Ebola: Air mata berdarah- Dr Dhesi BR

Source: www.realscience.us

Source: www.realscience.us

“Penyakit Ebola tiada penawar. Pesakit memerlukan pemerhatian berterusan untuk memastikan tekanan darah mereka tidak menjunam ke aras yang boleh membawa maut, dan seorang demi seorang daripada mereka menemui ajal. Ia adalah ancaman kesihatan awam terhadap manusia”- Dhesi Baha Raja

Yambuku, segalanya telah bermula di sini. Pada 1976, hospital utama dan pusat agihan ubatan hampir 60,000 penduduk dikendalikan oleh mubaligh Katolik Belgium di sebuah kampung bernama Yambuku. Seramai 17 orang jururawat dan biarawati yang tidak berkelayakan menerajui perkhidmatan perubatan. Mereka merawat ahli komuniti kerana tiada doktor di Yambuku. Kumpulan kecil jururawat dan biarawati ini bekerja keras mengendalikan wad pesakit untuk memastikan setiap penduduk selamat dan sihat. Hospital di Yambuku tidak mempunyai kemudahan makmal diagnostik yang canggih, maka mereka hanya mampu meneka apa yang mungkin sedang berlaku. Pesakit mula datang dalam keadaan nyahidrat dan mengalami pendarahan dari hampir setiap pelusuk badan. Tiada siapa yang mengetahui punca situasi ini. Mereka cuma meneka bahawa ia mungkin diakibatkan demam kuning atau tifus. Pesakit diberikan antibiotik, chloroquine dan cecair intravena untuk menangani penyahidratan…tetapi usaha-usaha ini gagal. Tiada rawatan yang berkesan bagi pesakit. Begitulah keadaannya apabila pesakit hanya mampu menitis air mata berdarah merayu bantuan.. seorang demi seorang…menemui ajal.

Mereka yang terkorban dikebumikan. Pekerja kesihatan seolah-olah lebih sibuk membantu saudara-mara pesakit mengebumikan yang tersayang daripada menyelamatkan pesakit daripada ancaman mikrob ini. Kebiasaannya, proses penyediaan jenazah memerlukan pengeluaran segala isi perut dan najis dan ini dilakukan dengan menggunakan tangan yang tidak berlapik. Malangnya jururawat dan biarawati yang membantu tidak dapat menjangka padah amalan ini.

Saban hari, hospital dibanjiri pesakit yang menunjukkan gejala-gejala yang sama. Penduduk kampung mula cemas apabila orang tua-tua kampung bercerita tentang sumpahan yang mengakibatkan seseorang itu mengalami pendarahan yang membawa maut. Keadaan semakin cemas apabila pesakit mula menunjukkan kelakuan yang aneh seperti mencarik pakaian dan berlari bogel di khalayak ramai, dan menangis air mata darah tanpa mengecam isteri, suami atau anak masing-masing. Sehinggakan terdapat pesakit yang dibakar hidup-hidup oleh jiran tetangga yang histeria ketakutan.

Akhirnya, salah seorang Pengarah Kesihatan di Zaire, tiba di Yambuku. Dr Ngoi Mushola. Tetapi beliau tidak dapat mengambil apa-apa tindakan kerana tiada sesiapa pun yang mempunyai maklumat tentang penyakit ini. Beliau mengumpul setiap kes, secara klinikal dan juga sampel makmal. Tiada maklumat berguna dikesan. Golongan profesor dan ahli akademik turut ke Yambuku untuk menyelesaikan misteri tersebut tetapi malangnya mereka tidak membawa sarung tangan keselamatan, topeng keselamatan dan gaun untuk digunakan sewaktu prosedur yang mendedahkan mereka kepada darah yang dijangkiti. Setiap petugas bekerja sepanjang masa untuk merungkai misteri ini tetapi mereka tidak menjumpai sebarang penyelesaian. Bedah siasat dijalankan untuk analisa makmal canggih tetapi masih tiada apa yang ditemui.

Doktor peribadi Presiden Mobutu Sese Seko, Dr William Close, mengarahkan sebuah kumpulan pembangunan medik organisasi bukan kerajaan, Cooperation Medicale untuk membantu. Beliau kemudiannya menghubungi CDC Atlanta untuk mendapatkan sokongan makmal bagi mengenalpasti wabak di Yambuku.

