Demam denggi masih menjadi satu isu kesihatan awam utama di Malaysia. Menurut statistik daripada Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan, sebanyak 55,399 kes dan 47 kematian telah dilaporkan pada tahun 2025. Walaupun data menunjukkan terdapat penurunan berbanding tahun sebelumnya, situasi ini menunjukkan bahawa demam denggi masih berpotensi memberi impak terhadap kesihatan masyarakat dan memerlukan langkah pencegahan yang berterusan.

Demam denggi merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus yang dijangkiti virus DEN-1, DEN-2, DEN-3 atau DEN-4. Nyamuk aedeshidup berhampiran manusia, mempunyai tabiat kerap menggigit dan aktif pada awal pagi serta lewat petang. Nyamuk Aedes aegypti lazimnya berada di dalam rumah, manakala Aedes albopictus lebih banyak ditemui di luar rumah.
Kebiasaannya, nyamuk aedes membiak dalam struktur yang boleh menakung air, termasuklah bekas atau sampah terbiar. Kitaran hidup nyamuk aedes dipengaruhi oleh faktor seperti suhu, taburan hujan dan kelembapan udara, menjadikan demam denggi sebagai penyakit yang sensitif terhadap perubahan iklim. Selain itu, faktor ini juga boleh mempengaruhi replikasi virus denggi serta interaksi antara nyamuk dengan manusia.
Demam denggi terbahagi kepada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah. Selepas lima hingga enam hari pendedahan kepada gigitan nyamuk aedes, pesakit akan mengalami gejala seperti demam panas, muntah-muntah dan loya, sakit kepala, sakit tulang belakang, sakit sendi, sakit mata dan ruam. Demam denggi berdarah mempunyai gejala tambahan seperti mudah lebam, pendarahan di bawah kulit, hidung atau gusi. Demam denggi berdarah yang tidak diurus dengan baik berisiko untuk menyebabkan pendarahan seluruh badan yang boleh mengancam nyawa.
Pesakit yang mengalami gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan dengan segera. Selepas diperiksa dan jika pesakit dibenarkan untuk dirawat di rumah, penjagaan kebiasaannya tertumpu kepada rawatan sokongan seperti mendapatkan rehat yang secukupnya, memantau suhu badan serta memastikan pengambilan cecair yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi.
Pesakit juga perlu peka terhadap tanda-tanda amaran dan segera mendapatkan rawatan sekiranya keadaan bertambah teruk. Jika disyaki menghidap demam denggi berdarah, pesakit biasanya akan dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan rapi kerana risiko komplikasi yang lebih serius.
Ubat-ubatan untuk rawatan demam denggi
Sehingga kini, tiada ubat khusus yang dapat merawat demam denggi. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kumpulan ubat yang lazim digunakan untuk merawat gejala demam denggi. Antaranya termasuklah:
- Paracetamol
Paracetamol digunakan untuk melegakan demam dan kesakitan ringan dengan menghalang sintesis prostaglandin dalam badan. Dos bagi pesakit dewasa yang disyorkan ialah 1 gram setiap 6 jam dengan jumlah maksimum 4 gram sehari. Bagi kanak-kanak pula, dos ditentukan berdasarkan umur dan berat badan, serta dikira mengikut kekuatan sediaan ubat. Secara umumnya, pengambilan paracetamol mengikut dos yang disyorkan adalah selamat. Namun, pengambilan berlebihan secara berterusan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti muntah, sakit perut dan kerosakan hati yang memerlukan rawatan segera.
- Garam rehidrasi
Larutan rehidrasi oral atau lebih dikenali sebagai oral rehydration salt (ORS) membantu penyerapan natrium dan glukosa di usus, sekali gus meningkatkan penyerapan air ke dalam aliran darah. Mekanisme ini penting untuk mencegah dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit, terutamanya dalam kalangan pesakit demam denggi.
