Pemeriksaan air tulang belakang (lumbar puncture) – Dr La Reina Sangaran

Cuba anda bayangkan keadaan yang menakutkan ini. Anak anda yang baru berumur 6 bulan sudah demam dari malam tadi. Apabilla anda mengukur suhunya, bacaan termometer mencatat 39C. Anda panik. Ubat demam sudah diberikan tetapi demam tidak juga surut. Anak juga sudah mulai muntah- muntah dan nampak gelisah dan terus menangis. Tiba-tiba, anak berhenti menangis, mukanya menjadi biru dan anda lihat tangan dan kakinya tegang serta tersentak-sentak. Setelah beberapa saat, dia menjadi tidak bermaya. Anda membawa anak anda terus ke hospital. Setelah memeriksa anak, doktor mencadangkan untuk membuat “Lumbar Puncture”.

 

Apa itu Lumbar Puncture?

Lumbar puncture adalah suatu teknik yang digunakan oleh doktor untuk mengambil sedikit sampel daripada cecair yang mengelilingi selaput otak dan saraf.

 

Kenapa perlu melakukan Lumbar Puncture?

Sampel cecair yang mengelilingi selaput otak dan saraf perlu dikaji untuk mengenalpasti sama ada anak anda menghidapi radang selaput otak dan saraf (meningitis). Radang selaput otak dan saraf boleh disebabkan oleh pelbagai jangkitan bakteria dan virus. Meningitis adalah suatu keadaan yang serius, tetapi, jika dikesan dan diubati awal, anak anda boleh sembuh tanpa sebarang komplikasi. Namun, jika penyakit ini telah lanjut, boleh menyebabkan masalah saraf termasuk pekak, lumpuh, kerencatan akal serta kematian.

 

Bagaimana doktor melakukan Lumbar Puncture?

Anak anda perlu puasa beberapa jam sebelum prosedur ini dijalankan. Ini untuk mengelakkan anak anda muntah dan tersedak ketika prosedur dijalankan. Doktor akan menyapu sedikit krim pada kawasan yang akan dicucuk. Krim ini akan menyebabkan kawasan tersebut kebas dan anak anda kurang merasa sakit. Anak anda juga akan diberikan sedikit ubat penenang dan ubat tahan sakit. Selepas itu anak anda akan diletakkan pada suatu posisi di mana bahagian belakangnya akan menghadap doktor yang akan melakukan prosedur.

Kawasan yang akan dicucuk akan dibersihkan dengan ubat antiseptik untuk memastikan kawasan tersebut bersih dan bebas daripada kuman. Selepas itu doktor akan menggunakan satu jarum yang halus untuk mencucuk bahagian belakang anak anda bagi mengambil sampel cecair yang mengelilingi saraf. Terdapat 2 jenis jarum yang boleh digunakani untuk prosedur ini. Satu adalah jarum yang sama seperti yang dipakai untuk mengambil darah atau memberikan ubat. Jarum ini dapat digunakan juga untuk mengambil sampel cecair saraf. Selain itu, terdapat juga jarum khas untuk tujuan prosedur ini. Sampel yang diambil akan dihantar ke makmal untuk dianalisa.

Adakah prosedur ini mengambil masa yang lama?

Prosedur ini adalah cepat dan mengambil masa kira-kira 20 hingga 30 minit sahaja.

 

Apakah yang perlu dilakukan selepas prosedur ini?

Anak anda mungkin akan tidur beberapa minit sehingga beberapa jam selepas prosedur ini akibat daripada efek ubat tahan sakit dan ubat penenang yang diberikan sebelum melakukan prosedur. Selepas anak anda bangun, anda boleh memberikan susu seperti biasa. Pastikan kawasan yang telah dicucuk sentiasa bersih.

 

Berapa lama perlu ditunggu untuk mendapatkan keputusan analisa sampel?

