Epidemik, Endemik dan Pandemik – Dr Helmy Hazmi

Perkataan epidemik, endemik dan pandemik kelihatan seakan-akan sama, namun ketiga-tiga perkataan ini sebenarnya membawa maksud yang berlainan.

Ini terserlah apabila baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan menggunakan perkataan “endemik” dalam tajuk laporan berita sehingga menyebabkan sebahagian daripada masyarakat merasa khuatir dan panik apabila membaca tajuk berita tersebut.

 

Tajuk berita laporan akhbar tempatan yang menggunakan perkataan endemik

 

Suku kata “dem” yang terdapat pada ketiga tiga perkataan tersebut terbit daripada perkataan Yunani iaitu “demos” yang membawa maksud “orang” atau “daerah”. “Epi”, “en” dan “pan” pula memberi maksud “di kalangan”, “di dalam” dan “semua”. Penggabungan suku kata awalan ini memberi bayangan kepada maksud ketiga-tiga perkataan tersebut.

Perkataan endemik bermaksud kejadian sesuatu penyakit yang sentiasa wujud dalam sesuatu masyarakat atau tempat. Bilangan kes penyakit tersebut sentiasa ada dan pada kadar yang stabil. Dengan kata lain, kewujudan sesuatu penyakit tersebut sentiasa dijangka dan biasanya pada kadar yang tetap dan rendah.

Contoh penyakit yang sentiasa ada ataupun endemik di Malaysia adalah penyakit Tangan Mulut dan Kaki (HFMD) di negeri Sarawak. Denggi dikenali sebagai sesuatu penyakit yang endemik di Asia Tenggara. Di peringkat antarabangsa pula, penyakit polio adalah endemik di 3 buah negara di dunia iaitu Afghanistan, Nigeria dan Pakistan.

Penyakit yang dikenal pasti endemik tidak semestinya kekal endemik. Program kawalan penyakit seperti pemvaksinan, pendidikan masyarakat dan sebagainya bertujuan untuk mengurangkan seterusnya menghapuskan penyakit endemik tersebut.

Namun demikian usaha ini sudah tentu mencabar. Pelbagai faktor berterusan yang sukar dikawal menyumbang kepada sifat endemik sesuatu penyakit, contohnya, kewujudan habitat semula jadi yang subur untuk haiwan pembawa, sikap manusia itu sendiri, kekurangan alatan untuk mendiagnosis, kekangan ubatan dan sebagainya.

Contoh penyakit endemik yang berjaya dihapuskan adalah seperti malaria dan demam campak di Amerika Syarikat; dan polio di Malaysia.

Sekiranya bilangan kes sesuatu penyakit tersebut mendadak naik melebihi kadar yang biasa, ia dipanggil wabak atau epidemik. Biasanya, peningkatan kes sesuatu penyakit yang mendadak ini akan jelas kelihatan dalam satu-satu komuniti dan lingkungan masa yang tertentu melalui aktiviti pemantauan atau surveilans.

 

Perbezaan bilangan penyakit untuk endemik dan epidemik

 

Sebagai contoh, wabak kolera di kawasan A digelar wabak kerana berlakunya penularan kes kolera yang melibatkan beberapa orang penduduk yang mendiami kawasan A dalam minggu yang sama.

Bagi sesetengah penyakit, walaupun ia di klasifikasikan sebagai endemik di sesetengah negara, namun ia epidemik di negara yang lain. Sebagai contoh, penyakit polio yang telah dibasmi dari Malaysia sejak tahun 2000, sekiranya terdapat walaupun satu kes, akan dianggap sebagai kejadian wabak dan memerlukan langkah kawalan dan pencegahan yang segera.

Walaupun pada dasarnya definisi wabak merujuk kepada kadar peningkatan sesuatu penyakit yang mendadak dalam satu lingkungan komuniti dan masa, namun, sebagai langkah pencegahan dan tujuan kawalan awal, definisi wabak bagi sesetengah penyakit telah ditetapkan. Contohnya, dua kes denggi yang mempunyai perkaitan rapat didefinisikan

sebagai satu kejadian wabak. Bayangkan kesan dari kelambatan langkah kawalan dan pencegahan sekiranya kita menunggu sehingga 10 kes sebelum aktiviti kawalan penyakit dijalankan.

Contoh yang lain, wabak demam kepialu (Typhoid) akan diisytiharkan sekiranya terdapat dua kes yang mempunyai kaitan yang rapat dari segi tempat dan masa – berlaku di kawasan yang sama dan dalam lingkungan masa pengeraman (incubation period) penyakit tersebut. Tempoh pengeraman adalah tempoh masa dari jangkitan kuman sehingga pesakit menunjukkan tanda atau gejala.

