Tiub Kencing (Urinari Kateter): Apa Yang Perlu Anda Tahu Dan Tatacara Penjagaannya – Harith Baharudin

Closeup of urine bag attached to bed in hospital

Acapkali kita lihat pada warga emas yang mengalami penyakit kronik dan mereka yang dalam keadaaan koma akan dipakaikan dengan tiub bagi mengeluarkan air kencing. Apakah sebenarnya tiub itu? Bagaimanakah fisiologinya dan adakah ia hanya sekadar “tiub kencing”?

Tiub urinari kateter atau dalam bahasa perubatan moden lebih di kenali dengan singkatan “CBD” yang membawa maksud “Continuous Bladder Drainage” merupakan satu tiub khas yang telah disuci hama untuk melakukan sesuatu prosedur perubatan dan juga dalam rawatan beberapa penyakit. Tambahan lagi, umumnya tiub ini datangkan dengan pelbagai variasi saiz dan warna dengan tujuan untuk kegunaan kepada umur dan saiz bukaan “urethra” pesakit. Namun demikian, tiub ini tidak terhad kepada satu jantina sahaja, tetapi boleh digunakan oleh lelaki dan perempuan dari kanak-kanak hingga warga emas yang memerlukan pengunaan tiub ini.

Lazimnya, tiub ini akan dimasukkan ke dalam saluran saluran kencing melalui “urethra” sehingga ke dalam pundi kencing dengan menggunakan teknik steril dan alatan yang sudah disuci hama serta penggunaan bahan pelincir dengan tujuan untuk memudahkan kemasukan tiub dan mengurangkan kesakitan. Selain daripada itu, pengunaan tiub ini lazimnya pada mereka yang menghidap penyakit “Benign Prostate Hyperthrophy” (BPH), jangkitan pada sistem perkumuhan, persediaan sebelum pembedahan major, penyakit jantung kronik dan beberapa penyakit lain yang memerlukan penyukatan dan penyingkiran lebihan cecair dalam badan.

Tambahan lagi, akan terdapat pesakit yang akan senantiasa memerlukan pengunaan tiub ini sepanjang masa dan ada yang hanya bersifat sementara. Ianya adalah bergantung kepada prognosis pesakit terhadap rawatan yang sedang diterima. Namun demikian, seperti yang diketahui umum, kemasukan tiub ini adalah melalui saluran perkumuhan dan bahan buangan kotoran yang tidak diperlukan oleh badan, jadi akan terdapat tatacara penjagaan semasa pemakaian tiub ini bagi mengelakkan komplikasi kepada pesakit.

Antara tatacara penjagaan pemakaian tiub urinari kateter ini adalah :

  1. Penukaran secara berkala. Penukaran secara berkala adalah perlu bagi mengelakkan komplikasi kepada pesakit seperti jangkitan dan sebagainya. Penukaran yang disyorkan adalah selama maximum 2 minggu untuk sekali penukaran.
  1. Kebersihan kawasan persekitaran dan kawasan alat sulit. Ini adalah penting kerana bagi mengelakkan tiub terdedah kepada jangkitan mikrob
  1. Sentiasa memantau keadaan tiub dan cairan kencing. Tiub CBD ini adalah bersifat lutsinar dan cairan urine boleh dilihat menerusi tiub. Perubahan pada keadaan, warna dan bau kencing adalah tanda-tanda terdapat jangkitan pada sistem perkumuhan.
  1. Buang kencing yang terkumpul. Setiap tiub yang dipasang akan disertakan dengan beg khas bagi menyalurkan kencing. Segera membuang kencing jika beg kencing sudah hampir penuh kerana ia boleh meningkatkan risiko jangkitan.
  1. Sukat pengeluaran kencing. Adalah amat penting untuk memantau dengan menyukat jumlah kencing yang keluar dengan menyukat menerusi bag bagi menilai jumlah cecair yang masuk kedalam badan dan yang keluar daripada badan.
  1. Elakkan daripada menarik tiub. Untuk makluman, di hujung tiub terdapat satu “cuff balloon” yang akan dikembangkan dan sangkut dalam pundi kencing bagi mengelakan tiub tercabut dari kawasan yang sepatutnya.
  1. Jangan menukar tiub sendiri. Walaupun prosedur ini tampak mudah, ia nya boleh menyebabkan trauma pada saluran urinari dan jangkitan kerana tidak menggunakan peralatan suci hama dan teknik steril yang betul.
  1. Makan ubat seperti yang di arahkan. Selain bergantung kepada penggunaan tiub bagi mengeluarkan kencing, ubatan yang telah di preskripkan perlulah di ambil bagi membantu prognosis pemyakit yang di hadapi.
  1. Datang segera ke klinik kesihatan ataupun hospital bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika berlaku sesuatu kerosakan pada struktur tiub, keadaan alat sulit, keadaan kencing dan sebagainya.
  1. Makanan-makanan yang  berkhasiat dan tinggi dengan serat. Ia dapat membantu prognosis pesakit di samping melancarkan sistem perkumuhan.

Penggunaan tiub urinari kateter ini mungkin tampak ringkas dan senang, namun demikian, jika tidak dijaga dengan betul, ianya boleh mendatangkan pelbagai komplikasi seperti jangkitan, kerosakan saluran urinari, trauma pada organ dan tisu yang terlibat dan sebagainya.

Sebagai pesakit mahupun waris yang menjaga pesakit yang menggunakan tiub urinari kateter ini, anda perlulah peka dan teliti dan menilai semua perkara di atas bagi menjamin kesihatan yang optimum kepada diri anda mahupun waris. Tambahan pula, kepada kakitangan perubatan termasuk Penolong Pegawai Perubatan (PPP), perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana kesihatan pesakit bergantung kepada empati anda.

Harith Baharudin adalah seorang Penolong Pegawai Perubatan yang bekerja di Jabatan Kecemasan di Melaka.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box