Pilihan Ubat-ubatan untuk Rawatan Osteoporosis – Choong Khai Sin (Pegawai Farmasi)

Pilihan Ubat-Ubatan Untuk Rawatan Osteoporosis

Osteoporosis ialah penyakit yang menyebabkan tulang menjadi lemah akibat pengurangan ketumpatan dan perubahan struktur tulang. Keadaan ini berlaku apabila proses penguraian tulang melebihi proses pembentukan tulang baharu. Lama-kelamaan, tulang menjadi rapuh dan mudah patah, walaupun akibat hentakan atau kecederaan ringan.

Osteoporosis sering dikenali sebagai penyakit senyap kerana kebanyakan pesakit tidak mengalami gejala yang jelas pada peringkat awal. Penyakit ini mungkin hanya dikesan apabila seseorang mengalami patah tulang, terutamanya pada tulang belakang, pinggul atau pergelangan tangan. Patah tulang boleh menyebabkan kesakitan, menjejaskan pergerakan dan menyukarkan aktiviti harian. Risiko osteoporosis meningkat dengan usia, khususnya dalam kalangan wanita selepas menopaus dan warga emas.

Ubat-ubatan untuk rawatan osteoporosis 

Matlamat utama rawatan osteoporosis ialah mengurangkan risiko patah tulang. Sesetengah ubat juga membantu meningkatkan atau mengekalkan ketumpatan tulang. Pemilihan ubat bergantung pada risiko patah tulang, keadaan kesihatan, rawatan terdahulu dan kemampuan pesakit mengikuti arahan penggunaannya. Oleh itu, ubat yang sesuai untuk seseorang pesakit tidak semestinya sesuai untuk pesakit lain.

Ubat osteoporosis boleh bertindak dengan mengurangkan penguraian tulang atau merangsang pembentukan tulang baharu. Antara pilihan rawatan ialah bisfosfonat (bisphosphonates), raloxifene dan denosumab. Artikel ini menerangkan beberapa contoh ubat tersebut, bukannya semua pilihan rawatan yang tersedia.

  1. Bisfosfonat (bisphosphonates)

Bisfosfonat merupakan antara kumpulan ubat yang lazim digunakan dan sering menjadi pilihan utama untuk rawatan osteoporosis. Ubat ini memperlahankan penguraian tulang, sekali gus membantu mengurangkan risiko patah tulang. Contoh bisfosfonat oral ialah alendronate (alendronic acid) dan ibandronate (ibandronic acid).

Alendronate dalam bentuk tablet mingguan biasanya diambil sekali seminggu, sebaik sahaja bangun tidur, dengan segelas penuh air kosong. Pesakit perlu menunggu sekurang-kurangnya 30 minit sebelum mengambil makanan, minuman atau ubat lain, dan hendaklah kekal duduk atau berdiri tegak sepanjang tempoh tersebut. Langkah ini membantu mengurangkan risiko kerengsaan esofagus, iaitu saluran yang menghubungkan mulut dengan perut.

Ibandronate dalam bentuk tablet bulanan pula biasanya diambil sekali sebulan, sebaik sahaja bangun tidur, dengan segelas penuh air kosong. Pesakit perlu menunggu sekurang-kurangnya 60 minit sebelum mengambil makanan, minuman atau ubat lain, serta kekal duduk atau berdiri tegak sepanjang tempoh tersebut. Pesakit hendaklah sentiasa mengikut arahan khusus pada label ubat yang dibekalkan.

Bisfosfonat oral boleh menyebabkan sakit perut, pedih ulu hati, kesukaran menelan atau kerengsaan esofagus. Ubat ini mungkin tidak sesuai untuk pesakit yang mempunyai gangguan esofagus tertentu atau tidak mampu duduk atau berdiri tegak untuk tempoh yang diperlukan. Penggunaan bisfosfonat juga perlu dinilai berdasarkan tahap fungsi buah pinggang kerana had penggunaannya berbeza mengikut jenis ubat. Maklumkan kepada doktor jika mengalami kesukaran menelan atau sakit dada selepas mengambil ubat.

  1. Raloxifene

Raloxifene ialah ubat daripada kumpulan selective estrogen receptor modulator (SERM), iaitu ubat yang bertindak menyerupai kesan estrogen pada tulang. Ubat ini digunakan untuk wanita selepas menopaus dalam keadaan tertentu dan diambil sekali sehari. Raloxifene terbukti membantu mengurangkan risiko patah tulang belakang, tetapi manfaatnya untuk mencegah patah tulang pinggul belum dibuktikan.

Antara kesan sampingan raloxifene ialah rasa panas secara tiba-tiba (hot flush) dan kekejangan kaki. Ubat ini juga boleh meningkatkan risiko pembentukan darah beku dalam salur darah, termasuk pada kaki atau paru-paru. Oleh itu, raloxifene tidak sesuai untuk pesakit yang pernah mengalami darah beku dalam vena. Dapatkan rawatan segera jika mengalami bengkak atau sakit pada sebelah kaki, sakit dada secara tiba-tiba atau sesak nafas.

  1. Denosumab

Denosumab diberikan melalui suntikan di bawah kulit setiap enam bulan. Ubat ini mengurangkan penguraian tulang dan membantu menurunkan risiko patah tulang. Suntikan hendaklah diberikan mengikut jadual yang ditetapkan.

