Bahaya Gigitan Anjing Liar – Dr Mohd Shaiful Ehsan Shalihin

Pengenalan

Gigitan anjing liar bukan sekadar kecederaan fizikal biasa. Ia membawa risiko jangkitan rabies, yang juga dikenali sebagai penyakit anjing gila. Penyakit ini merupakan jangkitan virus yang menyerang sistem saraf dan hampir 100% boleh membawa maut sebaik sahaja simptom klinikal muncul. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), rabies meragut kira-kira 59,000 nyawa setiap tahun di seluruh dunia akibat gigitan anjing yang dijangkiti rabies. Malangnya, masih ramai yang mengambil ringan isu anjing liar ini. Kes gigitan masih menjadi kebimbangan kesihatan awam di Malaysia, terutamanya di kawasan perumahan.

Isu Semasa

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan isu penangkapan anjing liar. Usaha ini mungkin telah disalah anggap oleh sesetengah pihak. Namun, di Malaysia, masalah anjing liar dan kes gigitan terus meningkat. Antara tahun 2017 hingga 2020, lebih 71,000 kes gigitan haiwan direkodkan, dengan purata 17,700 kes setahun. Kebanyakannya melibatkan anjing dan memerlukan vaksinasi rabies.

Sarawak kekal sebagai kawasan yang paling terjejas. Sejak tahun 2017 hingga Mac 2026, sebanyak 87 kematian manusia akibat rabies telah direkodkan di negeri tersebut. Data Pihak Berkuasa Tempatan (contohnya, Majlis Perbandaran Sibu) menunjukkan ratusan kes gigitan setiap tahun, yang sebahagian besarnya berpunca daripada anjing liar atau terbiar.

Anggaran tidak rasmi menunjukkan bahawa populasi anjing liar di negara ini mencecah jutaan ekor berikutan kadar pembiakan yang pantas dan masalah pembuangan haiwan peliharaan. Keadaan ini mencetuskan risiko berterusan kepada penduduk, terutamanya kanak-kanak. Anjing liar juga mengganggu pergerakan penduduk, terutamanya mereka yang berjalan kaki, menaiki basikal atau menunggang motosikal, termasuk penghantar makanan.

Kesan dan Bahaya Gigitan

Berikut adalah antara kesan utama akibat gigitan anjing liar:

  • Kecederaan fizikal – Gigitan boleh menyebabkan koyakan pada kulit, otot atau tisu dalam, serta meningkatkan risiko jangkitan bakteria sekunder pada luka.
  • Risiko rabies – Virus rabies terdapat dalam air liur haiwan yang dijangkiti dan boleh merebak melalui gigitan, cakaran atau jilatan pada luka terbuka.
  • Impak psikologi dan sosial – Trauma akibat gigitan boleh menyebabkan ketakutan untuk melalui kawasan perumahan tertentu sehingga mengganggu kegiatan seharian. Impak ini boleh menjadi lebih teruk jika melibatkan kanak-kanak dan warga emas. Kos rawatan juga perlu diambil kira, terutamanya bagi mereka yang dijangkiti rabies.

Langkah Selepas Gigitan

Gigitan anjing liar perlu dianggap sebagai kecemasan perubatan. Tindakan segera amat kritikal dan perlu dilakukan oleh mangsa terlebih dahulu.

  1. Basuh luka serta-merta dengan sabun dan air bersih yang mengalir selama sekurang-kurangnya 15 minit.
  2. Elakkan penggunaan ubat tradisional atau herba tanpa nasihat perubatan.
  3. Dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berdekatan tanpa berlengah untuk penilaian risiko, rawatan serta langkah pencegahan rabies melalui profilaksis pascapendedahan (Post-Exposure Prophylaxis, PEP). Ini termasuk:
    • rawatan luka yang betul;
    • vaksin rabies; dan
    • imunoglobulin rabies bagi individu yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi.
  4. Laporkan kejadian kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tindakan susulan terhadap anjing berkenaan.
  5. Jangan berlengah sehingga gejala muncul. Hal ini kerana sebaik sahaja gejala rabies bermula, penyakit ini boleh membawa maut.

Pencegahan Jangka Pendek dan Jangka Panjang

Masalah gigitan anjing liar boleh dicegah. Berikut adalah langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil.

Jangka Pendek

  • Elakkan mendekati atau menyentuh anjing liar, termasuk anjing yang kelihatan tenang.
  • Ajar kanak-kanak supaya tidak mengusik atau mendekati anjing yang tidak dikenali.
  • Laporkan kepada PBT sekiranya terdapat anjing liar berkeliaran di kawasan kejiranan. Anjing liar perlu ditangkap bagi menjaga keselamatan orang ramai.
  • Elakkan kawasan yang menjadi tumpuan anjing liar semasa berjoging atau berbasikal, terutamanya pada waktu subuh dan malam.

Jangka Panjang

  • Pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan antirabies secara berkala di klinik veterinar.
  • Sokong program vaksinasi haiwan secara berkelompok.
  • Beri sokongan kepada usaha kawalan populasi anjing liar oleh pihak berkuasa tempatan.
  • Amalkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dengan memastikan kebersihan dan pemandulan haiwan serta tidak membiarkan anjing berkeliaran. Jangan membawa anjing ke kawasan larangan.
  • Sokong pendidikan kesihatan awam yang berterusan tentang bahaya rabies dan langkah pencegahan gigitan.

Kesimpulan

Bahaya gigitan anjing liar memerlukan usaha pelbagai pihak untuk ditangani secara berkesan. Di peringkat komuniti, kesedaran awam tentang risiko rabies serta cara pertolongan cemas yang betul mesti dipertingkatkan melalui pendidikan kesihatan yang berterusan. Kerjasama erat antara sektor kesihatan, kerajaan tempatan dan masyarakat merupakan kunci untuk mengurangkan kejadian gigitan anjing liar serta komplikasi yang berkaitan dengannya. Usaha penangkapan anjing liar oleh pihak berkuasa perlu diterima baik dan tidak dihalang.

Rujukan

  1. World Health Organization (WHO). Rabies Fact Sheet; Zero by 30 Strategic Plan.
  2. Kementerian Kesihatan Malaysia. Interim Guideline for Human Rabies Prevention & Control.

Artikel ini ditulis oleh Profesor Madya Dr Mohd Shaiful Ehsan Bin Shalihin. Beliau merupakan Pakar Perubatan Keluarga di Kulliyyah of Medicine, International Islamic University Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box