Combo Rapid Test Kit Denggi dengan harga rendah untuk Pengamal Perubatan Swasta – KKM

Sumber: yourhealth.asiaone.com

Sumber: yourhealth.asiaone.com

Dari pemantauan KKM pada minggu kesepuluh tahun 2015, iaitu dari 8 sehingga 14 Mac 2015, sejumlah 2,275 kes demam denggi telah dilaporkan berbanding 2,643 kes pada minggu sebelumnya. Sejak 4 minggu yang lepas telah terdapat trend penurunan kes yang dilaporkan setiap minggu. Dari Januari hingga 18 Mac 2015, jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan adalah 30,033 kes, berbanding 21,111 kes bagi tempoh yang sama tahun 2014, peningkatan sebanyak 42% (8,922 kes). Manakala sebanyak 95 kematian, berbanding 50 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2014, meningkat sebanyak 45 kematian (90%).

Melalui pemantauan KKM sehingga 14 Mac 2015, sejumlah 902 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 259 lokaliti adalah lokaliti Hotspot iaitu di Selangor (214), Perak (38), Sabah (6) dan Pulau Pinang (1).

Kes  dan  kematian denggi yang dilaporkan masih lagi tinggi, oleh itu KKM menyeru kepada orang ramai segera mendapatkan rawatan di klinik-klinik berhampiran dengan segera jika mengalami gejala-gejala Demam Denggi seperti demam, sakit badan, sakit kepala, muntah, loya dan gusi berdarah. Para pengamal perubatan di hospital atau klinik swasta diminta untuk menjalankan ujian darah sebagai pengesahan untuk kes yang disyaki denggi atau didiagnosa sebagai denggi. Terdapat 2 syarikat yang telah tampil dan memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan serta menawarkan Combo Rapid Test Kit dengan harga rendah kepada pengamal perubatan swasta. Maklumat boleh didapati di laman sesawang Malaysian Medical Association (MMA)http://www.mma.org.my/Portals/0/PDF%202015/Dengue.pdf. Combo Rapid Test Kit boleh digunakan untuk ujian darah bagi NS1, IgM dan IgG sebagai pengesahan kes disyaki denggi atau didiagnosa denggi.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box