Waktu Terbaik Pengambilan Ubat-ubatan: Sebelum, Semasa atau Selepas Makan? – Arif M.Sopian (Pegawai Farmasi)

Semasa mengambil ubat di kaunter farmasi, pernahkah anda terfikir mengapakah ahli farmasi memberi arahan berkenaan waktu pengambilan ubat-ubatan berdasarkan waktu makan anda? Adakah anda patuh kepada arahan tersebut atau pun langsung tidak mengambil peduli? Walaupun perkara ini kedengaran remeh, terdapat beberapa sebab ahli farmasi memberi penekanan terhadap kepentingan waktu pengambilan ubat-ubatan yang betul.

Kehadiran makanan di dalam perut mampu mempengaruhi kesan ubat-ubatan ke atas tubuh manusia. Selepas ditelan, ubat akan melalui bahagian perut dan seterusnya akan diserap ke dalam tubuh. Setiap ubat menunjukkan tidak balas berbeza terhadap kehadiran makanan. Bagi mendapatkan manfaat kesan ubat dengan sepenuhnya, setiap individu harus cakna waktu pengambilan ubat yang betul mengikut waktu dan cara makan mereka.

Interaksi Makanan dengan Ubat-Ubatan.

Kesan ubat-ubatan di dalam tubuh manusia boleh dipengaruhi oleh pengambilan makanan tertentu. Oleh itu, pesakit mestilah berhati-hati terhadap pemilihan makanan terutamanya apabila ubat-ubatan tersebut perlu diambil untuk tempoh yang panjang. Antara contoh makanan yang mempunyai interaksi dengan ubat-ubatan termasuklah:

  • Kalsium: Produk tenusu atau produk tinggi kalsium mampu mengurangkan penyerapan dan seterusnya menurunkan keberkesanan antibiotik tertentu seperti doxycycline, levofloxacin dan ciprofloxacin.
  • Vitamin K: Sayur-sayuran hijau tinggi vitamin K seperti bayam, sawi hijau, brokoli dan sebagainya mampu mempengaruhi kesan pencairan darah oleh ubat warfarin.
  • Limau gedang: Buah atau jus limau gedang mampu mengurangkan keupayaan tubuh badan untuk menguraikan ubat-ubatan tertentu seterusnya meningkatkan risiko kesan sampingan akibat kandungan ubat yang tinggi dalam tubuh. Contoh ubat-ubatan yang mempunyai interaksi dengan limau gedang adalah amiodarone, simvastatin dan verapamil.

Fahami Definisi “Perut Kosong” dengan Tepat.

Dalam istilah perubatan, “perut kosong” lazimnya bermaksud tempoh selewat-lewatnya 1 jam sebelum makan atau seawal-awalnya 2 jam selepas makan. Maka, ubat yang perlu diambil semasa perut kosong hendaklah diambil mengikut jendela waktu tersebut. Sesetengah ubat-ubatan perlu diambil semasa perut kosong kerana kehadiran makanan akan merencatkan penyerapan ubat-ubatan di dalam perut dan usus, seterusnya menjadikan ubat tersebut kurang berkesan. Antara contoh ubat-ubatan yang perlu dimakan semasa perut kosong termasuklah:

  • Ubat gantian tiroid (contoh: Levothyroxine)
  • Ubat merawat tulang rapuh (contoh: Alendronate)

Ambil Selepas Makan: Cukup Sekadar Alas Perut.

Sekiranya diambil semasa perut kosong, sesetengah ubat-ubatan akan penyebabkan iritasi, ulser atau gangguan kepada perut. Pesakit juga kadang kala akan mengalami loya, muntah atau cirit birit. Kesan sampingan ini dapat dielakkan sekiranya ubat tersebut diambil bersama makanan atau pun selepas makan. Makanan yang diambil pula tidak perlu dalam kuantiti yang besar dan cukup sekadar sebagai pengalas perut seperti biskut, sandwic atau segelas susu. Antara contoh ubat-ubatan yang perlu dimakan bersama makanan atau selepas termasuklah:

  • Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) (contoh: acetylsalicylic acid, ibuprofen)
  • Ubat steroid (contoh: prednisolone, dexamethasone)
  • Ubat kencing manis jenis biguanide (contoh: metformin)

Manfaatkan Ubat Anda Sebaiknya.

Sebagai pesakit, anda memainkan peranan penting bagi mendapatkan manfaat ubat yang sebaiknya. Baca dan patuh arahan ubat pada label bagi memastikan cara pengambilan yang betul. Sekiranya tiada arahan pengambilan berdasarkan waktu pemakanan ditulis pada label, pastikan anda bertanya kepada ahli farmasi semasa mendapatkan ubat di kaunter pendispensan. Elakkan juga pengambilan makanan yang mempunyai interaksi dengan ubat-ubatan anda bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan ubat terjamin.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menyediakan perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan untuk memudahkan akses kepada maklumat. Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan anda boleh dibuat melalui talian bebas tol tersebut dan pegawai farmasi anda sedia untuk menjawab.

 

 

Arif M. Sopian seorang pegawai farmasi yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rujukan:

  • Why Must Some Medicines Be Taken with or after Food? [Internet]. The National Health Service. 2018 [cited 2020 Feb 17]. Available from: https://www.nhs.uk/common-health-questions/medicines/why-must-some-medicines-be-taken-with-or-after-food/
  • Why Must Some Medicines Be Taken on An Empty Stomach? [Internet]. The National Health Service. 2018 [cited 2020 Feb 17]. Available from: https://www.nhs.uk/common-health-questions/medicines/why-must-some-medicines-be-taken-on-an-empty-stomach/
  • Preston C, Jones S, Sandhu H. How Fruit Juice Interacts with Common Medicines. [Internet]. The Pharmaceutical Journal; 2014 [cited 2020 Feb 17]. Available from: http://www.pharmaceutical-journal.com/learning/cpd-article/how-fruit-juice-interacts-with-common-medicines/20066647.cpdarticle
  • Bushra R, Aslam N, Khan AY. Food-Drug Interactions. Oman Med J [Internet]. 2011;26(2):77–83. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/22043389
  • Trimble A. How Food Interacts with Your Medications [Internet]. Safety Medication. [cited 2020 Feb 17]. Available from: http://www.safemedication.com/safemed/PharmacistsJournal/Food-Drug-Interactions

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box