Bakteria pneumococcus Menunggu Dalam Diam – (Immunise4Life) Persatuan Pediatrik Malaysia

Bakteria pneumococcus boleh kekal dorman atau membawa maut ketika tidak dijangka.

Streptococcus pneumoniae atau pneumococcus ialah bakteria yang sangat mudah berjangkit dan berpotensi membawa maut yang telah membunuh hampir sejuta kanak-kanak bawah umur 5 tahun setiap tahun.

Kira-kira 40-90% kanak-kanak membawa bakteria pneumococcal dan bakteria ini sering didapati di laluan nasum. Pneumococcus berjangkit dengan mudah melalui sentuhan langsung dengan rembesan hidung, termasuk lendir dan kahak individu-individu yang terjangkit.

  1. penumoniae boleh menyerang pelbagai bahagian badan dan menyebabkan penyakit pneumococcal pada kadar keterukan yang berbeza. Penyakit-penyakit ini merangkumi jangkitan ringan tetapi melemahkan seperti otitis media (keradangan telinga tengah) kepada jangkitan teruk dan membawa maut seperti pneumonia (jangkitan paru-paru), septicaemia (jangkitan darah), dan meningitis (jangkitan pada lapisan perlindungan otak dan tulang belakang).

Kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang menghadiri pusat penjagaan kanak-kanak atau sekolah tadika adalah 2 hingga tingga kali lebih mudah mengalami penyakit pneumococcal invasif dan otitis media akut. Mereka lebih mudah terjangkit kerana sistem imun yang masih belum matang. Tambahan pula, mereka lebih terdedah kepada pembawa jangkitan di pusat penjagaan kanak-kanak atau tadika.

Berita baiknya terdapat cara-cara untuk melindungi anak-anak daripada penyakit pneumococcal seperti mengalamalkan penjagaan kesihatan yang betul dan vaksinasi. Akan tetapi, masih terdapat ibu bapa yang enggan mengambil tindakan pencegahan seperti memastikan anak-anak mereka mendapat vaksinasi. Sesetengah daripada mereka bergantung kepada nasib dan gagal menyedari bahawa bakteria tersebut seakan bom masa yang berdetik. Pneumococcus mungkin tidak menyebabkan apa-apa selama berbulan-bulan atau bertahun, apabila jangkitan yang teruk berlaku, rawatan adalah sukar, pesakit perlu dimasukkan ke hospital, boleh menyebabkan implikasi negatif jangka masa panjang atau kematian.

 

Kes #1 : Anak mengalami kesesakan pernafasan.

Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail, kanak-kanak yang menghidapi pneumonia biasanya akan mengalami demam panas, batuk, dan kesukaran bernafas yang memerlukan kemasukan hospital untuk jangka masa lama di unit penjagaan intensif (ICU), dan mungkin memerlukan pembedahan dan pada sesetengah kes, berlakunya kematian. Perunding pediatrik dan kardiologi pediatrik ini juga menjelaskan bahawa rawatan jangkitan pneumococcal adalah rumit kerana jangkitan tersebut mungkin tidak dikenalpasti atau didiagnos, serta ketahanan jangkitan tersebut terhadap antibiotik juga sedang meningkat.

Sebagai contoh, Lucy*, seorang kanak-kanak berusia dua tahun dimasukkan ke hospital selepas batuk tanpa henti dan demam selama tujuh hari. Suhu badan meningkat sehingga 40°C walaupun ibunya telah memberikan antibiotik seperti yang ditetapkan. Setibanya di hospital, Lucy* didiagnos menghidapi pneumonia pneumococcal, dan hasil x-ray menunjukkan paru-paru kiri telah runtuh dan dipenuhi cecair yang membuatkan Lucy* sangat sukar bernafas. Tiub terpaksa dimasukkan ke dalam paru-paru tersebut untuk mengeluarkan kira-kira 250ml cecair dan Lucy* diletakkan bawah pemerhatian rapi selama dua hari di unit rawatan separa rapi (HDU) dimana antibiotik intravenus yang lebih kuat diberikan.

Syukurnya, selepas 10 hari menerima rawatan di hospital, Lucy* pulih meskipun mengalami sedikit trauma psikologikal dimasukkan ke hospital dan parut di dada. Selepas itu, Dr Zulkifli menyedari bahawa Lucy* tidak diberi vaksin untuk mencegah jangkitan pneumococcal. Ibu Lucy* menyatakan sekiranya diberi pilihan, beliau akan mendapatkan vaksin untuk anaknya supaya tidak perlu melihat anaknya melalui azab bertarung dengan pneumonia untuk terus hidup.

