Merancang keluarga, iaitu usaha menentukan masa yang sesuai untuk mempunyai dan mengatur bilangan anak serta menjarakkan kehamilan, merupakan perkara penting dalam menjamin kesejahteraan sesebuah keluarga. Kepentingan perancangan keluarga ini dapat dilihat apabila Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 melaporkan bahawa sebanyak 33 peratus wanita di Malaysia hamil tanpa dirancang. Di Malaysia, terdapat beberapa jenis kaedah perancangan keluarga yang ditawarkan secara percuma di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia mengikut kesesuaian individu. Malah, sebahagian kaedah ini turut ditawarkan di klinik swasta dan farmasi komuniti.
Apakah itu ubat pencegahan kehamilan?

Ubat pencegahan kehamilan merupakan ubat yang berfungsi secara sementara untuk mengelakkan proses persenyawaan (kesan kontraseptif) atau kehamilan. Ubat ini mengandungi hormon sintetik yang menyerupai hormon semula jadi wanita di dalam badan. Terdapat beberapa bentuk dos ubat pencegahan kehamilan, seperti:
- Tablet
Ubat pencegahan kehamilan dalam bentuk tablet merupakan kaedah yang paling biasa digunakan terutamanya oleh golongan wanita di Malaysia kerana mudah diperoleh. Kaedah ini menunjukkan tahap keberkesanan yang tinggi untuk mencegah kehamilan sekiranya diambil dengan cara yang betul. Lazimnya, ubat tablet perlu diambil setiap hari pada waktu yang sama.
- Suntikan kontraseptif
Suntikan kontraseptif perlu dicucuk setiap 2 atau 3 bulan bergantung kepada ubat yang digunakan. Ubat ini diberikan melalui suntikan ke dalam otot (intramuskular), sama ada di bahagian sebelah atas lengan atau punggung.
- Implan
Implan pula merupakan sejenis alat kecil yang disisipkan ke bawah kulit, kebiasaannya di bahagian sebelah atas lengan. Kesan kontraseptif yang dihasilkan dapat bertahan selama 3 hingga 5 tahun bergantung kepada jenis implan yang digunakan.
Cara pengambilan ubat pencegahan kehamilan jenis tablet
Ubat pencegahan kehamilan dalam bentuk tablet boleh dikelaskan kepada beberapa kumpulan berdasarkan kandungan hormon yang terdapat di dalamnya. Perbezaan kandungan hormon ini akan menentukan cara pengambilan dan kesesuaiannya dengan keadaan kesihatan seseorang wanita:
- Tablet kombinasi dua jenis hormon
Tablet kombinasi mengandungi hormon sintetik estrogen dan progestin. Hormon ini bertindak dengan menghalang ovulasi dan menyebabkan lapisan serviks (pangkal rahim) menjadi lebih tebal untuk mengelakkan penembusan sperma. Tindakan ini seterusnya menjadikan persekitaran serviks dan uterus tidak sesuai untuk persenyawaan.
Tablet kombinasi terdapat dalam pek 21 hari dan 28 hari. Kedua-duanya mempunyai cara pengambilan yang tersendiri. Bagi pek 21 hari, pesakit perlu mengambil ubat setiap hari selama 21 hari dan diikuti dengan 7 hari rehat tanpa ubat sebelum kitaran baharu dimulakan. Ubat dalam pek 28 hari pula harus diambil berterusan setiap hari. Tablet bagi 7 hari terakhir ialah tablet pil tanpa bahan aktif (plasebo). Contoh tablet kombinasi yang digunakan di Malaysia termasuklah kombinasi levonorgestrel dan ethinylestradiol, drospirenone dan ethinylestradiol atau cyproterone acetate dan ethinylestradiol.
- Tablet dengan hormon progestin sahaja
Tablet pencegahan kehamilan jenis ini hanya mengandungi hormon progestin. Ubat daripada kumpulan ini adalah lebih sesuai diambil oleh wanita yang menyusukan bayi. Ubat ini turut digunakan untuk wanita yang menghidap hipertensi dan masalah jantung bagi mengurangkan risiko kesan sampingan yang disebabkan oleh hormon estrogen.
