Aduh! Sembelit Lagi! – Mark Cheong

Sumber: cancer.dartmouth.edu

Sumber: cancer.dartmouth.edu

Pernahkah anda mengalami gejala-gejala seperti :

Perut kembung?

Perut sentiasa terasa kekeyangan?

Dan… anda belum lagi melaksanakan tanggungjawab (belum membuang air besar) selama beberapa hari.

Sebenarnya anda tidak perlu merasa rimas kerana mungkin anda adalah salah seorang daripada mereka yang pernah mengalami sembelit sekurang-kurangnya sekali dalam hidup ini. Sembelit atau constipation sebenarnya adalah satu keadaan di mana kekerapan seseorang membuang air besar berkurangan berbanding dengan kebiasaannya sebelum ini. Dalam masa yang sama, anda mungkin juga perlu meneran, mengalami kesakitan dan sukar melaksanakan ‘tanggungjawab’ kerana najis telah menjadi keras dan berketul-ketul. Pada hakikatnya, sembelit adalah salah satu masalah kesihatan yang biasa dan dialami oleh semua peringkat umur, tidak kira kanak-kanak atau dewasa. Namun demikian, bagi kumpulan warga emas pula masalah sembelit lebih kerap berlaku dan hal ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti perubahan dalam diet atau pemakanan (kurang zat serat), kurang minum air dan gaya hidup yang menjadi kurang aktif.

Secara umum, kebanyakan masalah sembelit adalah disebabkan oleh kekurangan zat serat dan juga kurang minum air dalam diet seseorang. Terdapat juga ubat yang boleh menyebabkan sembelit seperti sesetengah ubat tambah zat besi, ubat darah tinggi, dan aluminium antacid (ubat gastrik).

Walaupun simptom atau gejala sembelit seperti kesukaran membuang air besar, perut kembung dan kekenyangan dilihat seperti perkara biasa dan boleh diubati tetapi kita harus memberi perhatian jika perkara di atas berlaku bersama dengan gejala-gejala seperti berikut:

  • Tidak membuang air besar selama tujuh hari tanpa sebab yang tertentu
  • Terdapat lendir atau darah yang bercampur dengan najis (najis kelihatan hitam atau merah)
  • Sakit perut yang teramat ketika membuang air besar
  • Perubahan rutin pembuangan air besar kepada cirit-birit atau sembelit yang ketara  khususnya bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas
  • Mudah lesu, kurang selera makan dan penurunan berat badan yang mendadak

Tahukah anda? Sebenarnya bagi mencegah masalah sembelit yang membelenggu kehidupan seharian ini tidak susah. Beberapa perubahan kecil dalam gaya hidup seharian sudah memadai tanpa memerlukan rawatan lanjut. Langkah-langkah kecil yang boleh diambil adalah seperti memastikan anda mengambil sayur-sayuran atau buah-buahan dalam pemakanan harian (dalam bentuk asal atau jus segar), memastikan minum cukup air dan bersenam dapat mencegah sembelit dalam kebanyakan kes. Namun, jika masalah sembelit berlarutan selepas mengamalkan perkara di atas, anda boleh mendapatkan rawatan lanjut.

Terdapat empat klasifikasi ubat yang digunakan untuk masalah sembelit iaitu:

  • Bulk-forming laxatives (Julab pengurai) e.g. isphahula husk, methylcellulose, sterculia
  • Stimulant laxatives (Julab yang merangsang buang air besar) e.g. senna, glycerol, bisacodyl
  • Osmotic laxatives (Julab osmotik) e.g. lactulose, magnesium hydroxide
  • Stool softeners (Pelembut najis) e.g. docusate

Setiap kategori ubat tesebut dapat membantu masalah sembelit melalui mekanisme yang berlainan. Bagi Bulk-forming laxatives, ia bertindak seperti serat sayur-sayuran di mana ia menyerap air dan meningkatkan berat najis dan seterusnya merangsang otot di dalam usus untuk bergerak lebih pantas. Kesan sampingan ubat kategori ini adalah seperti perut kembung dan banyak membuang angin.

Osmotic laxatives pula bertindak dengan menyerap air dalam usus dan seterusnya memudahkan pergerakan dan pembuangan najis. Antara kesan sampingan kategori ubat ini adalah perut kembung dan sakit perut. Stimulant laxatives pula bertindak dengan meningkatkan aktiviti otot usus supaya najis sampai ke dubur dengan lebih cepat dan seterusnya merangsang kemahuan untuk membuang air besar. Stimulant laxatives adalah di antara ubat yang paling cepat memberikan kesan jika dibandingkan dengan kumpulan laxative yang lain (berkesan di antara 6-12 jam ). Kesan sampingan stimulant laxatives yang diketahui adalah sakit perut. Akhirnya, stool softeners bertindak untuk melembutkan najis dan memudahkan proses pembuangan air besar.

Kesimpulannya, sembelit adalah masalah kesihatan yang boleh dicegah melalui sedikit perubahan dalam gaya hidup dan amalan pemakanan yang sihat. Rawatan atau ubat juga mudah didapati di pasaran jika perubahan gaya hidup didapati tidak berkesan. Namun demikian, kita tidak harus lupa di sebalik gejala-gejala umum sembelit mungkin ada masalah kesihatan yang lebih serius seperti yang diterangkan di atas. Jangan merasa segan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor kesihatan sekiranya anda atau ahli keluarga ada sebarang keraguan.

Mark Cheong seorang ahli farmasi yang bertugas di Kuala Lumpur. Minat penyelidikan beliau adalah pada strategi perlaksanaan tindakan kesihatan awam. Baca lebih lanjut tentang beliau pada laman The Team. Artikel ini diterjemahkan oleh Dr Sharon ST Lim https://www.mmgazette.com/i-need-to-poop-but-i-cant-mr-mark-cheong/

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box