Terdapat pelbagai sampel yang diambil semasa melalukan prosedur ini. Ada keputusan sampel yang boleh diperolehi dalam masa beberapa jam dan ada beberapa sampel yang akan mengambil masa beberapa hari untuk mendapatkan keputusan. Doktor akan menggunakan keputusan awal untuk merawat anak anda dahulu dan kemudian apabila semua keputusan sampel telah diperolehi, doktor boleh membuat keputusan diagnosis anak anda.

 

Kenapa Lumbar Puncture tidak menyebabkan lumpuh?

Prosedur ini dilakukan pada kawasan di antara L3 ke L4. Di kawasan ini tidak terdapat saraf tunjung kerana saraf tunjang kita berakhir pada kawasan di antara L1-L2. Maka, saraf tunjang tidak akan tercedera semasa melakukan prosedur ini.

Namun, jika Lumbar Puncture tidak dilakukan, doktor mungkin tidak dapat membuat diagnosis yang tepat dan tidak dapat mengenalpasti kuman yang menyebabkan anak anda sakit. Ini akan menyebabkan rawatan yang tepat tidak dapat diberikan dan anak anda mungkin lumpuh akibat komplikasi penyakit yang dihidapi.

 

Adakah prosedur ini sangat menyakitkan?

Anak anda mungkin merasa sedikit tekanan pada kawasan yang dicucuk tetapi tidak akan merasa kesakitan yang teramat. Perlu diingat bahawa Lumbar Puncture tidak sama dengan prosedur mengambil sampel sumsum tulang. Dalam prosedur mengambil sampel sumsum tulang, jarum yang besar perlu digunakan untuk menebuk tulang untuk mengambil sampel, manakala dalam prosedur Lumbar Puncture, hanya jarum yang halus digunakan dan tidak perlu melalui tulang.

 

Apakah kesan samping Lumbar Puncture?

  1. Anak anda mungkin merasa sedikit pening selepas prosedur. Namun, kesan ini hanya sementara dan boleh dikurangkan dengan berbaring kira-kira satu jam selepas melakukan prosedur.
  2. Kawasan yang dicucuk mungkin terasa kurang selesa atau lebam . Kesan ini hanya sementara dan akan membaik dalam masa beberapa hari.
  3. Kawasan yang dicucuk mungkin akan berdarah sedikit. Pendarahan ini akan berhenti dengan memberikan sedikit tekanan pada kawasan yang berdarah jika anak anda tidak mempunyai masalah pembekuan darah.

Apakah kesan samping ubat penenang dan ubat tahan sakit yang diberikan sebelum melakukan prosedur?

Ubat penenang dan ubat tahan sakit boleh menyebabkan rasa mual dan muntah. Kadang-kadang, ubat-ubatan ini boleh menjejaskan pernafasan. Namun, jika ubat-ubatan ini diberikan pada dos yang berpatutan, kesan samping ini jarang berlaku. Selain itu, doktor akan memantau pernafasan, denyut nadi dan tahap oksigen dalam badan semasa dan selepas ubat-ubatan ini diberikan. Jika terdapat gangguan pernafasan, ubat penawar (antidote) boleh diberikan untuk menghentikan kesan ubat penenang dan ubat tahan sakit.

Apakah yang perlu diberitahu kepada doktor sebelum melakukan Lumbar Puncture?

1. Sila beritahu doktor jika anak anda sedang mengambil sebarang ubat-ubatan sama ada ubat preskripsi daripada doktor atau ubat-ubatan tradisional.

2. Sila beritahu doktor jika anak anda pernah mengalami sebarang alahan kepada ubat-ubatan. 3. Sila beritahu doktor jika anak anda pernah mengalami masalah pendarahan.

Lumbar Puncture adalah suatu prosedur yang selamat dan penting untuk dilakukan agar diagnosis dan rawatan yang tepat dapat dibuat.

 

Artikel ditulis oleh

Dr La Reina Sangaran

Pakar Kanak-kanak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box