Ada apa pada saintis? – Dr Noraziah Nordin

Suasana pandemik yang melanda seluruh dunia kini telah membawa kepada satu anjakan ilmu kepada semua manusia di dunia berkaitan sains. Masyarakat dalam pelbagai kategori dan latar belakang masing-masing membuat pencarian dan pembacaan melibatkan kajian para saintis yang dikaitkan dengan virus, pencegahan, vaksin dan rawatan. Situasi ini membawa kepada satu pendedahan ilmu baru kepada masyarakat tentang peranan saintis yang mungkin kurang diketahui dan disedari. Secara umumnya, para saintis boleh ditemui di semua negara di dunia. Namun, perbezaan yang dapat dilihat adalah keberadaan mereka di kalangan masyarakat sama ada dikenali atau sebaliknya. Sama seperti kerjaya-kerjaya yang lain, pesekitaran para saintis juga adalah di dalam kelompok bidang mereka. Masyarakat mungkin beranggapan para saintis adalah kelompok individu yang duduk di dalam makmal sepanjang masa dan tidak bercampur gaul dengan orang-orang sekeliling. Persepsi ini mungkin di ambil berdasarkan cara kehidupan para saintis pada zaman dahulu. Hakikatnya, para saintis kini lebih menyerlah bukan sahaja dikalangan profesional bahkan dikalangan orang awam.

Setiap profesion atau kerjaya mempunyai hala tuju dan kepentingan di dalam masyarakat. Kerjaya saintis merupakan satu kerjaya yang profesional dan diperlukan dalam pelbagai sektor dan bidang, terutama sekali di universiti mahupun di pusat-pusat penyelidikan. Saintis berperanan menjalankan penyelidikan atau kajian dan mengumpulkan data untuk dianalisis bagi memahami sesuatu keadaan secara terperinci agar dapat diterjemahkan sebagai bentuk pengetahuan yang baru atau memperoleh penyelesaian bagi sesuatu permasalahan. Para saintis membuat hipotesis atau membentuk sesuatu teori, kemudian mengujinya melalui pelbagai cara sama ada di dalam atau di luar makmal untuk mengesahkan hipotesis yang dibuat. Kaedah kajian yang digunakan adalah berbentuk kaedah saintifik. Kaedah saintifik termasuk membuat pemerhatian, mengemukakan soalan yang berkaitan dengan pemerhatian, mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan pemerhatian, membuat hipotesis yang menerangkan andaian pemerhatian, menguji hipotesis melalui pendekatan sistematik yang dapat dibuat semula, menganalisis data yang diambil dari pengujian, seterusnya menerima atau menolak hipotesis asal yang telah dibuat.

Penyelidikan saintifik adalah salah satu kaedah yang dapat menghasilkan ketepatan dan membuktikan sesuatu kebenaran. Walaupun begitu, ia masih mempunyai limitasi dan tidak boleh diuji kepada sesuatu di luar daripada logik akal kerana kuasa terbesar iaitu Tuhan tidak dapat ditandingi. Kewujudan ilmu sains pada tahap yang lebih praktikal mampu memberi manfaat kepada komuniti dan masyarakat.  Kepentingan sains akan memperlihatkan peranan saintis sebagai pencari bukti dan penyelesai bagi permasalahan, seterusnya meningkatkan imej para saintis di mata masyarakat. Sesuatu penyelidikan yang dijalankan bukan dilakukan oleh seorang saintis tetapi kerap dijalankan secara berkumpulan. Walau bagaimanapun, ketua saintis atau penyelidik yang mengetuai penyelidikan yang kerap kali diangkat namanya melalui kejayaan hasil dapatan penyelidikan yang dijalankan. Ia bukanlah sesuatu yang asing kerana kerjasama di kalangan para saintis adalah lebih penting agar lebih banyak penemuan baru dan penyelesaian secara saintifik untuk sebarang masalah dapat dicapai.