Di hospital Yambuku, lebih ramai petugas kesihatan dijangkiti penyakit itu. Kini, 10 daripada 17 pekerja maut atau terlalu sakit untuk berkhidmat untuk komuniti. Keadaan menjadi huru-hara, mereka hanya mempunyai satu senjata untuk melawan penyakit itu …DOA.

Presiden Mobutu menyuarakan kebimbangan tentang usaha menyekat epidemik, dan mengarahkan semua jalan darat, perairan dan lapangan terbang di kawasan tersebut ditutup dan undang-undang darurat dikuatkuasakan. Ini mengeruhkan lagi keadaan kerana pengangkutan keluar masuk makanan dan barangan dihentikan selama seminggu. Yambuku dan perkampungan berhampiran seperti bandar terbiar. Situasi menjadi mimpi ngeri seperti epidemik cacar nanah (smallpox) pada tahun 1960an.

Pada masa yang sama, para penyelidik mendapat berita bahawa terdapat satu lagi epidemik aneh di sebuah pekan bernama Maridi, di Selatan Sudan. Informasi sukar diperolehi dan pihak berkuasa Sudan tidak mempunyai perhubungan radio. Khabar angin menyatakan bahawa ia menyerupai epidemik di Yambuku. Dengan bantuan WHO di Geneva, mereka telah memesan semua sampel darah dan tisu daripada Maridi dan Yambuku dihantar ke Geneva. Apa yang paling dikhuatiri ialah epidemik Yambuku dan Maridi adalah epidemik yang sama, bermakna bencana yang melanda telah menjangkau lebih 1,000 batu persegi dan membabitkan sekurang-kurangnya dua negara.

Oleh itu WHO telah melibatkan makmal berkawalan ketat di serata dunia. Sampel darah dan tisu dari Yambuku dan Maridi telah dihantar ke CDC Atlanta, UK (Microbiological Research Establishment, Porton Down, Salisbury), Belgium (University of Anvers), German Barat (Bernard Nocht Institute for Naval & Tropical Disease) dan Perancis (Branch of Pasteur Institute).

Seorang penyelidik berumur 27 tahun bernama Peter Piot yang sedang menamatkan pengajian pasca doktorat beliau di Anvers merupakan salah seorang anggota pasukan tersebut. Piot telah menyediakan sampel untuk dianalisa dengan penuh semangat dan mendapati bahawa “Ini sejenis virus baru!” Virus tersebut berbentuk tanda soal, tiub panjang seprti cacing yang tergulung di satu hujung dan panjang di hujung yang lain.

Pada masa yang sama, WHO telah mengarahkan segala kajian terhadap virus tersebut dihentikan dengan serta merta kerana ia mungkin Marburg Virus yang pada waktu itu sedang membunuh orang ramai di Afrika.

Piot telah memprotes dan membentangkan hasil kajian beliau di Kementerian Pembangunan Koperasi Belgium. Kerajaan Belgium memberi beliau tempoh satu minggu untuk menyelesaikan misteri penyakit tersebut.

Akhirnya, semua penyelidik bersetuju dengan Piot. Pada 10 Oktober, para penyelidik memberitahu WHO bahawa penyakit itu disebabkan oleh sejenis virus yang seakan-akan Marburg dan epidemik di Zaire dan Sudan berkemungkinan disebabkan oleh punca etiologi yang hampir serupa tetapi merupakan ahli baru keluarga virus Marburg.

Hari demi hari, semakin ramai penduduk maut, dan ia menjadi keutamaan bagi ahli epidemiologi dan penyelidik untuk menghasilkan kaedah diagnostik makmal yang boleh mengesan virus tersebut.

Seorang ahli virologi, Karl Johnson, telah membuat penemuan yang penting di saat itu. Rancangan beliau adalah untuk mendiagnosa pesakit dengan meletakkan sampel darah ke atas slaid mikroskop, tunggu sebentar dan kemudian membilas slaid tersebut. Pesakit yang telah dijangkiti akan menghasilkan antibodi terhadap mikrob tersebut yang akan terlekat pada sel vero yang dijangkiti. Beliau kemudiannya merancang untuk menambahkan fluroscein, iaitu sejenis molekul yang bercahaya di bawah lampu ultraungu dan apabila beliau menyinarkan cahaya ultraungu ke atas slaid, beliau mampu mengesan pesakit yang dijangkiti. Idea yang cukup bernas, jimat masa dan menyelamatkan nyawa. Akhirnya mereka mempunyai kaedah mengesan pesakit yang dijangkiti dan individu yang telah mempunyai kesan imun terhadap penyakit tersebut.

