Keberkesanan Rawatan Demensia: Kepentingan Pengambilan Ubat-Ubatan Dan Sokongan Penjaga – Puan Nur Atiqah binti Anwa (Pegawai Farmasi)

Demensia, yang sering dikenali sebagai nyanyuk, merupakan sejenis penyakit yang berpunca daripada kemerosotan fungsi otak, khususnya pada bahagian yang mengawal pemikiran, ingatan, tingkah laku dan personaliti. Keadaan ini melibatkan kematian sel-sel otak yang seterusnya membawa kepada kemerosotan kognitif yang ketara. Demensia boleh dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu demensia yang disebabkan penyakit Alzheimer, demensia vaskular, demensia Lewy Body serta demensia yang berpunca daripada penyakit lain seperti Parkinson dan Huntington.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2018, 1 daripada 10 warga emas berumur 60 tahun ke atas di Malaysia menghidap demensia. Persatuan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) membuat unjuran bahawa warga emas yang menghidap demensia meningkat kepada 261,000 menjelang tahun 2030 dan seterusnya kepada 590,000 orang pada tahun 2050.

ADFM telah menggariskan 10 tanda awal penyakit demensia yang mempengaruhi ingatan, pemikiran, orientasi, pengiraan, keupayaan pembelajaran, bahasa, penilaian, kawalan emosi, tingkah laku sosial dan motivasi. Tanda-tanda ini termasuklah kesukaran menumpukan perhatian, kesukaran melakukan aktiviti harian yang biasa dilakukan, kekeliruan tentang masa dan tempat, serta perubahan emosi dan keperibadian. Gejala ini mungkin tidak disedari oleh individu yang mengalaminya, sebaliknya lebih mudah diperhatikan oleh ahli keluarga dan rakan terdekat.

Walaupun secara semula jadi setiap individu akan kehilangan sejumlah neuron apabila usia meningkat, namun kehilangan neuron dalam kalangan pesakit demensia berlaku pada kadar yang lebih cepat. Selain faktor usia, risiko mengalami demensia turut dipengaruhi oleh faktor genetik serta faktor lain yang boleh diubah, seperti penyakit kronik termasuk hipertensi, diabetes dan hiperkolesterolemia (paras kolesterol yang tinggi dalam darah).

Ubat-ubatan untuk rawatan demensia

Antara ubat yang lazim digunakan dalam rawatan demensia termasuklah:

  • Donepezil

                  Donepezil tergolong dalam kumpulan acetylcholinesterase inhibitor. Ubat ini berfungsi untuk mengekalkan paras acetylcholine, iaitu sejenis neurotransmiter yang penting untuk ingatan dan pembelajaran, yang lazimnya berkurangan dalam kalangan pesakit demensia. Donepezil biasanya diambil sekali sehari, sebaik-baiknya pada waktu malam. Kesan sampingan donepezil yang biasa ialah hilang selera makan, loya, cirit-birit dan gangguan tidur. Kesan sampingan yang lebih serius juga mungkin boleh berlaku, seperti degupan jantung menjadi perlahan, ulser perut, atau kemerosotan fungsi paru-paru, terutamanya bagi pesakit yang sedia ada menghidap masalah tersebut.

      • Rivastigmine

                    Rivastigmine juga tergolong dalam kumpulan acetylcholinesterase inhibitor yang digunakan untuk merawat demensia tahap ringan hingga sederhana dalam kalangan pesakit Alzheimer dan Parkinson. Rivastigmine terdapat dalam bentuk kapsul dan tampalan transdermal. Kapsul rivastigmine biasanya diambil dua kali sehari manakala tampalan digunakan sekali sehari, lazimnya pada waktu pagi. Kesan sampingan rivastigmine yang biasa termasuklah loya, muntah, hilang selera makan, cirit-birit dan pening. Sesetengah pesakit juga mungkin mengalami penurunan berat badan atau reaksi kulit selepas penggunaan tampalan rivastigmine. 

        • Memantine

                      Memantine tergolong dalam kumpulan antagonis reseptor N-methyl-D-aspartate (NMDA) yang berfungsi untuk mengelakkan kerosakan sel saraf di dalam otak akibat pengaktifan reseptor tersebut dan sekali gus membaiki fungsi kognitif pesakit. Memantine lazimnya digunakan untuk merawat demensia tahap sederhana hingga teruk dalam kalangan pesakit Alzheimer. Ubat ini membantu meningkatkan fungsi ingatan, perhatian, penaakulan (reasoning) serta keupayaan melakukan aktiviti harian. Kesan sampingan biasa bagi memantine ialah sembelit, pening, sakit kepala dan kekeliruan.

          Selain ubat-ubatan yang digunakan untuk mengawal gejala berkaitan fungsi kognitif, terdapat juga ubat-ubatan lain seperti antidepresan, antipsikotik dan penstabil emosi yang diberikan kepada pesakit demensia. Tujuan utama ubat-ubatan ini diberikan adalah untuk mengawal gejala kemurungan, kegelisahan dan gangguan emosi yang dikaitkan dengan demensia. Contoh ubat yang biasa digunakan ialah sertraline, lithium dan sodium valproate.

