Apakah Itu Ketagihan Dadah? – Dr Amer Siddiq

Prakata

Rencana ini adalah pengenalan asas kepada ketagihan dadah. Percubaan, salah guna, dan ketagihan terhadap dadah tidak sama dan tidak seharusnya dilihat dan diambil tindakan dengan cara yang sama.

Pengenalan

Istilah ‘ketagihan dadah’ melibatkan dua isu atau dua perkara yang tidak semestinya berkait. Pertamanya adalah dadah yang ditakrifkan sebagai agen kimia yang memberi kesan kepada fungsi biologikal pada manusia atau haiwan. Terdapat sejumlah agen kimia yang boleh dipertimbangkan sebagai sah atau tidak sah. Ketagihan pula ialah keadaan yang melibatkan beberapa ciri seperti kehendak yang kuat untuk mengambil dadah tersebut, kesukaran mengawal penggunaannya dan masalah berkaitan kesan daripada pengambilan dan penggunaan dadah tersebut. Mereka yang ketagihan dadah mengikut takrif mengalami penyakit berunsur psikologi dari segi dorongan dan fizikal dari segi kesan kepada kesihatan badan. Pengambilan dadah tanpa ciri-ciri ini tidak menepati definisi ketagihan dadah, sebaliknya dikenali sebagai percubaan dadah. Percubaan boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah yang boleh mengakibatkan ketagihan dadah.

 

Bagaimanakah seseorang itu ketagihan dadah?

Dadah yang disalahgunakan biasanya membawa kepada rasa euforia atau keterujaan, dan seringkali dikaitkan kepada perasaan atau sensasi positif dan memberi pengguna perasaan tenaga yang bertambah. Dadah yang memberi kesan sebaliknya seperti kemurungan dan kelesuan berkemungkinan rendah disalahgunakan.

Dadah yang sering diambil dan disalahgunakan biasanya merangsang pengeluaran dopamin, satu neurotransmiter (bahan kimia dalam otak) yang dipercayai membuatkan kita “rasa bagus”. Dopamin bertindak di sistem limbik otak yang mengandungi pusat nikmat yang membuatkan kita berasa gembira. Sistem limbik merupakan bahagian otak yang lebih primitif dan berfungsi untuk memastikan kemandirian atau bahagian “haiwan” dalam diri kita semua.

Manusia menghasilkan dopamin tanpa dadah melalui aktiviti-aktiviti yang membawa nikmat seperti makan, riadah, dan juga seks. Hasilnya, kita sering cuba untuk mengulang aktiviti-aktiviti ini untuk menghasilkan lebih banyak dopamin. Dadah yang disalahgunakan “menggodam” sistem ini dengan menghasilkan dopamin secara ‘eksogenus’ atau luaran, misalnya penghasilan dopamin dengan pengambilan atau penggunaan dadah tersebut. Dalam sesetengah kes, penyalahgunaan awal boleh menjadi ketagihan. Dadah yang disalahgunakan biasanya diingini dengan kuat sehingga aktiviti normal seharian terjejas. Kesannya, lebih banyak masa dihabiskan dalam mencuba mendapatkan dadah tersebut. Apabila otak menjadi biasa kepada kadar pengambilan dadah, lebih banyak dadah diperlukan untuk memastikan takat nikmat yang sama kepada pengambilan awal. Kesudahannya, masa berlebihan yang digunakan untuk mencari dadah membawa kepada keruntuhan hubungan sosial seperti keluarga dan rakan-rakan dan menyebabkan kemudaratan kepada badan seperti diet yang kurang sihat atau penggunaan dadah berisiko seperti suntikan. Ketika dalam pengaruh dadah, risiko-risiko lain boleh berlaku seperti kecederaan, hubungan seks tanpa perlindungan, dan kemalangan maut.

 

Mengapakah orang ketagihan?

Sesetengah individu disangka mempunyai risiko lebih tinggi untuk ketagihan atas faktor keturunan. Tetapi, ini hanya menjelaskan lebih kurang 50% kes-kes ketagihan. Biasanya individu yang mempunyai risiko disebabkan keturunan mempunyai sejarah keluarga positif ketagihan. Pengenalan gen ketagihan membolehkan penyelidik memahami perkara ini. Pada masa kini, ianya difikir bahawa ketagihan merupakan penyakit kompleks genetik yang melibatkan kedua-dua faktor genetik dan persekitaran. Perlu ditekankan bahawa persekitaran dimana penggunaan dadah berleluasa meningkatkan risiko penggunaan dan seterusnya ketagihan dadah. Contoh klasik bagi situasi ini adalah ketagihan nikotin, di mana perokok biasanya melaporkan kes ibu bapa atau rakan terdekat yang merokok. Penggunaan alkohol turut merupakan salah satu contoh. Penggunaan sesetengah dadah juga boleh mengakibatkan ketagihan disebabkan perubahan otak di peringkat molekular. Perkara ini disangka berlaku pada ketagihan jenis amfetamina yang memberi kesan peningkatan dopamin daripada sel penghasilan dopamin tetapi juga membawa kematian kepada sel-sel tersebut. Kesannya, penggunaan tetap dadah tersebut diperlukan untuk membolehkan pengguna mengalami mood yang hampir sama kepada mood ‘normal’.