 

Kes #2: Demam tidak harus dipandang ringan

Menurut Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, perunding pediatric dan neonatologis, demam panas akibat jankitan pneumococcal boleh menjadi tanda-tanda awal bakteria telah merebak ke bahagian otak. Penyakit ini dikenali sebagai meningitis sering membawa maut terutama sekali pada kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

Dr Musa menjelaskan lagi dengan memetik satu kes dimana Adlin*, seorang bayi berusia 5 bulan, didapati menghidap pneumococcal meningitis dalam 4 hari selepas demam panas bermula. Adlin* dibawa ke hospital dua hari selepas demam panas tidak surut walaupun setelah diberi ubat dari klinik. Setibanya di hospital, Adlin berasa tidak selesa, tidak mahu makan, dan muntah. Kemasukan segera ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ventilasi serta antibiotik intravenus diberikan. Malangnya cecair serebrospina mengesahkan perebakan jangkitan pneumococcus ke bahagian otak dan saraf tunjang. Walaupun dengan usaha terbaik pasukan perubatan, beliau meninggal dunia dalam 10 jam selepas kemasukan hospital.

“Sangat menyedihkan untuk melihat ibu bapa meratap kematian anak mereka,” kata Dr Musa. “Sebagai doctor perubatan kami sedar bahawa pneumococcal meningitis sukar dirawat. Ini sebabnya kami menggalakkan ibu bapa mengambil semua langkah pencegahan, termasuk memberikan vaksinasi kepada anak-anak mereka untuk melindungi mereka dari penyakit ini,” tambah beliau.

 

Kes #3 : Jangkitan telinga boleh memberi kesan terhadap perkembangan bahasa

Ketika Dr Yong Junina Fadzil, perunding pediatric dan kardiologi pediatric merawat kanak-kanak yang menghadapi masalah percakapan dan pendengaran, antara perkara pertama yang akan dipastikan ialah jika kanak-kanak tersebut pernah menghidap otitis media. Otitis media kronik merupakan penyebab utama kehilangan pendengaran pada kanak-kanak dan boleh berlaku akibat jangkitan pneumococcal.

Jangkitan ini mengurangkan keupayaan pendengaran kerana nanah yang terbentuk di dalam telinga tengah menyekat getaran gegendang dan tulang telinga tengah. Dalam kes paling buruk, nanah berlebihan akan meletakkan tekanan pada gegendang dan menyebabkan koyakan. Julat kehilangan pendengaran akibat otitis media merangkumi kehilangan pendengaran ringan, sederhana dan teruk. Sekiranya kehilangan pendengaran ini bermula di peringkat penting pembentukan bahasa dan pertuturan, kanak-kanak tersebut berpeluang tinggi mengalami ketidakupayaan pertuturan dan bahasa.

Seringkali masalah pendengaran juga membawa kepada kesukaran belajar dan keputusan akademik yang kurang memuaskan. Zikri* mengalami masalah-masalah tersebut kerana mudah mendapat jangkitan telinga sejak lahir. Zikri* lewat bercakap dan masih tidak boleh bertutur dengan baik di tahun pertama sekolah rendah. Untuk ujian pertamanya di sekolah, keputusannya sungguh teruk sehingga guru meletakkannya dalam kelas keperluan khas. Ibunya tidak sedar bahawa kelewatannya bercakap mungkin disebabkan jangkitan telinga dan tidak merujuk kepada pakar telinga, hidung, dan tekak (ENT) sehingga tahun seterusnya apabila Zikri* mengalami jangkitan telinga yang sangat teruk dan menyakitkan. Setelah mendapat rawatan, pendengaran Zikri* bertambah baik dan turut sama gred pembelajarannya.

*Penolak tuntutan: nama ditukar untuk melindungi privasi

Rencana ini disumbangkan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia di bawah program Immunise4Life dengan sokongan GSK. Untuk maklumat lanjut layari http://ifl.my/diseases_category/pneumococcal-disease/ . Diterjemahkan dari rencana asal di https://www.mmgazette.com/lying-in-wait-immunise4life-by-malaysian-paediatric-association/ oleh Nur Nadhirah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box