Satu paket ORS perlu dibancuh dengan 200–250 mililiter air mengikut arahan produk. Jumlah pengambilan bergantung pada tahap hidrasi pesakit. Bagi orang dewasa, sebanyak 200–400 mililiter boleh diambil setiap kali diperlukan. Bagi kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas, sebanyak 100–200 mililiter boleh diberikan, manakala dalam keadaan dehidrasi teruk, dos boleh mencecah 100 mililiter/kilogram dalam tempoh 3–4 jam. Bagi bayi berumur bawah 2 tahun pula, jumlah yang disyorkan ialah 50–100 mililiter atau kira-kira 1 hingga 1.5 kali isi padu penyusuan biasa setiap kali diperlukan. Selain ORS, pengambilan cecair seperti susu, jus buah-buahan, air kelapa dan air barli juga turut digalakkan. Namun, pesakit diabetes perlu berhati-hati terhadap kandungan gula dalam minuman yang ingin diambil.
Ubat-ubatan yang tidak sesuai dan perkara yang perlu dielakkan
Walau bagaimanapun, tidak semua ubat sesuai digunakan untuk merawat gejala demam denggi. Malah, terdapat jenis ubat tertentu dan beberapa perkara yang perlu dielakkan kerana boleh meningkatkan risiko komplikasi. Antaranya termasuklah:
- Ubat tahan sakit daripada kumpulan nonsteroidal anti-inflammatory drugs, NSAID
NSAID perlu dielakkan dalam rawatan demam denggi kerana boleh meningkatkan risiko pendarahan serta menyebabkan gejala penyakit menjadi lebih serius. Antara contoh NSAID ialah aspirin, ibuprofen, asid mefenamik dan diclofenac. Perkara ini penting khususnya bagi pesakit demam denggi yang dirawat di rumah.
- Antibiotik
Antibiotik berfungsi untuk menghalang pembiakan atau menghapuskan bakteria, dan hanya berkesan terhadap jangkitan bakteria. Oleh sebab itu, antibiotik tidak berkesan untuk merawat jangkitan virus seperti demam denggi. Walau bagaimanapun, antibiotik mungkin diperlukan sekiranya berlaku jangkitan bakteria sekunder, bergantung kepada penilaian dan arahan doktor.
- Urut, bekam dan gua sha
Pesakit denggi disaran untuk mengelakkan urut, bekam dan gua sha. Sebarang tekanan fizikal yang agresif terhadap tubuh boleh memburukkan gejala dan menyebabkan komplikasi serius. Hal ini kerana pesakit demam denggi sering mengalami penurunan jumlah platelet, yang menyebabkan salur darah menjadi mudah pecah. Antara kesan sampingan yang boleh berlaku akibat tekanan tersebut ialah lebam yang teruk dan pendarahan di bawah kulit.
Nasihat untuk pesakit dan orang awam
Pesakit demam denggi yang telah diperiksa oleh doktor dan diberikan ubat-ubatan hendaklah mengambil ubat mengikut dos, cara dan waktu yang diarahkan. Pematuhan terhadap arahan ini amat penting bagi memastikan keberkesanan rawatan serta mengurangkan risiko komplikasi. Pesakit juga dinasihatkan agar tidak mengambil sebarang ubat tambahan tanpa nasihat doktor atau ahli farmasi, kerana penggunaan ubat yang tidak sesuai boleh memburukkan keadaan kesihatan.
Di samping itu, langkah pencegahan kekal sebagai fokus utama dalam mencegah masalah demam denggi daripada terus berlaku. Antara langkah yang boleh diamalkan adalah melalui penghapusan tempat pembiakan nyamuk aedes, seperti memastikan semua bekas yang berpotensi menakung air dibuang atau ditutup, mengosongkan air di dalam pasu bunga dan bekas tadahan sekurang-kurangnya seminggu sekali, serta memastikan saliran air sentiasa lancar.

Perlindungan diri daripada gigitan nyamuk juga penting. Pastikan pintu dan tingkap ditutup atau dipasang jaring serta memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang ketika berada di luar rumah. Penggunaan semburan serangga, ubat lingkaran nyamuk dan alat penghalau nyamuk elektrik juga boleh membantu mengurangkan risiko gigitan nyamuk.
Kesimpulannya, sehingga kini, demam denggi masih kekal sebagai cabaran kesihatan awam yang memerlukan kesedaran dan tindakan berterusan daripada masyarakat. Kesedaran dan tindakan bersepadu daripada semua pihak merupakan kunci untuk menangani isu demam denggi secara berkesan.
