Jus Daun Betik: Pentingnya Melihat Denggi Secara Keseluruhan- Prof Adeeba Kamarulzaman

Sumber: ohcikguhindon.blogspot.com

Sumber: ohcikguhindon.blogspot.com

Tulisan ini merujuk kepada hebahan jus daun betik Carica (JDBC) sebagai rawatan sokongan kepada kepulihan jangkitan denggi baru-baru ini. Kes denggi telah naik mendadak di Malaysia, termasuklah kenaikan kes maut dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Sehingga kini, tiada rawatan antivirus yang khusus tetapi usaha-usaha memajukan vaksin denggi sedang memberikan sinar harapan. Dengan ketiadaan rawatan khusus ini, sebilangan masyarakat awam memilih penggunaan “ubat” alternatif yang kebanyakannya tidak terbukti mempunyai manfaat atau tidak menepati piawai keselamatan untuk penggunaan. Ini termasuklah beberapa makanan kesihatan, ramuan herba dan air penawar yang dikatakan membantu merawat denggi, misalnya daun betik, sup ketam dan batu muntahan (bezoar) landak. Maka, usaha mengkaji denggi dan rawatannya yang melibatkan JDBC sangatlah dialu-alukan. Walau bagaimanapun, kami menasihatkan agar berhati-hati dalam menafsir hasil kajian ini sebelum nasihat rawatan disyorkan.

Demam denggi mempunyai spektrum gejala klinikal dan keparahan yang luas. Yang paling diketahui ramai ialah penurunan bilangan platlet. Walaupun aspek ini menarik perhatian ramai pihak, pendarahan teruk dalam demam denggi akibat platlet rendah sangat jarang berlaku. Tambahan pula, bilangan platlet akan pulih sediakala ke tahap normal dalam tempoh tiga ke empat hari selepas demam kebah. Sebenarnya, manifestasi yang paling penting dalam denggi yang teruk dan perlukan perhatian khusus ialah fenomena “ketirisan plasma”. Apabila keadaan ini berlaku, cecair akan tiris keluar dari peredaran ke ruang-ruang ekstravaskular (luar pembuluh darah), membawa kepada penakungan cecair termasuklah di dalam peparu. Ini akan menyebabkan tekanan darah merudum dan renjatan (shock) jika tidak dirawat. Fenomena ketirisan plasma boleh dikenalpasti melalui tanda-tanda amaran termasuklah sakit perut atau ulu hati yang teruk, muntah berterusan, kesukaran bernafas, gusi berdarah atau kelesuan.

Renjatan boleh dielak dan dipulihkan dengan memberi terapi penggantian air melalui oral (minum) ataupun intravena. Jika status renjatan berpanjangan tanpa dirawat, kebanyakan pesakit akan mengalami pendarahan dalaman. Pendarahan yang inilah yang dikhuatirkan oleh ramai doktor. Namun, terdapat banyak kajian saintifik dalam kanak-kanak dan dewasa yang menunjukkan bahawa bilangan platlet semasa denggi tidak mampu meramalkan pendarahan dan cubaan memanipulasi bilangan platlet juga tidak dapat menghentikan proses pendarahan. Cara yang paling selamat dan mujarab untuk menghalang pendarahan yang teruk ialah dengan mengenal tanda-tanda amaran, renjatan dan membetulkan keadaan renjatan dengan segera melalui terapi cecair intravena.

Tubuh kita mampu dan berupaya sembuh sendiri. Ketirisan plasma akan ‘berhenti’ selepas 24 ke 48 jam dan bilangan platlet pulih ke paras normal sama ada dengan ataupun tanpa JDBC, sup ketam ataupun mana-mana rawatan lain yang tidak terbukti.

Kebimbangan kita dengan uar-uaran terbaharu berkenaan sari daun betik ialah ia meletakkan fokus yang tidak sepatutnya kepada aspek bilangan platlet sahaja. Ini boleh mengalih perhatian pesakit dan doktor daripada ketirisan plasma yang boleh mengancam nyawa dan membawa kepada kelewatan pesakit mencari penawar sebenar dan doktor pula tidak memantau rapi dan merawat pesakit.

Pandangan kami, kajian yang melaporkan peningkatan bilangan platlet pada tikus yang diberi sari tersebut dan pesakit denggi yang meminum sari daun betik masih belum cukup untuk menyarankan penggunaannya secara klinikal. Dalam kajian yang dilaporkan oleh Institut Kajian Perubatan/Institute of Medical Research (IMR), pesakit yang mendaftar dalam kajian ini mengalami jangkitan ringan dan mampu dirawat hanya dengan meningkatkan jumlah air yang diminum atau terapi cecair intravena. Kajian itu juga dinilai berdasarkan bilangan pesakit yang sedikit dan peningkatan bilangan platlet hanyalah sederhana, walaupun dalam kumpulan yang menerima sari daun betik untuk menghasilkan natijah klinikal yang kukuh. Kami berpendapat, buat masa ini, bukti saintifik belum memadai untuk menyokong JDBC bermanfaat dalam membantu pemulihan jangkitan virus denggi. Sila ambil maklum juga bahawa daun betik mengandungi kandungan alkaloid yang tinggi terbukti beracun termasuklah sebatian yang mempunyai kesan langsung kepada jantung.

Kami menggesa khalayak masyarakat dan golongan perubatan untuk kembali menumpukan usaha kepada mencegah tularan denggi, pengesanan awal jangkitan denggi dan mendapatkan perhatian doktor secepat mungkin sebaik tanda-tanda amaran muncul. Akhir sekali, sesiapa yang mempunyai gejala disyaki denggi mestilah mendapatkan rawatan doktor dan elakkan berubat sendiri dengan bahan-bahan yang tidak terbukti keberkesanannya.

PROF ADEEBA KAMARULZAMAN

Kumpulan Pengurusan Klinikal dan Kajian Denggi,

Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Artikel ini diterjemah dengan izin penulis daripada artikel asal http://www.thestar.com.my/Opinion/Letters/2014/10/07/Lets-not-get-overexcited/ oleh Azizul Ismie Mohd Puad.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box