Kenyataan Akhbar Menteri Kesihatan Malaysia Situasi Semasa Demam Denggi (16 – 22 Mac 2014) – KKM

dengue“MEMERANGI DENGGI BERSAMA KOMUNITI SECARA KOMPREHENSIF”

Tren kes denggi terus menunjukkan penurunan pada minggu ke 12 (bagi tempoh 16 hingga 22 Mac 2014) di mana sejumlah 1,666 kes telah dilaporkan, menurun sebanyak 12% atau 236 kes berbanding dengan minggu sebelumnya iaitu 1,902 kes telah dilaporkan. Hanya 2 negeri menunjukkan peningkatan pada minggu lepas berbanding minggu sebelumnya iaitu negeri Kedah dan Perlis. Sebanyak 5 kematian dilaporkan pada minggu lepas iaitu satu kematian dari Perak, 2 kematian dari Selangor dan masing-masing satu kematian dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Melaka.

Bagi jumlah keseluruhan iaitu dari Januari sehingga 23 Mac 2014, sebanyak 23,633 kes dilaporkan di seluruh negara, meningkat sebanyak 314% atau 17,917 kes berbanding hanya 5,716 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas. Manakala jumlah kematian adalah sebanyak 58 berbanding dengan hanya 14 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2013, iaitu peningkatan sebanyak 44 kematian (314%).

Pada minggu lepas, sejumlah 402 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di 12 negeri dan negeri yang mencatatkan lokaliti wabak tertinggi adalah Selangor iaitu 234 lokaliti, Kelantan 43 lokaliti, WP Kuala Lumpur & Putrajaya 40 lokaliti, Johor 24 lokaliti, Perak 23 lokaliti dan 15 lokaliti di Negeri Sembilan. Manakala negeri P. Pinang, Melaka, Pahang, Sabah, Terengganu dan Sarawak mencatatkan kurang dari 10 lokaliti wabak. Daripada 402 lokaliti ini terdapat 62 hotspots iaitu wabak yang telah berlarutan melebihi satu bulan. Enam puluh dua (62) hotspots dilaporkan adalah dari di negeri Selangor (51), Negeri Sembilan (5), Kelantan (2), Perak (2), WPKL&Putrajaya (1) dan Johor (1).

Pada 27 Mac 2014, Yang Berhormat Menteri Kesihatan Malaysia telah mengadakan Mesyuarat bersama anggota kesihatan yang terlibat secara langsung dengan perlaksanaan aktiviti kawalan denggi di lapangan dan bersama beberapa wakil Projek COMBI yang telah berjaya di Seremban, N. Sembilan, Alor Gajah, Melaka dan Klang, Selangor. Tujuan mesyuarat ini adalah untuk mendapatkan maklumbalas daripada anggota kesihatan di peringkat akar umbi dan komuniti bagi mencari kaedah terbaik dalam melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi di peringkat komuniti. Mesyuarat ini dihadiri oleh 295 anggota kesihatan dari semua negeri di seluruh negara iaitu terdiri Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran. Manakala 7 wakil daripada 4 Projek COMBI dari 3 negeri telah hadir bersama.

Hasil daripada mesyuarat ini beberapa tindakan penambahbaikan akan dilaksanakan diantaranya ialah:

  1. Meningkatkan penglibatan dan aktiviti sukarelawan COMBI di lokaliti hotspots dalam pencegahan denggi
  2. Mengaktifkan atau menubuhkan Projek COMBI di kawasan bermasalah denggi.
  3. Anggota kesihatan di peringkat akar umbi perlu meningkatkan kerjasama erat bersama Jawatankuasa penduduk dan pemimpin masyarakat setempat bagi pelaksanaan akitiviti pencegahan denggi.
  4. Meningkatkan kerjasama dengan agensi lain di peringkat daerah untuk menangani isu isu yang menyebabkan kejadian kes denggi di daerah tersebut.
  5. Memberi pengiktirafan terhadap sukarelawan Projek COMBI di peringkat komuniti dan kebangsaan bagi memudahkan perlaksanaan aktiviti COMBI dijalankan.
  6. Kementerian Kesihatan akan meningkatkan bantuan dari segi sumber tenaga dan keperluan kepada daerah yang mengalami beban kes denggi yang tinggi.

Bagi mengurangkan kes dan kematian kes denggi, pendekatan pencegahan dan kawalan denggi secara komprehensif dari peringkat komuniti, Jawatankuasa penduduk, pemimpin masyarakat dan agensi lain, perlu dilaksanakan. Pendekatan ini telah digunakan oleh Projek COMBI yang telah berjaya di Taman Paroi Jaya, Seremban di mana kawasan ini telah menunjukkan penurunan kes denggi yang ketara dan dapat mengekalkan ketiadaan wabak berlaku di kawasan ini. Kementerian Kesihatan akan terus meningkatkan pemantauan di semua peringkat termasuk di daerah dan negeri untuk memastikan aktiviti kawalan denggi yang dilaksanakan adalah berkesan.

YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

28 Mac 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box