H1N1 di Sabah: Haruskah kita panik? – Dr Dhesi Baha Raja

Para pembaca yang dihormati,

Artikel ini bertujuan menjelaskan persoalan yang diajukan di akaun Twitter saya dan juga untuk menerangkan perbezaan antara influenza bermusim dan influenza pandemik. Artikel ini ditulis berdasarkan panduan WHO bagi pemahaman komuniti.

Sebelum saya mula, izinkan saya menerangkan beberapa perkara:

1. Pandemik: Pandemik merupakan wabak penyakit global. Ia ditentukan oleh cara penyebaran penyakit dan bukan berdasarkan bilangan nyawa yang terkorban.

 2. Selsema bermusim: Selsema bermusim merupakan penyakit pernafasan yang berjangkit disebabkan oleh virus influenza. Ia berjangkit dia antara manusia dan boleh menyebabkan penyakit yang tidak serius hingga serius.

 

 

Source: blogs.sacbee.com

Source: blogs.sacbee.com

Influenza bermusim;

Virus influenza bermusim beredar di kalangan manusia dan mampu menyebabkan selsema saban tahun. Di kawasan iklim sejuk, penyakit ini kerap berlaku mengikut musim. Ia berjangkit dari satu individu ke individu yang lain melalui bersin, batuk atau menyentuh permukaan yang tercemar. Virus influenza bermusim boleh menyebabkan penyakit yang kurang serius, atau lebih serius dan juga membawa maut, terutamanya apabila menjangkiti individu yang berisiko tinggi. Golongan yang mempunyai risiko tinggi adalah wanita hamil, kanak-kanak kecil dan warga tua, individu yang mempunyai sistem imuniti yang rendah dan individu yang mempunyai penyakit kronik. Virus influenza bermusim sentiasa menjalani pengubahsuaian dan ini membolehkan seseorang diserang penyakit influenza lebih daripada satu kali dalam hidup. Dalam erti kata lain, anda mungkin diserang H1N1 beberapa kali.

Apakah Influenza A, B, C ?

Terdapat 3 jenis utama virus influenza bermusim iaitu A, B dan C.

Virus Influenza A dibahagikan lagi mengikut susunan dan kombinasi dua protein yang terdapat di permukaan virus tersebut iaitu hemaglutinin atau “H” dan neuraminidase atau “N”.

Influenza A (H1N1) yang kini berada di Sabah merupakan influenza bermusim jenis influenza A yang sedang beredar di kalangan penduduk. Jenis influenza A (H1N1) bermusim ini merupakan virus yang sama yang telah menyebabkan pandemik influenza pada tahun 2009. Tetapi kini ia hanya influenza bermusim.

Terdapat juga dua jenis virus influenza B yang sedang beredar di kalangan manusia sebagai influenza bermusim yang dinamakan sempena kawasan pertama ia dikenalpasti iaitu Keturunan Victoria dan Keturunan Yamagata.

Influenza C menyebabkan jangkitan yang kurang serius dan dikaitkan dengan kes-kes terpencil dan sekali-sekali berlaku. Oleh kerana influenza C tidak menyebab beban penyakit yang tinggi, ia tidak diklasifikasikan sebagai influenza bermusim.

Source: www.redthreadmagazine.com

Source: www.redthreadmagazine.com

 Influenza pandemik;

Sebuah pandemik berlaku apabila sejenis virus influenza yang tidak pernah terdapat dalam edaran di kalangan manusia muncul dan kebanyakan individu tidak mempunyai imuniti terhadapnya sehingga menyebabkan jangkitan di kalangan orang ramai. Virus ini mungkin muncul, beredar di kalangan orang ramai dan menyebabkan wabak penyakit di luar musim lazim influenza. Disebabkan kebanyakan individu tidak mempunyai imuniti terhadapnya, virus ini mampu menyerang sebilangan besar populasi. Sesetengah pandemik boleh mengakibatkan jangkitan yang serius dalam komuniti manakala sesetengah pandemik cuma menyebabkan kes-kes yang kurang serius. Penyebab fenomena ini belum dapat dikenalpasti. Contoh pandemik yang paling terkenal adalah “Spanish Flu” pada tahun 1918-1919 yang telah menyebabkan kematian  20-40 million orang di seluruh dunia. Pandemik seterusnya pada tahun 1957 dan 1968 telah menyebabkan bilangan kematian yang lebih rendah walaupun kebanyakan populasi dunia berisiko dijangkiti. Pada tahun 2009, Influenza A (H1N1) yang sebelum ini tidak pernah dikesan telah muncul dan tersebar di serata dunia dan menyebabkan pandemik influenza A H1N1 2009. Sejak itu, Influenza A(H1N1) ini telah berada dalam edaran secara global dan telah menjadi influenza bermusim di populasi manusia seperti diterangkan di atas. Buat masa ini, tiada virus pandemik yang baru muncul.

Kesimpulan H1N1 di Sabah;

Pegawai kesihatan Sabah telah mengesan virus influenza H1N1 di hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas. Pengarah hospital, Dr Tan Bee Hwai telah membuat kenyataan melalui Staronline menyatakan bahawa lima kanak-kanak dan dua dewasa telah dikesan positif H1N1.

Wahai pembaca yang budiman,

Virus Influenza A (H1N1) 2009 yang telah berada dalam edaran sejak 2009 ini kini merupakan virus influenza bermusim. Pandemik hanya berlaku sekiranya muncul virus influenza yang tidak pernah muncul di kalangan manusia. Sebagai contoh, di Mesir, 85% daripada penyakit selsema disebabkan oleh H1N1. Ini bukan satu kejanggalan kerana H1N1 telah menjadi influenza bermusim.

Oleh sebab itu, anda tidak perlu panik. Keutamaan kita sekarang adalah untuk menghentikan jangkitan dengan mengamalkan sistem kuarantin dan menggalakkan orang ramai mempraktikkan kebersihan diri seperti membasuh tangan dan penggunaan topeng muka. Harus diingat bahawa influenza bermusim hanya mengakibatkan jangkitan yang kurang serius atau lebih serius terutamanya di kalangan individu berisiko tinggi seperti wanita hamil, kanak-kanak kecil, warga tua, golongan rendah imuniti dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Pastikan anda sentiasa mendapat maklumat terkini melalui The Malaysian Medical Gazette.

Dr Dehsi Baha Raja merupakan pengasas Persatuan Integrasi Profesional Perubatan Malaysia (MIMPA). Artikel ini diterjemah oleh Dr Hidayatul Radziah Ismawi. Artikel asal boleh didapati di sini.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

1. CDC FLU : http://www.cdc.gov/flu/

2. WHO; Flu Pandemic : http://www.who.int/influenza/en/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box