COVID-19: Maksud Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) – Dr Farizah Hairi & Dr Zaki Hilmi

Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia Ke-8, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan. Perintah ini berkuatkuasa dari 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020. Sebagai masyarakat Malaysia yang prihatin dan bertanggungjawab, kita perlu patuh kepada perintah kawalan pergerakan ini untuk kebaikan bersama.

Kenapa perlu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan?

Tujuannya ialah untuk membendung penularan wabak COVID-19 di Malaysia, dengan cara menghentikan rangkaian penyebaran wabak COVID-19.

Merujuk kepada statistik terkini yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, sehingga semalam, 21 Mac 2020, jam 8 malam, negara kita sudah mempunyai 8 kes kematian akibat COVID-19 ini. Menurut laporan pada pukul 5 petang pada hari yang sama, jumlah kes keseluruhan ialah 1183, kes aktif yang sedang dirawat ialah 1065 dan pesakit yang telah sembuh dan di discaj dari hospital pula ialah 114 orang. (*Jumlah ini sentiasa dikemaskini – sila rujuk Kementerian Kesihatan Malaysia untuk jumlah terkini)

Pertambahan kes COVID-19 secara mendadak ini amat membimbangkan dan mencemaskan rakyat Malaysia, khususnya para petugas kesihatan dan perubatan. Oleh sebab itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bersandarkan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Kita perlu memahami bahawa perintah ini terpakai di seluruh Malaysia, bukan hanya di beberapa tempat, daerah atau negeri tertentu sahaja. Perintah ini juga berkuatkuasa setiap masa tanpa tempoh waktu tertentu.

Apakah yang termaktub di dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini?

 

Menurut maklumat daripada Majlis Keselamatan Negara, arahan-arahan yang terdapat dalam Perintah Kawalan Pergerakan termasuklah 6 perkara, iaitu:

 

Larangan menyeluruh terhadap pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya;

Ini bermakna, sebarang majlis keraian, perkahwinan, kenduri atau sebarang majlis resepsi adalah tidak dibenarkan sama sekali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

 

Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara;

Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self-quarantine) selama 14 hari.

 

Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

Ini merupakan salah satu langkah bagi mengurangkan risiko pertambahan imported kes daripada negara luar oleh kerana pandemik COVID-19 telah melibatkatkan hampir kesemua negara.

  • Penutupan semua Taska, Sekolah Kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

 

  • Penutupan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swata serta Institut Latihan Kemahiran di seluruh negara;

Langkah ini bertujuan bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 antara pelajar-pelajar dan staf-staf institusi.

 

  • Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services).

Tetapi sekiranya barang keperluan makanan habis, kita masih dibenarkan untuk keluar membeli keperluan makanan tetapi perlu meminimumkan jumlah ahli keluarga yang keluar untuk membeli barang dan segera balik ke rumah apabila selesai serta tidak dibenarkan untuk melepak atau berkumpul di gerai atau warung.

Apakah yang dimaksudkan dengan perkhidmatan penting negara atau ‘essential services’ tersebut?

Perkhidmatan penting negara atau ‘essential services’ termasuklah:

  1. air
  2. elektrik
  3. tenaga
  4. telekomunikasi
  5. pos
  6. pengangkutan
  7. pengairan
  8. minyak
  9. gas
  10. bahan api
  11. pelincir
  12. penyiaran
  13. kewangan
  14. perbankan
  15. kesihatan
  16. farmasi
  17. bomba
  18. penjara
  19. pelabuhan
  20. lapangan terbang
  21. keselamatan
  22. pertahanan
  23. pembersihan
  24. peruncitan dan bekalan makanan.

 

Infografik ringkas mengenai ‘essential services’ ini boleh didapati di laman web rasmi Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya di pautan https://spm.um.edu.my/category/covid19/

COVID-19 merupakan sejenis virus yang sangat mudah untuk merebak. Tanpa mengenal usia, jantina, bangsa atau agama, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada wabak COVID-19. Oleh itu, janganlah kita lepa dan leka. Bantulah pasukan kesihatan dan negara dengan hanya berada di rumah masing-masing dan mematuhi arahan yang dikeluarkan, supaya pasukan kesihatan dapat membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan kesihatan.

 

“We stay at work for you, You stay at home for us”

 

 

Kami yakin kita semua adalah masyarakat Malaysia yang prihatin dan bertanggungjawab untuk sama-sama menjaga satu sama lain agar dapat kita sama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini.

Jagalah diri, keluarga dan masyarakat sekeliling kita. Mencegah lebih baik daripada mengubati!

 

Dr Farizah Hairi adalah Professor Madya dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Malaya.

Dr Muhammad Zaki Hilmi Zainal Abidin, adalah doktor perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, graduan Newcastle University.

Rujukan:

  1. Perdana Menteri Malaysia, Mac 17, 2020; Kenyataan Media Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) – Dikemaskini. Di akses pada 21 Mac 2020 di pautan https://www.pmo.gov.my/ms/2020/03/soalan-lazim-faqs-mengenai-perintah-kawalan-pergerakan-movement-control-order-2/
  2. Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia diakses pada 21 Mac 2020, di pautan www.moh.gov.my
  3. Laman web rasmi Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya di pautan https://spm.um.edu.my/category/covid19/

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box