Sembap, Apa Puncanya? – Dr Wan Fatein Nabeila Wan Omar

Sembap, atau dikenali sebagai bengkak air adalah satu gejala yang kerap berlaku. Di dalam ilmu perubatan, ia dikenali sebagai oedema. Ia boleh ditakrifkan sebagai pengumpulan air yang berlebihan di dalam cecair interstitial. Cecair interstitial ialah cecair antara sel-sel dalam badan. Jika setiap sel diibaratkan sebagai sebuah pulau, cecair interstitial ialah air laut yang mengelilingi pulau-pulau dalam badan kita.

Apa itu cecair interstitial?

Cecair interstitial terhasil dari penapisan ultra darah dalam kapilari ke dalam ruangan interstitial. Di hujung kapilari yang lebih dekat dengan arteri, tekanan hidrostatik kapilari yang lebih tinggi menyebabkan sejumlah cecair dalam darah keluar ke ruangan interstitial. Manakala di hujung kapilari yang lebih dekat dengan vena, tekanan hidrostatik kapilari lebih rendah berbanding tekanan onkotik kapilari menyebabkan air kembali diserap ke dalam kapilari. Walau bagaimanapun, bukan semua cecair yang keluar akan diserap semula ke dalam kapilari. Cecair ini akan menyumbang kepada cecair interstitial.

Di dalam keadaan yang sihat, cecair interstitial yang berlebihan ini akan diserap ke dalam sistem limfatik dan dikembalikan ke salur vena sebagai darah. Namun, jika jumlah cecair interstitial ini melebihi penyerapan ke sistem limfatik, lebihan air di ruangan interstitial berlaku menyebabkan sembap atau oedema.

Bagaimanakah lebihan cecair interstitial terjadi?

Secara umum, kita boleh bahagikan punca sembap kepada empat kategori:

  1. Pertambahan tekanan hidrostatik dalam kapilari
  2. Kekurangan tekanan onkotik dalam kapilari
  3. Pertambahan kebolehtelapan air pada kapilari
  4. Pengaliran sistem limfatik yang terjejas.

 

Pertambahan tekanan hidrostatik kapilari

Bayangkan saliran darah kita sebagai satu saliran paip. Apabila tekanan di dalam paip tinggi, aliran air keluar lebih tinggi.

Begitu juga apabila tekanan (hidrostatik) di dalam kapilari naik, lebih banyak cecair dalam darah, iaitu plasma, akan keluar di kapilari. Semakin tinggi tekanan hidrostatik kapilari, semakin banyak plasma keluar, semakin banyak cecair interstitial terhasil.

Apabila kadar penghasilan cecair interstitial melebihi penyerapannya, maka edema boleh terjadi.

Antara penyebab pertambahan tekanan hidrostatik yang paling kerap ditemui ialah penyakit tekanan darah tinggi, atau hipertensi. Penyakit-penyakit lain yang menyebabkan perkara yang sama ialah kesempitan salur vena, kenaikan tekanan vena, lemah jantung dan pertambahan jumlah air dalam darah.

 

Kekurangan tekanan onkotik kapilari

Darah kita mengandungi banyak zarah protein. Fikirkan protein ini sebagai magnet yang menarik air ke arahnya. Semakin banyak protein dalam darah, semakin tinggi tekanan onkotik, semakin banyak air akan diserap masuk semula ke dalam kapilari.

Sebaliknya, semakin kurang protein dalam darah, semakin rendah tekanan onkotik, semakin sedikit air akan diserap masuk semula ke dalam kapilari.

Maka, gangguan atau penyakit yang mengurangkan kandungan protein dalam darah boleh menyebabkan edema. Antaranya, kegagalan hati untuk menghasilkan protein, malnutrisi, dan sindrom nefrotik yang menyebabkan kehilangan protein melalui air kencing.

Pertambahan ketelapan air pada kapilari

Secara fisiologi, kapilari bersifat separuh telap di mana ia membenarkan sebahagian kandungan darah seperti air dan elektrolit tertentu untuk keluar dari kapilari dalam kuantiti yang terkawal.

Walau bagaimanapun, terdapat situasi yang menyebabkan ruangan antara sel endotelial yang membentuk dinding kapilari menjadi lebih luas, menyebabkan ia lebih telap air. Contohnya, keradangan dan melecur. Dalam situasi ini, lebih banyak air keluar dari kapilari, lebih banyak cecair interstitial terbentuk.

Pengaliran sistem limfatik yang terjejas.

Antara komponen utama sistem limfatik adalah saliran limfa dan tisu limfa seperti noda limfa. Tugas utama sistem limfatik ialah mengembalikan cecair interstitial yang berlebihan ke saluran darah untuk dikitar semula sebagai darah. Cecair interstitial yang memasuki saliran limfa dinamakan cecair limfa. Saliran limfa yang dicipta Allah berbeza berbanding saliran darah. Saliran darah kita adalah sistem perpaipan tertutup yang bersambung di kedua-dua hujung, sedangkan saliran limfatik mempunyai satu hujung yang “terbuka di dalam ruangan interstitial (ruangan antara sel-sel), dan hujung satu lagi bersambung dengan salur vena.

Antara punca terjejasnya pengaliran cecair dalam sistem limfatik ialah kurang pergerakan seperti berdiri, duduk atau berbaring terlalu lama, atau kerosakan noda limfa disebabkan radiasi atau jangkitan parasit.

Pengaliran cecair limfa bergantung kepada pengecutan otot-otot berhampiran. Oleh sebab itu, individu yang kurang bergerak lebih cenderung untuk mendapat edema. Maha Suci Allah yang telah membalik-balikkan para pemuda Kahfi yang tidur selama 309 tahun sebagaimana diceritakan dalam Surah Al-Kahfi, Ayat 18, dan memelihara mereka daripada menjadi sembap kerana tidak bergerak dalam tempoh yang sangat lama.

Kesimpulan

Sembap (edema) adalah satu gejala yang biasa ditemui dan boleh berpunca daripada pelbagai faktor. Dengan mengenal pasti punca-punca sembap, kita boleh mencegah dan mendapatkan rawatan yang bersesuaian.

Ditulis oleh:

Dr Wan Fatein Nabeila Wan Omar

Pensyarah Perubatan, Unit Fisiologi, Jabatan Sains Perubatan, Kulliyyah of Medicine,

International Islamic University Malaysia

Rujukan:

  1. Hall, J.E. & Hall, M.E. (2021). Guyton and Hall Textbook of Medical Physiology (14th). Elsevier.
  2. Costanzo, L. S. (2018). Physiology (6th). Elsevier.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box