Sebelum memulakan denosumab, paras kalsium darah yang rendah perlu dibetulkan. Denosumab boleh menyebabkan paras kalsium darah menurun, terutamanya pada pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang yang teruk. Gejala kalsium rendah termasuk kebas atau kesemutan di sekitar mulut dan hujung jari serta kekejangan otot. Pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan jika gejala ini berlaku. Denosumab tidak boleh dihentikan atau ditangguhkan tanpa perancangan rawatan susulan oleh doktor kerana tindakan tersebut boleh meningkatkan risiko patah tulang belakang.

Nasihat untuk pesakit dan orang awam

Keberkesanan rawatan bergantung pada pengambilan ubat mengikut dos, jadual dan cara yang diarahkan. Jangan menghentikan ubat atau menangguhkan suntikan tanpa berbincang dengan doktor, khususnya bagi rawatan denosumab. Jika mengalami kesan sampingan atau sukar mengikuti jadual rawatan, dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi supaya pilihan yang lebih sesuai dapat dipertimbangkan.

Pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi turut menyokong kesihatan tulang. Keperluan nutrien ini sebaik-baiknya dipenuhi melalui pemakanan, manakala suplemen boleh dipertimbangkan apabila pengambilannya tidak mencukupi. Jumlah yang diperlukan bergantung pada usia, pemakanan dan keadaan kesihatan. Elakkan pengambilan suplemen secara berlebihan dan dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan tentang dos yang sesuai.

Pesakit juga digalakkan melakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian. Aktiviti menampung berat badan, latihan kekuatan dan latihan keseimbangan boleh membantu mengekalkan fungsi fizikal dan mengurangkan risiko jatuh. Jenis serta intensiti senaman hendaklah disesuaikan dengan keadaan kesihatan dan risiko patah tulang. Pastikan persekitaran rumah selamat, termasuk pencahayaan yang baik, laluan yang tidak terhalang dan alas antigelincir di bilik air.

Kesimpulannya, rawatan osteoporosis perlu disesuaikan dengan risiko patah tulang, keadaan kesihatan dan keperluan setiap pesakit. Penggunaan ubat mengikut arahan, pemakanan seimbang yang membekalkan kalsium dan vitamin D yang mencukupi serta aktiviti fizikal yang sesuai dapat membantu menjaga kesihatan tulang dan mengurangkan risiko patah tulang.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

Disediakan oleh Puan Choong Khai Sin (Pegawai Farmasi, Hospital Sungai Siput, Perak) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

RUJUKAN:

  1. World Health Organization.  World Osteoporosis Day: Simple Ways to Prevent Osteoporosis. [Internet]. 2019 [cited 2025 Feb 1]. Available from: https://www.who.int/westernpacific/articles/item/simple-ways-to-prevent-osteoporosis
  2. Cleveland Clinic.  Osteoblasts and Osteoclasts. 2023.  [cited 2025 Feb 1].  Available from  https://my.clevelandclinic.org/health/body/24871-osteoblasts-and-osteoclasts
  3. Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines: Management of Osteoporosis.  (3rd Edition). [Internet]. 2022 [cited 2025 Feb 19]. Available from: https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/CPG/Rheumatology/221115_MOS_CPG-Management_of_Osteoporosis-ed3_PREVIEW.pdf pg 45
  4. Chan CY, Subramaniam S. & Kok YC (2019). Levels of knowledge, beliefs and practices regarding osteoporosis and the associations with bone mineral density among populations more than 40 years old in Malaysia.  International Journal of Environmental Research & Public Health. 2019;16(21):4115. Available from https://www.mdpi.com/1660-4601/16/21/4115 
  5. International Osteoporosis Foundation.  Osteoporosis. [Internet]. 2025.  [cited 2025 Feb 1]. Available from https://www.osteoporosis.foundation
  6. Mohd Din, F., Soh, K. G., Eskak, N. H., & Siswantoyo, M. K. (2019). Analisis jumlah pengambilan kalori, kalsium dan protein serta hubungannya dengan kepadatan mineral tulang dalam kalangan warga tua. Malaysian Journal of Movement, Health & Exercise, 2019;8(2): 81- 98. https://doi.org/10.15282/mohe.v8i2.360
  7. Laird C, Benson H, Williams KA. Pharmacist interventions in osteoporosis management: a systematic review. Osteoporosis Int. 2023 Feb;34(2):239-254. doi: 10.1007/s00198-022-06561-1. Available from https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC9852145/#Abs1
  8. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2024). Garis panduan aktiviti fizikal Malaysia 2024. Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia. moh.gov.my
  9. Mohd Alif Idham Abd Hamid. (2020, September 14). Ceria Sepanjang Usia: Panduan Senaman Mudah di Rumah untuk Warga Emas. The Malaysian Medical Gazette. mmgazette.com
  10. Malaysian Osteoporosis Society. (2022). Clinical Practice Guidelines for the Management of Osteoporosis (5th ed.). Malaysian Osteoporosis Society. osteoporosis.my
  11. Tenteram. (n.d.). Panduan Pencegahan Jatuh untuk Warga Emas di Rumah. Tenteram Malaysia. tenteram.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box