          Buat masa ini, tiada rawatan yang dapat memulihkan demensia sepenuhnya. Pemantauan setiap tiga hingga enam bulan akan dilakukan untuk menilai perkembangan dan respon terhadap rawatan. 

          Selain ubat-ubatan, rawatan bukan farmakologi juga penting untuk pesakit demensia. Rawatan ini termasuklah beberapa jenis terapi seperti rangsangan kognitif, terapi orientasi realiti dan terapi kenangan. Melalui terapi dan intervensi tingkah laku, pengurusan gejala dapat dilakukan dengan lebih baik dan seterusnya membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit.

          Nasihat untuk pesakit dan penjaga

          Penjaga merupakan tunjang utama yang dapat membantu pesakit menjalani rawatan. Dalam hal ini, penjaga memainkan peranan untuk memastikan pesakit demensia mematuhi pengambilan ubat-ubatan dan hadir ke setiap tarikh janji temu perubatan yang telah dijadualkan. Penjaga juga hendaklah sentiasa peka terhadap sebarang kesan sampingan ubat yang dialami oleh pesakit. 

          Penghidap demensia sering mengalami masalah untuk mengurus diri dan memerlukan penjagaan yang intensif. Demensia juga boleh menyebabkan stigma hingga menyebabkan pesakit mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah. Sokongan penjaga dapat membantu pesakit menangani isu ini.

          Pesakit atau penjaga juga tidak seharusnya terpengaruh dengan iklan atau testimoni berkaitan produk yang didakwa mampu menyembuhkan demensia. Sehingga kini, tiada suplemen kesihatan atau produk tradisional yang terbukti berkesan untuk merawat demensia. 

          Sebagai penutup, penting bagi pesakit demensia dan penjaga memahami ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan. Kepatuhan kepada ubat-ubatan yang telah dimulakan oleh doktor merupakan kunci bagi rawatan demensia. Rawatan bukan farmakologi serta sokongan emosi penjaga juga dapat membantu pesakit mengurus gejala demensia yang dialami dan seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik.

          Disediakan oleh Puan Nur Atiqah binti Anwa (Pegawai Farmasi Klinik Kesihatan Kuala Berang) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

          RUJUKAN:

          1. Yaffe, K., et al. 2013. Association between hypoglycemia and demensia in a biracial cohort of older adults with diabetes mellitus. JAMA Internal Medicine, 173(14).https://jamanetwork.com/journals/jamainternalmedicine/fullarticle/1696172#google_vignette
          1. Manual Pengendalian Kes Dementia Di Peringkat Penjagaan Kesihatan Primer. 2019. https://hq.moh.gov.my/bpkk/images/3.Penerbitan/2.Orang_Awam/3.Kesihatan_Warga_Emas/2.PDF/7Manual_Pengendalian_Kes_Dementia_Di_Peringkat_Penjagaan_Kesihatan_Primer.pdf 
          1. National Health and Morbidity Survey 2018: Elderly Health. https://iku.moh.gov.my/images/IKU/Document/REPORT/NHMS2018/NHMS2018ElderlyHealthVolume2.pdf
          1. Noraini, et al. 2023. Hubungan antara Kualiti Hidup dengan Kebimbangan dan Kemurungan Warga Emas Demensia. Jurnal Psikologi Malaysia 37 (1). https://journalarticle.ukm.my/22025/1/Psikologi%202.pdf
          1. Clinical Practice Guide (CPG) Management of Dementia, Ministry of Health, Malaysia (2022). https://mymahtas2.moh.gov.my/files/e-CPG_Management_of_Dementia_(Third_Edition)-10_11.pdf
          1. Bertindak sekarang untuk kurangkan risiko demensia. 2022. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bertindak-sekarang-untuk-kurangkan-risiko-demensia-381853
          1. What Is Dementia? Symptoms, Types, and Diagnosis. 2022. National Institute on Aging. https://www.nia.nih.gov/health/alzheimers-and-dementia/what-dementia-symptoms-types-and-diagnosis
          1. Alia Fazni R., et al. 2024. Menuju Negara Menua, Pertingkatkan Kefahaman Demensia Dalam Masyarakat https://www.kk.usm.my/aktiviti/sembang-sihat/menuju-negara-menua-pertingkatkan-kefahaman-demensia-dalam-masyarakat.html
          1. Farizah M.H. 2022. Dementia di Malaysia…adakah kita bersedia?. https://spm.um.edu.my/2022/06/30/dementia-di-malaysia-adakah-kita-bersedia/
          2. The Dementia Action Plan 2023-2030. 2024. https://www2.moh.gov.my/moh/modules_resources/bookshelf/Buku_A4_THE_DEMENTIA_MEI_ebook/Buku_A4_THE_DEMENTIA_MEI_ebook.pdf

          Leave a Reply

          Your email address will not be published. Required fields are marked *

          Please type the characters of this captcha image in the input box

          Please type the characters of this captcha image in the input box