Pelbagai Wajah Penyalahgunaan Alkohol – Dr Sumeet Kaur

En. R seorang pesara guru berusia 65 tahun. Isterinya meninggal dunia tahun lalu. Dia mula minum segelas wain setiap malam untuk membantunya lena dan bertenang sebelum tidur. Lama-kelamaan, En. R menambahkan pengambilan wain, antara lain kerana ‘kebosanan’ dan kini biasa meminum 3 gelas wain setiap malam. Dia tinggal seorang diri dan selalunya melawat anak-anak pada tengah hari. Anak-anak beliau tidak mengetahui tabiat beliau ini.

M seorang pegawai pelaburan bank berusia 30 tahun yang Berjaya. Dia kerap melayan pelanggannya di bar dan kelab yang ranggi, dan biasanya berbelanja ribuan ringgit untuk minuman keras. M keluar berfoya-foya dengan rakan-rakan setiap hujung minggu dan minum dengan banyak, biasanya separuh botol wiski mahal dan beberapa pint bir. Kadangkala, dia mengalami pitam dan tak berupaya untuk mengingat perkara-perkara malam sebelumnya. Dia terkenal dalam kalangan rakan-rakan sebagai pekerja yang gigih dan mampu berparti dengan lebih hebat lagi. Hubungan beliau sebelum ini gagal kerana pasangannya tidak setuju dengan perangai beliau berparti dan minum setiap minggu.

 

Kedua-dua individu di atas tampak tak berkaitan, tetapi ada 1 perkara yang menghubungkan mereka. Kedua-duanya menunjukkan jenis-jenis penyalahgunaan alkohol. Contoh di atas menyebutkan salah guna alkohol dalam kalangan warga tua dan minum langgah. Gangguan penggunaan alkohol tetap kekal sebagai isu kesihatan mental yang paling prevalen di seluruh dunia, tetapi malangnya, hanya 20% penderitanya mendapat rawatan.

S: Apakah ‘minum langgah’ dan kenapa ia suatu masalah?

J: Minum langgah ditakrifkan sebagai minum lebih 5 kali dalam sekali peristiwa, dalam tempoh 2 jam, ataupun “merancang untuk minum lebih daripada biasa dan untuk mabuk”. Ia sedang menjadi masalah kesihatan awam yang serius dan mempunyai pola salah guna yang biasa berlaku. Berdasarkan metabolisme alkohol, meminum 6 unit arak dalam sejam jauh lebih berpotensi bahaya berbanding 6 unit dalam 6 jam. Cabang-cabang akibat buruk minum langgah sedang meningkat naik dalam erti kata risiko penyakit kelamin, kemalangan, tingkah laku liar, kerosakan harta dan sebagainya.

 

 

S: Bagaimana saya menentukan sama ada saya atau ahli keluarga terlibat dalam gangguan penggunaan alkohol?

J: Ada banyak alat saringan yang terdapat dalam talian. Salah satu yang terbukti berkesan ialah AUDIT (Alcohol Use Disorders Identification test), iaitu soal jawab yang mudah dan cepat,  yang mengandungi 10 item. Markah 8 dan ke atas menunjukkan kebarangkalian terdapatnya gangguan. Pautan ke soal-jawab ialah seperti yang tertera

 

https://www.drugabuse.gov/sites/default/files/files/AUDIT.pdf

 

Antara soalan mudah untuk ditanya termasuklah:

Adakah saya meminum alkohol dalam amaun yang besar atau dalam tempoh yang lebih lama daripada yang sepatutnya?

Adakah terdapat nafsu yang tekal atau kegagalan dalam usaha-usaha mengurangkan atau mengawal pengambilan alkohol saya?

Adakah saya kerap mengalami ketagihan atau, kehendak yang kuat untuk minum alkohol?

Adakah tabiat minum alkohol yang berulang-ulang ini menyebabkan kegagalan menunaikan kewajiban lain (pejabat/rumah)?

 

S: Bagaimana kita merawat ‘alkoholisme’?

 

J: Cara pengurusan perlulah menurut keperluan individu dan bidang-bidang kelemahan mereka yang tersendiri. Ia suatu rawatan multi-disiplin dan kita pertama sekali perlu memastikan tiada komplikasi kesihatan daripada gangguan penggunaan alkohol.

Salah satu strategi rawatan yang biasa diamalkan ialah ‘Temuduga Motivasi’. Ini satu terapi ‘non-judgemental’ yang mana klien membantu kepulihan mereka sendiri. Klien diberikan latihan untuk menentukan sama ada mereka ‘bermasalah’ atau tidak. Klien diberikan autonomi untuk memutuskan adakah mereka sedia untuk mengubah pola peminuman mereka.

 

Terdapat juga opsyen ubat yang mampu mengurangkan ketagihan jika dirasakan perlu.

Dr Sumeet Kaur (MBBS, M.Psych. Med. (UM)) ialah seorang Pakar Psikiatri Klinikal dan pensyarah Perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Hospital Ampang. Artikel ini diterjemahkan daripada artikel https://www.mmgazette.com/the-many-faces-of-alcohol-misuse-dr-sumeet-kaur/ oleh Azizul Ismie Mohd Puad.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box