Oktoberfest dan Gelas-Gelas yang Seterusnya – Dr Zul Azlin Razali & Dr Balqis Muhamad Kasim

Tetap relevan

Apakah kita sudah terlambat? Mahu bincang tentang OktoberFest sedangkan November sudah menjengah? Sang peminum arak akan menikmati gelas-gelas dan botol-botolnya tanpa mengikut apa-apa perayaan. Jadinya, Oktober atau tidak, mabuk atau tidak, artikel ini relevan untuk sekalian umat Malaysia merentas masa, agama dan keberpihakan ideologi.

Ahli sains dan perubatan terdidik untuk melihat sesuatu perkara dengan kacamata objektif yang bersusun-susun tanpa dilumuri sentimen dan emosi. Populariti isu yang bermusim tidak sepatutnya menjadi panduan masyarakat untuk cakna jika isu itu cukup genting seperti isu kesihatan. Malang sekali, isu penganjuran Oktoberfest di Malaysia mencipta polemik di pentas politik dan di rehal agama setiap kali bulan 10 menjelang.

Fokus pada isu kesihatan

Artikel ini sama sekali tidak berpihak tetapi cuba memutarkan kemudi jauh menghala ke objektiviti sains. Kita akan bercakap isu kesihatan, baik fizikal atau mental, yang berasaskan sains. Pembuktian yang logikal, rasional dan mengikut metodologi yang masuk akal.

Yang pertama: Tahap selamat minuman alkohol yang semakin menurun

Dapatan sains yang terkini cukup ampuh. Yang lebih menarik dapatan itu datangnya dari dunia yang mesra minuman keras itu sendiri, dunia barat.

United Kingdom dan juga diikuti beberapa negara yang lain telah menurunkan tahap selamat tabiat minum arak. Kalau dulunya direkomendasikan tidak lebih 21 unit seminggu tetapi sejak tahun 2016, UK Chief Medical Officer (seumpama Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan di Malaysia) menetapkan manusia tidak boleh minum lebih dari 14 unit seminggu jika tidak mahu berisiko mendapat pelbagai penyakit.

Unit alkohol lebih kurang begini tuan-tuan dan puan-puan: 1 unit bersamaan dengan setengah pin (lebih kurang 250 mL) bir yang biasa terjual (i.e yang boleh didapati di peti sejuk kedai-kedai runcit, 7-Eleven, KK Mart dan sebagainya) atau 1 unit bersamaan dengan setengah gelas (85 mL) wain yang lazim.

Yang kedua: Tiada sukatan yang selamat

Ini adalah dapatan kajian terbaru yang diterbitkan di jurnal berwasit, The LancetSeptember baru-baru ini. Dr Max Griswold, selaku kepala kumpulan pengkaji seantero alam yang melibatkan 190 negara ini memberi kata dua yang cukup menyentak: hakikatnya, tidak ada jumlah arak yang selamat. Ulang: there is no safe level for alcoholic drink.

Selama ini kita disumbat dengan kepercayaan bahawa ada sukatan arak tertentu yang memberi perlindungan kesihatan seperti penyakit jantung. Hasil kajian ini, dengan yakinnya, menghancurkan pendapat ini, bahawa apa jua penggunaan arak tetap ada risiko kesihatan.

Yang ketiga: Minum arak nescaya kau akan nyanyuk

Juga diambil dari jurnal The Lancet, Schwarzinger dan rakan-rakan telah menyajikan data yang begitu segak dan kukuh membuktikan amalan minum arak adalah faktor bolehubah paling utama yang menentukan seseorang itu akan ditimpa penyakit nyanyuk atau dementia. Penyakit dementia yang dimaksudkan di sini adalah segala macam jenis dari yang paling lazim, Alzheimer type of Dementia hinggalah yang langka seperti, Dementia of Lewy Body.