 

Apa akan berlaku seterusnya?

Kesannya, ketagihan akan membawa kepada tingkah laku kompulsif. Otak merupakan struktur dinamik yang boleh membiasakan kepada kadar dopamin yang tinggi. Oleh itu, secara tidak sengaja ia tersedia untuk lebih banyak dopamin yang membawa kepada konsep “otak lapar”. Sistem limbik juga terletak berdekatan pusat memori. Disebabkan penggunaan dadah ialah untuk pengalaman positif atau untuk meredakan pengalaman negatif, penggunaan dadah sering dikaitkan kepada pengalaman tersebut yang menyebabkan situasi-situasi tertentu, pengalaman, atau objek bertindak sebagai pencetus penggunaan dadah berterusan. Hal ini juga menjadikannya lebih sukar untuk berhenti. Mereka yang berjaya menghentikan penggunaan dadah sering melaporkan situasi kronik berbalik kepada ketagihan.

Penghentian juga menjadi lebih sukar kerana gejala sarak. Kedua-dua sarak fizikal dan psikologikal dilaporkan dan berbeza bergantung kepada kelas dadah yang digunakan. Di mana gejala sarak lebih pendek, misalnya dalam beberapa tahun bagi sesetengah kes, sarak psikologikal yang juga dikenali sebagai kemahuan, boleh bertahan selama bertahun-tahun. Kemahuan ialah keinginan tinggi yang berlaku secara tiba-tiba pada bila-bila masa.

Sebagai penutup, pengajaran yang boleh diambil ialah mencegah lebih baik dari mengubati. Percubaan boleh membawa kepada penyalahgunaan yang mungkin melibatkan risiko ketagihan. Sekiranya ada merasakan anda mengalami ketagihan dadah, dapatkan pertolongan. Lebih awal anda mendapatkan bantuan, lebih baik untuk keadaan anda.

 

Kesan Penggunaan Amfetamina

Kesan Jangka Pendek Kesan Jangka Panjang
Perasaan euforia dan keterujaan Kekurangan zat makanan dan kehilangan berat badan yang cepat
Peningkatan kekuatan dan keyakinan diri Masalah tidur kronik
Perasaan berkuasa dan tinggi diri Keretakan gigi dan masalah pergigian
Perlakuan berulang dan kuat bercakap Tekanan darah tinggi
Perubahan mendadak pada pemikiran dan percakapan Kadar denyutan jantung yang pantas dan tidak sekata
Gugup, resah dan panik Kemurungan, keresahan, dan tertekan
Peningkatan libido Paranoia dan keganasan
Paranoia dan halusinasi Masalah psikologikal
Kerengsaan, hostiliti, dan keganasan Panik dan kekeliruan
Sakit kepala dan pening Ketegaran otot
Kewaspadaan melampau dan kesukaran untuk tidur Imuniti yang berkurangan
Pupil terdilat Peningkatan kerentanan terhadap penyakit
Debaran jantung dan sesak nafas Kerosakan otot jantung
Sakit dada Serangan dan kegagalan jantung
Selera makan berkurangan Kegagalan buah pinggang
Kekejangan perut (apabila ditelan) Kematian
Gatal-gatal, menggaru, dan mencungkil

 

Dr. Amer Siddiq Amer Nordin seorang pensyarah kanan di Jabatan Perubatan Psikologikal di sebuah universiti tempatan. Beliau juga seorang perunding psikiatri (Perubatan Ketagihan) dan seorang pakar hentian merokok dan jurulatih. Antara tugas tadbir beliau termasuklah sebagai penyelaras pasukan penyelidik Ketagihan Nikotin di Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS). Beliau juga sedang mengikuti kursus PhD di Pusat Ketagihan Kebangsaan, Universiti Otago, Christchurch di New Zealand. Rencana ini diterjemahkan dari rencana asal di https://www.mmgazette.com/drug-addiction-101-dr-amer-siddiq/ oleh Nur Nadhirah.

Rujukan:

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box