Covid-19: Keperluan Membatalkan Majlis Keramaian & Perjumpaan – Dr Shaiful Ehsan

Virus Koronavirus Covid-19 merupakan suatu krisis dunia dan penularan kuman yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Terkini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan situasi itu sebagai pandemik susulan penularan virus Covid-19 yang amat membimbangkan. Pandemik merujuk kepada wabak yang menyerang masyarakat sedunia dalam skop yang lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau kawasan semata-mata. Ini berikutan penularan wabak Covid-19 yang pada mulanya di peringkat epidemik tetapi telah merebak secara meluas sehingga tidak dapat dikawal dan mampu mengancam nyawa lebih ramai orang.

Tambahan pula, ada beberapa negara seperti Denmark dan Sepanyol telah mengisytiharkan “lockdown” iaitu suatu keadaan di mana masyarakat perlu hanya berada di dalam rumah atau kawasan mereka melainkan jika perlu keluar untuk beberapa hal yang diizinkan. Terbaru di Malaysia, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Malaysia terkenal dengan pelbagai perayaan dan majlis keramaiannya termasuklah upacara perkahwinan yang unik dan pelbagai mengikut ada resam kaum. Menjelang musim cuti sekolah, sudah semestinyalah majlis keramaian dan perjumpaan ini sering kali diadakan. Namun ketika pandemik virus koronavirus covid 19 ini sedang menular, adakah majlis ini perlu diteruskan? Menurut Perintah Kawalan Pergerakan, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara perlulah dipatuhi termasuklah aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup. Penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuklah solat Jumaat hendaklah dipatuhi selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Secara umumnya faktor utama perlu diambil kira sebelum sesuatu upacara itu dapat diadakan dalam keadaan terdesak ini adalah bergantung kepada tujuan dan kepentingan upacara tersebut tanpa mengabaikan keselamatan umum. Jika upacara itu melibatkan kepentingan umum yang tidak boleh ditunda, maka perlulah ianya diteruskan tetapi dalam skala yang lebih kecil dan terkawal dengan langkah-langkah pencegahan yang munasabah. Sebagai contoh penyediaan dan pengebumian jenazah yang mana pelaksanaannya tidak dapat ditangguh. Majlis akad nikah yang semestinya sukar untuk ditunda oleh bakal pengantin, tetapi boleh dilaksanakan dalam komuniti yang lebih kecil melibatkan jurunikah dan saksi. Upacara majlis perkahwinannya pula perlulah ditunda kepada waktu yang lebih sesuai kelak. Perlu diingatkan, semakin dekat kedudukan seseorang dengan seseorang yang lain, risiko penyebaran kuman juga adalah lebih tinggi. Risiko ini juga akan meningkat di kawasan yang pengedaran udaranya adalah tidak baik dengan jumlah hadirin yang ramai.

Secara kesimpulannya, dalam keadaan yang mencabar ini, adalah amat penting bagi setiap individu mengamalkan langkah-langkah kebersihan dan pencegahan seperti membasuh tangan dengan lebih kerap dengan cara yang betul. Sekiranya mengalami gejala-gejala yang tidak sihat, segeralah mendapatkan rawatan dari pihak doktor dan mematuhi arahan pemantauan yang telah disarankan. Elakkan daripada mengunjungi kawasan-kawasan awam tanpa keperluan yang tertentu. Majlis-majlis keramaian juga sebaiknya ditunda buat sementara waktu. Sesungguhnya kawalan pergerakan ini bukanlah bermaksud “total lockdown” namun setiap individu harus berdisiplin dalam mematuhi saranan yang telah diberikan.

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan, seorang Pakar Perubatan Keluarga dan pensyarah perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Rujukan:

1) Centers of Disease Control and Prevention (CDC) Interim Guidance for Coronavirus Disease 2019.

2) World Health Organization – Key planning recommendations for Mass Gatherings in the context of the current COVID-19 outbreak

3) Perutusan Khas YAB Perdana Menteri Mengenai Covid-19

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box