Satu bancian epidemiologi berskala besar telah dijalankan di seluruh kampung berhampiran Yambuku yang melibatkan agensi antarabangsa. Selama hampir dua minggu, pasukan gerakan khas yang diperkukuhkan dengan penglibatan sukarelawan tempatan yang terlatih telah melakukan bancian terhadap 550 perkampungan, menemubual hampir 34,000 keluarga dan mengambil sampel darah daripada 442 orang penduduk.

Source: www.theguardian.com

Source: www.theguardian.com

Pada 6 November, Menteri Kesihatan Zaire telah menerbitkan laporan antarabangsa bahawa 325 daripada 358 kes penyakit bawaan virus tersebut telah membawa maut, iaitu kadar kematian setinggi 90.7 peratus. Agen tersebut merupakan virus baru yang dinamakan “EBOLA” sempena nama sebatang sungai di kawasan penyakit itu pertama kali dikesan.

Sudah hampir 40 tahun sejak Ebola dikesan dan kini, virus pembunuh ini kembali menyebabkan wabak maut di Liberia, Sierra Leone dan Guinea. Terdapat 1093 kes yang disyaki, berkemungkinan dan disahkan yang dilaporkan dan daripada angka tersebut virus ini telah meragut nyawa seramai 650 orang. Orang ramai mungkin dijangkiti penyakit ini melaui cecair badan dan ia mengambil masa 2 hingga 21 hari untuk menunjukkan gejala dan menjangkiti orang lain. Pesakit akan menunjukkan gejala-gejala awal seperti demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit sendi dan hilang selera makan. Di peringkat lewat, pesakit akan mula muntah-muntah, cirit-birit dan mengalami pendarahan dalaman. Malangnya, sehingga kini masih tiada penawar atau rawatan bagi Ebola. Walau bagaimanapun, penyakit ini mampu dikawal melalui kaedah pencegahan yang sempurna dengan penggunaan pakaian dan alat keselamatan yang disyorkan di klinik dan hospital, di perhimpunan komuniti atau di rumah. Kini kadar kematian adalah di antara 60% hingga 90% disebabkan kaedah pengesanan awal dan kaedah pencegahan yang agresif di kawasan yang dilanda wabak ini.

Para pembaca yang dikasihi, penyakit ini amat merbahaya dan mudah berjangkit. Penularan antara individu melalui cecair badan samada secara langsung atau tidak langsung adalah penyebab jumlah kematian kian meningkat. Saya akhiri rencana ini dengan kenyataan “Walaupun Ebola telah wujud di benua Afrika selama 40 tahun dan bukanlah penyakit baru, keadaan semakin meruncing dan ini amat berkait rapat dengan budaya setempat dan perlakuan ahli komuniti. Ia tidak akan terhenti di situ sahaja. Sekiranya masyarakat setempat dan pihak berkuasa tempatan tidak mengambil langkah-langkah proaktif melalui pemerkasaan komuniti dengan mendidik ilmu asas kebersihan, mencuci tangan, kaedah keselamatan universal, pengendalian makanan dan lain-lain, penyakit ini akan terus membunuh lebih ramai mangsa. Kita berhadapan dengan situasi yang hampir sama berkenaan penyakit denggi yang masih mampu dikawal, maka kita haruslah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mencegah wabak denggi sebelum terlambat. Anda pasti tidak mahu situasi yang luar kawalan itu terjadi di sini… maka tibalah masanya untuk bertindak.

Dr Dhesi B R

Dr. Dhesi BR ialah pengasas Malaysian Medical Gazette dan juga bakal pakar kesihatan awam. Buat masa ini beliau sedang membuat PhD dalam perubatan pencegahan dan kesihatan awam. Ketahui lebih lanjut tentang beliau di halaman The Team. Artikel ini telah diterjemah oleh Dr Hidayatul Radziah Ismawi. 

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

1. Centre of Disease and Prevention (US): Ebola. http://www.cdc.gov/media/releases/2014/p0731-ebola.html

2. WHO, Ebola Key Facts.

http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs103/en/

3. Atlanta Journal Constitution. To Treat Ebola.

http://www.ajc.com/news/news/breaking-news/emory-healthcare-to-treat-ebola-patient/ngrtm/

4. Coming Plague. Laurie Garette. (Read)

5. New Modern Epidemiology for Infectious Disease. (Read)

6. Advanced in Epidemiology Research and Laboratories Analysis. (Read)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box