah memadai untuk menjejaskan ingatan jangka pendek, fokus dan kebolehan mengira seseorang. Sekiranya berterusan tanpa ditangani, situasi ini akan melarat menjadi dehidrasi teruk. Pada peringkat kritikal ini, kulit akan kehilangan keanjalannya dan badan akan berhenti menghasilkan peluh, satu keadaan yang sangat berbahaya kerana tubuh tidak lagi mampu menyejukkan suhunya sendiri. Keadaan ini akhirnya akan membawa kepada fasa delirium sehinggalah organ-organ utama terutamanya buah pinggang akan gagal berfungsi sepenuhnya [7].
Dua situasi apabila tersesat, mana lebih bahaya?
Berdasarkan fakta sains yang diterangkan, situasi apabila tersesat di kawasan yang terdedah tanpa air adalah jauh lebih berbahaya dan kritikal berbanding situasi tersesat di hutan tropika tanpa makanan tetapi mempunyai akses air. Di dalam hutan dengan sumber air, badan masih mampu bertahan sehingga beberapa minggu dengan “menukar gear” menggunakan simpanan glikogen, lemak (lipolisis), dan jasad keton untuk membekalkan tenaga kepada otak, walaupun prestasi fizikal dan fokus akan merosot secara perlahan. Sebaliknya, tersesat di kawasan gersang tanpa air boleh membawa maut dalam tempoh kurang 24 jam. Ketiadaan air bukan sahaja mengganggu proses metabolisme lemak dan glukoneogenesis yang memerlukan air, malah kegagalan badan menghasilkan peluh akan menaikkan suhu badan secara mendadak lalu mencetuskan strok haba (heat stroke) yang merupakan punca utama kematian mengejut [1, 6].
Apa kata Islam tentang kaitannya dengan perkara ini?
Kelonggaran hukum ketika nyawa terancam (Rukhsah)
Dalam situasi darurat yang boleh membawa maut (seperti tersesat tanpa makanan), Islam memberikan kelonggaran (rukhsah) untuk memakan perkara yang asalnya haram (seperti bangkai atau haiwan tidak disembelih) sekadar untuk menyelamatkan nyawa tanpa berlebihan (Surah al-Baqarah: 173). Berdasarkan kaedah fiqh “ad-darurat tubihu al-mahzhurat” (darurat membolehkan perkara yang dilarang), keutamaan tertinggi adalah memelihara nyawa (hifz an-nafs) selagi tiada alternatif lain.
Konsep tawakal dan ikhtiar (Kisah Hajar)
Kisah Hajar yang berlari antara Bukit Safa dan Marwah demi mencari air untuk Nabi Ismail AS di lembah Makkah yang gersang mengajar bahawa tawakal yang sebenar wajib disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh (ikhtiar). Bagi seorang pendaki yang tersesat, mereka tidak boleh berserah secara pasif, sebaliknya perlu terus aktif mencari jalan keluar, sumber air, atau tempat berlindung sambil tetap meletakkan keyakinan kepada pertolongan Allah.
Ujian, kesabaran dan penjagaan adab
Tersesat merupakan satu bentuk ujian hidup yang menuntut mangsa untuk bersabar, berdoa dan yakin bahawa Allah tidak membebani hamba-Nya di luar kemampuan (Surah al-Baqarah: 286). Selain itu, orang sekeliling juga dituntut menjaga adab dengan tidak menyebarkan spekulasi atau berita palsu tentang operasi menyelamat bagi menjaga emosi keluarga mangsa. Survival yang lengkap dalam Islam adalah gabungan antara usaha fizikal (sains survival) dan kekuatan rohani.
Sebagai penutup, menghadapi situasi cemas seperti tersesat di dalam hutan menuntut kesiapsiagaan yang menyeluruh. Di sinilah sains survival moden memainkan peranan penting dengan mengajar kita memahami tindak balas tubuh terhadap kelaparan dan dehidrasi. Pemahaman saintifik ini saling melengkapi dengan tuntunan murni agama Islam yang menekankan aspek ikhtiar, tawakal, serta fleksibiliti hukum demi memelihara nyawa. Akhirnya, survival bukan sekadar tentang kekuatan fizikal untuk bertahan tanpa makanan dan air, tetapi juga tentang ketahanan mental dan rohani untuk terus beraspirasi, mencari jalan keluar dan tidak sesekali berputus asa daripada rahmat serta pertolongan-Nya.
Rujukan
[1] JoVE Science Education Database. Metabolic States of the Body: Fasting and Starvation. https://www.jove.com/science-education/v/16232/metabolic-states-of-the-body-fasting-and-starvation
[2] Soeters, M. R., Soeters, P. B., Schooneman, M. G., Houten, S. M., & Romijn, J. A. (2012). Adaptive reciprocity of lipid and glucose metabolism in human short-term starvation. American Journal of Physiology-Endocrinology and Metabolism.
[3] Rebello, C. J., Zhang, D., Anderson, J. C., Bowman, R. F., Peeke, P. M., & Greenway, F. L. (2025). From starvation to time-restricted eating: a review of fasting physiology. International Journal of Obesity, 49(1), 43-48.
[4] Kolb, H., Kempf, K., Röhling, M., Lenzen-Schulte, M., Schloot, N. C., & Martin, S. (2021). Ketone bodies: from enemy to friend and guardian angel. BMC medicine, 19(1), 313.
[5] Palmer, B. F., & Clegg, D. J. (2021). Starvation ketosis and the kidney. American Journal of Nephrology, 52(6), 467-478.
[6] Healthline. How Long Can You Live Without Water? Effects of Dehydration. https://www.healthline.com/health/food-nutrition/how-long-can-you-live-without-water
[7] Svalbarði Polar Iceberg Water. How Long Can You Live Without Water? Facts And Effects To Survive. https://svalbardi.com/blogs/water/living-without