Ubat tablet ini bertindak dengan menyekat proses ovulasi, menebalkan mukus pada serviks dan menipiskan lapisan dinding uterus untuk menghalang proses penempelan telur yang telah disenyawakan. Kebiasaannya tablet dengan hormon progrestin sahaja terdapat dalam pek 28 hari yang perlu diambil setiap hari. Antara contohnya ialah norethisterone atau desogestrel.
Ubat pencegahan kehamilan bagi tujuan kecemasan
Ubat ini dikategorikan sebagai ubat bagi tujuan kecemasan kerana diambil selepas hubungan seksual oleh wanita yang tidak mengambil sebarang kaedah pencegahan kehamilan yang lain. Oleh sebab itu, ubat ini juga dikenali sebagai “morning-after pill’ dalam kalangan masyarakat. Antara contoh ubat bagi tujuan kecemasan termasuklah:
- Ulipristal acetate
Ubat ini perlu diambil sebagai satu dos sahaja 30 miligram dengan kadar segera atau dalam tempoh 120 jam (lima hari) selepas hubungan seksual tanpa perlindungan.
- Levonorgestrel
Levonorgestrel boleh diambil sama ada sebagai satu dos 1.5 miligram atau dua dos 0.75 miligram. Bagi pengambilan secara dua dos, dos kedua perlu diambil 12 jam selepas dos pertama. Ubat ini perlu diambil secepat mungkin dan tidak melebihi 72 jam (tiga hari) selepas hubungan seksual tanpa perlindungan.
Kesan sampingan ubat pencegahan kehamilan
Seperti ubat-ubatan lain, ubat pencegahan kehamilan juga boleh menyebabkan kesan sampingan. Namun begitu, kebanyakan kesan sampingan yang dialami adalah ringan dan biasanya akan berkurangan selepas penggunaan secara berterusan. Antara kesan sampingan yang kerap dilaporkan termasuklah loya, pening, pendarahan tidak teratur antara kitaran haid, kekejangan perut, sakit pada payudara, masalah keputihan dan penurunan libido (dorongan seks).
Pengguna disaran mengambil ubat pencegahan kehamilan pada waktu malam, khususnya sebelum tidur untuk mengurangkan rasa loya. Sekiranya kesan sampingan yang berlaku semakin berpanjangan dan mula menimbulkan kebimbangan, pengguna hendaklah mendapatkan nasihat doktor bagi mempertimbangkan kaedah pencegahan kehamilan yang lain.

Selain itu, peningkatan berat badan juga menjadi antara kebimbangan dalam kalangan wanita yang mengambil ubat pencegahan kehamilan. Walau bagaimanapun, beberapa kajian mendapati bahawa tiada kaitan secara langsung antara penggunaan pil perancang dengan peningkatan berat badan. Masalah ini sebenarnya dapat dikaitkan dengan selera yang meningkat dan pengumpulan cecair dalam badan (edema) secara sementara yang disebabkan oleh kandungan hormon.
Dalam keadaan tertentu, penggunaan ubat pencegahan kehamilan turut berisiko menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti peningkatan tekanan darah, strok, serangan jantung atau pembentukan darah beku yang menyekat saluran darah (venous thromboembolism). Wanita yang mempunyai sejarah penyakit tersebut atau faktor risiko tertentu perlu mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum memulakan pengambilan ubat pencegahan kehamilan.
Nasihat kepada pengguna
Pengambilan ubat pencegahan kehamilan secara betul dan konsisten adalah penting bagi memastikan keberkesanannya dan perlindungan yang optimum. Ubat ini perlu diambil pada waktu yang sama setiap hari bagi mengekalkan paras hormon yang stabil dan memastikan keberkesanannya. Pengguna juga disarankan agar tidak membiarkan tempoh melebihi 24 jam antara dos kerana keadaan ini boleh mengurangkan keberkesanan ubat dan meningkatkan risiko kehamilan yang tidak dirancang.