Namun, hubungan antara sains dan masyarakat adalah kompleks. Hasil dapatan tidak semudah diterjemahkan ke dalam bahasa umum yang boleh difahami dengan jelas. Tetapi, ia tidak bermaksud hasil penyelidikan tidak boleh disampaikan kepada masyarakat. Kerap kali sesuatu penyelidikan yang telah mencapai sebarang bentuk pengiktirafan dari segi kualiti diumumkan kepada masyarakat sebagai hasil akhir yang boleh diwar-warkan kepada umum. Selebihnya, hasil kajian disampaikan untuk pengetahuan para saintis lain di seluruh dunia untuk menambahbaik dan mengukuhkan hasil kajian yang telah diperoleh. Apa yang berlaku dalam sains mempunyai kesan kepada masyarakat. Antara bukti yang ketara dapat dilihat seperti keadaan pandemik yang sedang melanda dunia. Melalui sains, ia dapat membantu masyarakat untuk memahami dan mengatasi pandemik yang berlaku. Keadaan ini sedikit sebanyak menunjukkan kepentingan sains dan dapat menambah pengetahuan saintifik dalam masyarakat.

Menjadi seorang saintis memerlukan pendidikan, kemahiran, dan pengalaman. Apabila menyentuh berkenaan pendidikan, ia merangkumi ilmu pada peringkat yang tinggi. Seorang saintis yang berpengalaman mempunyai sekurang-kurang ijazah kedoktoran falsafah. Melaluinya, mereka didedahkan dengan penyelidikan yang komprehensif dan terperinci sepanjang tempoh pengajian. Kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh seseorang saintis menggambarkan tahap kecemerlangan yang dimiliki. Semakin banyak pengalaman dalam bidang penyelidikan seseorang saintis, semakin tinggi kedudukannya dalam bidang kepakaran yang diceburi. Seorang saintis juga bukan sahaja mampu dalam menjalankan penyelidikan, malah mampu menterjamahkan hasil kajian yang diperoleh dalam bentuk penerbitan agar hasil penemuan dapat dicapai oleh saintis-saintis lain dalam dan luar negara.

Seorang saintis mempunyai kecenderungan yang sama dengan saintis yang lain dalam menjalankan sesuatu penyelidikan iaitu keinginan untuk memperbaiki kehidupan masyarakat serta rasa ingin tahu melalui penyelidikan yang intelektual bagi mendapatkan jawapan. Penemuan saintifik pada abad yang lalu telah banyak memberi jawapan serta penyelesaian kepada masyarakat. Ramai saintis terkenal telah dilahirkan melalui penemuan mereka yang mengkagumkan. Mereka terdiri daripada para saintis Islam dan bukan Islam yang telah mempelopori dunia sains kini. Antara nama-nama saintis Islam terkenal dalam sejarah seperti Ibn Sina, Muhammad ibn Musa Al-Khwarizmi, Abu Bakr Al-Razi dan Jabir Ibn Hayyan. Begitu juga para saintis barat yang terkenal dalam sejarah dengan hasil penemuan mereka seperti Albert Einstein, Isaac Newton, Nikola Tesla dan Galileo Galilei. Walaupun begitu, para saintis zaman moden juga telah ramai dilahirkan dan memenangi hadiah Nobel melalui hasil penemuan mereka yang membanggakan seperti David Baltimore, Shinya Yamanaka, Craig Mello dan Kary Mullis.

Sumbangan para saintis kepada masyarakat telah berlaku sejak berabad dahulu sehingga kini. Kefahaman tentang sains memacu perkembangan teknologi dan memberi pelbagai impak dalam pembangunan sesebuah negara. Berdasarkan kepentingan dan implikasi yang besar kepada masyarakat, peranan para saintis di Malaysia juga perlu diketengahkan dan diperluaskan. Para saintis Malaysia boleh menggunakan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang masing-masing untuk memastikan kemajuan sains serta teknologi agar dapat diuruskan dengan berkesan bagi manfaat semua manusia, seperti mana yang pernah dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Oleh:

Dr Noraziah Nordin, Pensyarah kanan dan Penyelidik, USIM

[Artikel ini kepunyaan Malaysian Medical Gazette. Sebarang terbitan semula (dalam atau luar talian) tanpa izin bertulis daripada Malaysian Medical Gazette adalah dilarang.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box