Kejadian penyakit yang sama yang melibatkan satu kelompok manusia (cluster), walaupun bilangannya tidak melebihi kadar biasa kes daerah tersebut, turut dianggap sebagai satu kejadian wabak, apabila puncanya dipercayai datang dari sumber yang sama. Sebagai contoh, kejadian keradangan mata (acute conjunctivitis) di kalangan pelajar sebuah tadika ataupun wabak tuberkulosis di kalangan pekerja makmal di sebuah makmal hospital.

Pandemik pula merujuk kepada wabak yang merebak secara besar-besaran ke seantero dunia – merentasi wilayah dan melibatkan populasi yang besar. Selain kejadian wabak yang merentasi wilayah, pandemik mempunyai beberapa ciri-ciri umum yang menarik.

Salah satu ciri pandemik adalah ia melibatkan penyakit yang mempunyai kadar serangan yang tinggi menyebabkan bilangan kes meledak secara tiba-tiba dalam masa yang singkat. Biasanya, penyakit yang menyebabkan pandemik adalah penyakit baru (novel) di mana populasi manusia tidak mempunyai imuniti atau daya tahan melawan terhadap penyakit tersebut. Ciri ini memudahkan penyakit ini merebak dengan pantas dan boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi.

Penularan pandemik ini turut dibantu oleh faktor pergerakan manusia dan kewujudan persamaan faktor persekitaran. Sebagai contoh, nyamuk Aedes yang merupakan vektor untuk penyakit demam kuning (Yellow Fever) boleh dijumpai di negara Brazil dan Malaysia. Sekiranya tiada undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin demam kuning ini, Malaysia amat berisiko untuk mendapat wabak demam kuning dari negara Amerika Latin tersebut.

Gambaran kematian disebabkan oleh wabak penyakit hawar atau black plague di Eropah. (IMAGE: BLACK DEATH AT TOURNAI, 1349 (SEE ALSO 33793), LE MUISIT, GILLES (1272–1352) /BIBLIOTHÈQUE ROYALE DE BELGIQUE, BRUSSELS/BRIDGEMAN IMAGES. http://www.sciencemag.org/news/2016/04/how-europe-exported-black-death)

Dari sudut sejarah, kejadian Black Death atau Maut Hitam adalah contoh pandemik yang meragut jutaan nyawa di Asia dan Eropah di antara kurun ke-14 sehingga 17. Hampir dua pertiga penduduk dunia menemui ajal dijangkiti kuman penyakit hawar iaitu Yersinia pestis, yang dibawa oleh tikus.

 

Pandemik influenza pada 1918 – 1919 telah meragut lebih banyak nyawa dari Perang Dunia Pertama. Satu per lima dari populasi dunia telah dijangkiti virus influenza tersebut. Yang menghairankan, kebanyakan mereka yang mati terdiri dari mereka dalam lingkungan umur 20-40 tahun. Pada waktu itu, ada yang menganggap bahawa pandemik ini merupakan senjata biologi tentera Jerman. Kanak-kanak pula mengabadikan suasana waktu itu dalam bentuk lagu puisi kanak-kanak seperti berikut:

 

I had a little bird,

Its name was Enza.

I opened the window,

And in-flu-enza.

Saya ada seekor burung

Namanya Enza

Saya membuka tingkap

Dan masuklah (in-flu = in flew) Enza

 

Rajah menunjukkan perbezaan endemik, epidemik dan pandemik

 

Memahami maksud perkataan endemik, epidemik dan pandemik membolehkan masyarakat tidak berasa gundah apabila membaca perkataan-perkataan tersebut pada dada akhbar. Dengan pemahaman yang tepat, maka penyampaian maklumat dan komunikasi akan menjadi lebih jelas dan berkesan. Masyarakat akan memahami tindakan pencegahan dan kawalan pihak kesihatan sesuai dengan maksud perkataan tersebut.

Dr Helmy Hazmi ialah pakai perubatan masyarakat dengan pengkhususan dalam Epidemiologi dan Biostatistik. Sekarang beliau bertugas di tempat asalnya, Kuching, sebagai pensyarah perubatan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

  1. https://virus.stanford.edu/uda/
  2. https://academic.oup.com/jid/article/200/7/1018/903237
  3. http://www.who.int/csr/disease/swineflu/frequently_asked_questions/pandemic/en/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box