Disediakan oleh Puan Alice Mah Jean Yin (Pegawai Farmasi Hospital Tawau) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.
RUJUKAN:
- Jawatankuasa Penyediaan Pelan Strategik Pencegahan Dan Kawalan Denggi Kebangsaan 2022-2026. Pelan Strategik Pencegahan Dan Kawalan Denggi Kebangsaan 2022-2026 [Internet]. 2022nd ed. JELIP J, editor. Kementerian Kesihatan Malaysia; 2022. Available from: https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Pelan%20Strategik%20/Buku_Pelan_Strategik_Pencegahan_dan_Kawalan_Denggi_Kebangsaan_Final.pdf
- Abu Hassan MR. Situasi Semasa Demam Denggi Di Malaysia Tahun 2024. Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia. 2025 Jan 6.
- Demam Denggi [Internet]. Info Sihat: Bahagian Pendidikan Kesihatan. Kementerian Kesihatan Malaysia; 2017. Available from: https://infosihat.moh.gov.my/demam-denggi.html
- CPG Management of Dengue Infection in Adults [Internet]. Third Edition. Level 4, Block E1, Precinct 1 Federal Government Administrative Centre 62590, Putrajaya, Malaysia: Malaysia Health Technology Assessment Section (MaHTAS) Medical Development Division, Ministry of Health Malaysia; 2015.
- Gg G, Kf S. Mechanism of Action of Paracetamol [Internet]. American journal of therapeutics. 2005. Available from: https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/15662292/
- Program Perkhidmatan Farmasi. Formulari Ubat KKM (FUKKM). Kementerian Kesihatan Malaysia. Available from: https://pharmacy.moh.gov.my/ms/apps/fukkm
- Acetaminophen Poisoning – Injuries and Poisoning [Internet]. MSD Manual Consumer Version. Available from: https://www.msdmanuals.com/home/injuries-and-poisoning/poisoning/acetaminophen-poisoning
- Crockett ME, Keystone JS. Protection of Travelers. Principles and Practice of Pediatric Infectious Diseases [Internet]. 2012;76-83.e3. Available from: https://www.sciencedirect.com/topics/pharmacology-toxicology-and-pharmaceutical-science/oral-rehydration-therapy
- Wijewickrama A, Abeyrathna G, Gunasena S, Idampitiya D. Effect of non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDS) on bleeding and liver in dengue infection. International Journal of Infectious Diseases. 2016 Apr;45:19–20. Available from: Effect of non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDS) on bleeding and liver in dengue infection – International Journal of Infectious Diseases
- Khoo D. Antibiotik: Apa Yang Anda Perlu Tahu – Khairul Naim bin Zainal Abidin [Internet]. The Malaysian Medical Gazette. 2014. Available from: https://www.mmgazette.com/antibiotik-apa-yang-anda-perlu-tahu-khairul-naim-bin-zainal-abidin/
- Daud AH. Penggunaan Steroid dalam Produk Ubatan Tradisional [Internet]. Penawaracun.usm.my. 2025 [cited 2025 Feb 16]. Available from: https://penawaracun.usm.my/bil-62/1202-penggunaan-steroid-dalam-produk-ubatan-tradisional
- Zhang F, Kramer CV. Corticosteroids for dengue infection. Cochrane Database of Systematic Reviews [Internet]. 2014 Jun 30 [cited 2020 Oct 7]; Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6555473/pdf/CD003488.pdf
- Cheng Soon G, editor. Garis Panduan Amalan Perubatan Tradisional & Komplementari: Bekam [Internet]. Pertama Bahasa Melayu. Kementerian Kesihatan Malaysia; 2013 [cited 2025 Feb 1]. Available from: https://hq.moh.gov.my/tcm/en/upload/garispanduan/amalan/TerjemahanPGBekam.pdf
- Gua sha: Uses, benefits, and side effects [Internet]. www.medicalnewstoday.com. 2017. Available from: https://www.medicalnewstoday.com/articles/320397#tools-and-technique
