Amalan Rujukan yang Baik – Dr Chua Li-Shun

docRungutan biasa yang didengar daripada pusat perubatan sekunder dan tertier ialah penurunan kualiti surat rujukan antara hospital dan antara disiplin (interdisciplinary). Walaupun yang menjadi mangsa ialah doktor-doktor muda, tidak adil jika tidak mengambil kira yang seni berkomunikasi sesama pengamal perubatan di semua tahap semakin merosot.

Banyak spekulasi timbul tentang mana puncanya masalah ini. Sekeping surat rujukan yang baik ataupun tidak, bermakna capaian yang luas kepada khidmat jagaan kesihatan, dan memadai untuk mendapatkan khidmat rundingan pakar. Ataupun menafikannya. Timbulnya surat-surat saman akibat kelalaian merawat menyebabkan para doktor bersikap berhati-hati, dan memilih untuk merujuk sendiri semua kes dan mengabaikan mesej yang cuba disampaikan oleh doktor yang merujuk. Ini menyebabkan surat rujukan tadi menjadi sia-sia dan doktor yang merujuk tadi tidak berusaha untuk memperbaiki cara beliau merujuk kes.

Walau bagaimanapun, rujukan yang baik dapat membantu dalam pengurusan pesakit kerana ia menyampaikan sebab-sebab munasabah kepada pendengar, lantas membantu kepada perancangan pengurusan yang berkesan. Komunikasi yang berkesan mustahak kepada amalan klinikal yang baik dan merupakan suatu kemahiran yang perlu diperhalusi oleh semua kakitangan perubatan.

Surat rujukan doktor yang baik bermula dengan tabiat baik yang dipupuk semasa belajar. Berikut ialah beberapa tips untuk pelajar perubatan dan doktor-doktor muda semasa membentangkan kes:

  1. Catatan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal, semakan siasatan yang berkaitan dan pemahaman masalah pesakit secara teliti ialah prasyarat untuk membuat surat rujukan.
  2. Ingatlah tujuan rujukan adalah untuk menyampaikan hujah kepada diagnosis dan perasionalan kepada langkah-langkah rawatan yang diambil.
  3. Pertimbangkan kerumitan kes, konteksnya dan siapa pendengarnya.
  4. Mulakan dengan sebaris pengenalan standard mengenai pesakit (nama, umur, pekerjaan, penyakit sampingan) dan satu ayat yang menyimpulkan rungutan pesakit – beserta tempoh masa rungutan!
  5. Bentangkan poin-poin yang berkaitan (yang positif dan negatif) dalam riwayat pesakit juga pemeriksaan fizikal dahulu, dan jangan tinggalkan petunjuk-petunjuk penting
  6. Tafsirkan keputusan siasatan sebelum membentangkannya – ini menunjukkan kemahiran klinikal anda dan membenarkan pendengar mendapat gambaran yang lebih jelas terhadap keadaan pesakit anda.
  7. Akhiri dengan rumusan masalah pesakit dan isu-isu yang berhajat kepada rujukan.

Prinsip yang sama juga terpakai semasa menulis surat rujukan. Surat yang jelas tidak seharusnya melebihi satu mukasurat. Beberapa garispanduan tambahan adalah seperti berikut:

  1. Gunakan alat tulis yang sesuai, sebagai contoh, kepala surat rasmi.
  2. Tulisan yang mudah dibaca.
  3. Perkenalkan diri dan sebab pesakit berada di bawah jagaan anda.
  4. Sertakan senarai alahan yang maklum dan ubatan yang sedang diambil.
  5. Nyatakan dengan khusus sebab-sebab merujuk.

Kesimpulannya, kunci kepada rujukan lisan atau bertulis ialah kefahaman anda tentang masalah pesakit dan sebab-sebab rujukan. Rujukan yang baik boleh membantu menyediakan rancangan rawatan yang sesuai dan berkesan, dan membawa kepada hasil rawatan yang lebih mujarab. Jangan takut melakukan kesilapan dan berusahalah belajar dari kesilapan tersebut. Latihan yang kerap menjanjikan kesempurnaan kerja.

Dr. Chua Li-Shun seorang pegawai perubatan yang bertugas di Selangor dan juga seorang editor untuk Malaysian Medical Gazette. Artikel ini diterjemahkan daripada https://www.mmgazette.com/good-referral-practices-dr-chua-li-shun/ oleh Azizul Ismie.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box