Yang keempat: Umur pendek dengan mimum arak

Budaya minum arak yang konsisten akan memendekkan jangka hayat, kata ahli sains. Angela Wood dan rakan sejawat telah meneliti 83 kajian prospektif yang melibatkan 599 912 peminum (ramai!) di 19 buah negara berpendapat tinggi (negara-negara yang kita cukup terdesak untuk mencontohi kemajuannya). Angela menyimpulkan, dengan rumus statistik canggih, tradisi minum arak 10-15 gelas seminggu akan memendekkan umur seseorang itu sebanyak satu atau dua tahun. Jika anda minum arak secara konsisten sebanyak lebih 18 gelas seminggu, maka sekurang-kurangnya empat tahun hidup anda sirna begitu sahaja.

Yang kelima: Minum arak menyebabkan jantung berdetak tidak normal

Ini barangkali menjawab puak-puak yang masih tegar juga mahu meniru budaya Bavaria ini, kerana kajian ini dijalankan di OktoberFest sendiri di German pada 2015.

Beribu peserta temasya bir Bavaria ini direkrut secara sukarela dalam kajian ini. Berapa banyak mereka minum direkodkan untuk hari tersebut dan kemudian rentak dan detak jantung mereka diukur menggunakan aplikasi pintar (digital electrocardiogram).

Jumlah signifikan dari sampel kajian ini menunjukkan kehadiran rentak jantung yang tidak normal sepanjang pesta OktoberFest ini.

Kesimpulan

Ya, Oktober sudah berlalu. Artikel ini bukan mahu menunggang isu tetapi memberi pencerahan yang sebenar-benarnya tanpa memikul bagasi moraliti atau sentimen mana-mana agama. Dalam beberapa perkara tertentu, sains dan rasional perlu diangkat untuk menyelesaikan kebejatan yang berlaku lebih-lebih lagi dalam lingkungan yang pelbagai anutan dan bangsanya.

Semoga ianya diulangtular selagi Oktober depan datang menyapa kita lagi. Namun kalau kita ini anggota masyarakat yang berfikir atas dasar rasional, inti pembicaraan sebegini sentiasa relevan. Kita pasti ada rakan dan kenalan (atau pesakit) yang menyantuni arak. Suguhkan mereka dengan bukti-bukti kesihatan ini. Tidak perlu menunggu Oktober.

 Kita konon mahu mencontohi negara Barat yang maju. Alangkah baiknya, jika mencontohi mereka itu dengan berbicara sesuatu isu dengan tenang di atas paksi pembuktian kukuh. Bukannya sibuk mencontohi temasya dan parti-parti gembira yang hanya glamourdi kulit zahirnya tetapi rakyat mereka sendiri rata-rata sudah menolak.

Rujukan:

  1. Griswold, M. G., Fullman, N., Hawley, C., Arian, N., Zimsen, S. R., Tymeson, H. D., … & Abate, K. H. (2018). Alcohol use and burden for 195 countries and territories, 1990–2016: a systematic analysis for the Global Burden of Disease Study 2016. The Lancet392(10152), 1015-1035.
  1. Schwarzinger, M., Pollock, B. G., Hasan, O. S., Dufouil, C., Rehm, J., Baillot, S., … & Luchini, S. (2018). Contribution of alcohol use disorders to the burden of dementia in France 2008–13: a nationwide retrospective cohort study. The Lancet Public Health3(3), e124-e132.
  1. Wood, A. M., Kaptoge, S., Butterworth, A. S., Willeit, P., Warnakula, S., Bolton, T., … & Bell, S. (2018). Risk thresholds for alcohol consumption: combined analysis of individual-participant data for 599 912 current drinkers in 83 prospective studies. The Lancet391(10129), 1513-1523.
  1. Brunner, S., Herbel, R., Drobesch, C., Peters, A., Massberg, S., Kääb, S., & Sinner, M. F. (2017). Alcohol consumption, sinus tachycardia, and cardiac arrhythmias at the Munich Octoberfest: results from the Munich Beer Related Electrocardiogram Workup Study (MunichBREW). European heart journal38(27), 2100-2106.

Dr Zul Azlin Razali dan Dr Balqis Muhamad Kasim adalah ahli Green Crescent Malaysia. Persatuan bukan kerajaan ini cakna isu ketagihan dan terlibat dalam banyak aktiviti kemasyarakatan mencegah ketagihan. https://web.facebook.com/mygreencrescent/.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box