Sekiranya pengguna terlupa mengambil satu dos, dos tersebut perlu diambil secepat mungkin apabila teringat. Pengguna kemudiannya boleh meneruskan dos berikutnya pada waktu biasa. Bagi membantu pengambilan ubat secara konsisten, pengguna digalakkan menggunakan kaedah peringatan seperti aplikasi telefon pintar atau alat penggera. Sokongan pasangan juga boleh membantu meningkatkan kepatuhan terhadap rawatan.
Pengambilan ubat secara konsisten bukan sahaja meningkatkan keberkesanan pencegahan kehamilan malah dapat membantu mengurangkan risiko kesan sampingan tertentu seperti loya, pendarahan dan perubahan emosi yang lazimnya terjadi apabila paras hormon dalam badan terganggu. Selain itu, sesetengah suplemen atau produk herba berpotensi berinteraksi dengan ubat pencegahan kehamilan dan menjejaskan keberkesanannya. Pengguna haruslah memaklumkan doktor atau ahli farmasi tentang semua ubat, suplemen atau produk tradisional yang sedang diambil sebelum memulakan penggunaan ubat pencegahan kehamilan.
Kesimpulannya, keberkesanan ubat pencegahan kehamilan amat bergantung pada penggunaan yang betul, konsisten dan mengikut arahan. Dengan pematuhan yang baik, ubat ini dapat menjadi satu kaedah perancangan keluarga yang selamat dan berkesan.
Disediakan oleh Puan Nur Syahirah binti Mustaffa (Pegawai Farmasi Klinik Kesihatan Simpang Renggam, PKD Kluang) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.
RUJUKAN:
- Institut Kesihatan Umum (IKU) 2023. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022: Kesihatan Ibu dan Anak – Penemuan Utama. Available from: https://iku.gov.my/images/nhms-2022/4b.-infografik-nhms-mch_malay_19.05.2023.pdf
- MyGOV – The Government of Malaysia’s Official Portal [Internet]. Malaysia.gov.my. 2025 [cited 2025 Feb 17]. Available from: https://www.malaysia.gov.my/portal/content/30183?language=my
- Bansode OM, Sarao MS, Cooper DB. Contraception [Internet]. PubMed. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK536949/
- Mayo Clinic. Estrogen And Progestin Oral Contraceptives (Oral Route) Description and Brand Names – Mayo Clinic [Internet]. Mayoclinic.org. 2019. Available from: https://www.mayoclinic.org/drugs-supplements/estrogen-and-progestin-oral-contraceptives-oral-route/description/drg-20069422
- Mayo Clinic Staff. Combination birth control pills – Mayo Clinic [Internet]. Mayoclinic.org. 2023. Available from: https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/combination-birth-control-pills/about/pac-20385282
- Mayo Clinic. Minipill (progestin-only birth control pill) – Mayo Clinic [Internet]. Mayoclinic.org. 2018. Available from: https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/minipill/about/pac-20388306
- Ulipristal (oral route) [Internet]. Mayo Clinic. 2024. Available from: https://www.mayoclinic.org/drugs-supplements/ulipristal-oral-route/description/drg-20074458
- Levonorgestrel (Oral Route) Description and Brand Names – Mayo Clinic [Internet]. www.mayoclinic.org. Available from: https://www.mayoclinic.org/drugs-supplements/levonorgestrel-oral-route/description/drg-20074413
- Mayo Clinic. Morning-after pill – Mayo Clinic [Internet]. Mayoclinic.org. 2018. Available from: https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/morning-after-pill/about/pac-20394730
- Cooper DB, Mahdy H, Patel P. Oral Contraceptive Pills [Internet]. PubMed. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2024. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK430882/
- Gallo MF, Grimes DA, Schulz KF, Helmerhorst FM. Combination contraceptives: effects on weight. The Cochrane Database of Systematic Reviews [Internet]. 2003 [cited 2021 Jun 10];(2):CD003987. Available from: https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/12804496/
- Birth Control Pills and Weight Gain [Internet]. WebMD. Available from: https://www.webmd.com/sex/birth-control/birth-control-pills-weight-gain
- Mayeda ER, Torgal AH, Westhoff CL. Weight and Body Composition Changes During Oral Contraceptive Use in Obese and Normal Weight Women. Journal of Women’s Health [Internet]. 2014 Jan;23(1):38–43. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3880912/
