Pengaruh Suplemen dalam Masyarakat: Keperluan atau Salah Guna? – Arif MS

Trend Pengambilan Suplemen Masyarakat Malaysia

Pengambilan suplemen dalam kalangan masyarakat Malaysia agak tinggi. Antara suplemen yang lazim diambil penduduk Malaysia adalah vitamin  C, multivitamin, multimineral dan madu ratu lebah. Menurut tinjauan Malaysian Adult Nutrition Survey pada tahun 2014, 1 daripada 3 orang dewasa di Malaysia mengambil pelbagai jenis suplemen diet. Trend ini dijangka meningkat saban tahun dan terbukti apabila pasaran suplemen kesihatan telah bertumbuh sebanyak lebih kurang 50% daripada RM 2.07 billion pada tahun 2014 kepada RM 3.1 billion pada tahun 2019.

Konsep Suplemen

Bahagian Regulatori Farmasi Negara mendefinisikan suplemen kesihatan sebagai sebarang produk yang diambil secara oral dengan bertujuan sebagai tambahan kepada diet bagi mengekal, memperbaik dan mempertingkat kesihatan fungsi tubuh. Suplemen terbahagi kepada beberapa kategori seperti yang berikut:

Kategori Jenis suplemen
Vitamin & mineral Multivitamin

Multimineral

Vitamin/mineral tunggal (contoh: vitamin C)

 

Pembesar otot Protein wei

Albumin

Asid amino rantai bercabang Arginine Glutamine

 

Peningkat prestasi Kafein

Creatine

Minuman & bar tenaga

L-carnitine

 

Penurun berat badan Laksatif

Diuretik

Produk herba

 

Lain-lain Produk kecantikan herba

 

Faedah Suplemen dengan Tatacara Pengambilan yang Betul.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Insitut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2014, sebab-sebab pengambilan suplemen adalah kerana faktor kesihatan, dipreskrib oleh doktor, meningkatkan tenaga dan kecantikan. Namun begitu, adakah pengambilan suplemen oleh individu benar-benar satu keperluan?

Bagi golongan berisiko tinggi yang tertentu, suplemen memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana, nutrien yang diperoleh daripada pemakanan harian tidak cukup untuk menampung keperluan tubuh badan mereka bagi mengelak atau merawat penyakit. Sebagai contoh:

  • Kalsium dan vitamin D membantu mengekalkan kekuatan tulang dan mengurangkan pereputan tulang bagi pesakit osteoporosis.
  • Folik asid mengurangkan risiko kecacatan kelahiran bagi ibu hamil.
  • Mecobalamin membantu merawat saraf yang rosak bagi pesakit kencing manis.

Bahaya Pengambilan Suplemen Secara Tidak Berhemah

 

Pengambilan suplemen secara tidak berhemah akan membahayakan kesihatan pengguna. Banyak suplemen dalam pasaran mengandungi bahan aktif yang mempunyai kesan yang kuat kepada tubuh badan. Risiko mendapat kesan sampingan pula akan meningkat sekiranya suplemen diambil dalam dos yang tinggi dan pelbagai suplemen diambil dalam satu-satu masa. Sebagai contoh, pengambilan kalsium dan vitamin D yang berlebihan akan meningkatkan risiko penyakit batu karang.

   Selain itu, terdapat juga interaksi antara suplemen dengan ubat-ubatan yang akan mengurangkan keberkesanan ubat-ubatan.Sebagai contoh:

  • Vitamin K mengurangkan keupayaan ubat warfarin untuk mencairkan darah bagi mengelakkan pembentukan darah beku.
  • Suplemen antioksidan seperti vitamin C dan E berupaya mengurangkan keberkesanan kimoterapi untuk rawatan kanser.

Makanan Berkhasiat Sebagai Sumber Utama Nutrien

 

Sebagai kesimpulan, suplemen yang dipreskib oleh doktor bermanfaat kepada golongan yang tertentu seperti ibu hamil, pesakit osteoporosis, kencing manis dan sebagainya. Sekiranya anda tidak tergolong dalam kelompok tersebut, cara yang terbaik untuk mendapatkan nutrien secukupnya adalah melalui makanan yang berkhasiat.

Gambar menunjukkan Pinggan Sihat Malaysia sebagai panduan bagi mendapatkan diet yang seimbang dan berkhasiat.

 

Bagi memastikan pengambilan suplemen secara berhemah, pastikan anda melakukan langkah-langkah yang berikut sebelum mengambil sebarang suplemen:

 

  • Dapatkan nasihat dan kelulusan pakar penjagaan kesihatan anda seperti doktor, ahli farmasi atau pakar dietetik sebelum mengambil suplemen bagi merawat masalah kesihatan.
  • Sebelum mengambil suplemen, dapatkan maklumat daripada pakar penjagaan kesihatan anda bagi menjawab soalan-soalan berikut:
  • Apakah manfaat suplemen kepada anda?
  • Apakah risiko pengambilan suplemen kepada anda?
  • Berapakah dos suplemen yang selamat?
  • Bagaimana, bila dan berapa lama tempoh suplemen tersebut perlu diambil?

Rujukan:

  • Mohd Zaki NA, Rasidi MN, Awaluddin SM et al. Prevalence and Characteristic of Dietary Supplement Users in Malaysia:Data From the Malaysian Adult Nutrition Survey (MANS) 2014. Global Journal of Health Science; Vol. 10, No. 12; 2018 doi: 10.5539/gjhs.v10n12p127
  • S. Department of Health and Human Services. (n.d.). Office of dietary supplements – Dietary Supplements: What You Need to Know. NIH Office of Dietary Supplements. Retrieved June 5, 2022, from https://ods.od.nih.gov/factsheets/WYNTK-Consumer/
  • Is Health Supplement Consumption on The Rise in Malaysia? Vodus Insights. (n.d.). Retrieved June 5, 2022, from https://vodus.com/article/is-health-supplement-consumption-on-the-rise-in-malaysia
  • Do You Need a Daily Supplement? Harvard Health. (2021, February 12). Retrieved June 5, 2022, from https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/do-you-need-a-daily-supplement

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box