Makan dan Hidup Secara Sihat: Perkaitan Pemakanan Sunnah dengan Pemeliharaan Kesihatan Mikrobiom Usus – Nursyarah Humaira’ Shaharuddin, Dr Nuruliza Roslan (PhD) & Faizul Helmi Addnan (PhD)

Jam menunjukkan pukul 4 petang. Perut tiba-tiba berbunyi.

Anda sedang tekun menaip kertas kerja yang perlu diberi esok pukul 8 pagi. Tiba-tiba pintu diketuk dan rakan anda yang baru sahaja balik daripada menunaikan umrah menghulurkan sekotak kecil di mana dalam nya mengandungi beberapa jenis makanan seperti kurma, kismis dan kekacang. Ianya datang pada waktu petang yang sesuai kerana anda baru sahaja terdetik untuk turun ke cafe mencari kudapan minum petang. Semasa merasa nikmatnya hidangan tersebut, pernahkah anda terfikir bagaimana makanan ini sebenarnya memberi manfaat kepada kesihatan mikrobiom usus anda? Bagaimana ianya berinteraksi dengan bertrillion-trillion bakteria dalam perut kita?

Pemakanan sunnah adalah lebih daripada sekadar tradisi, ia sangat berkaitan dengan cara kita menjaga kesihatan. Pemakanan sunnah merupakan sistem/konsep/tatacara yang dikaitkan dengan Junjungan Penghulu bagi para utusan Allah SWT iaitu Rasullullah SAW di dalam aspek pemakanan. Sistem yang menekankan aspek makanan dan minuman yang halal dan toiyyiban, keselamatan makanan,  kesederhanaan pengambilan makanan dan minuman, dan termasuk juga adab-adab berkaitan aspek pemakanan. Makanan sunnah adalah jenama yang dipopularkan dikalangan masyarakat zaman sekarang dan secara operasinya merujuk jenis makanan yang diambil oleh Baginda Rasullullah SAW.

Masyarakat umum biasa mendengar akan penyataan anda adalah apa yang anda makan. Dan apa yang anda makan mempunyai kesan langsung terhadap tubuh dan sistem pencernaan anda. Dalam artikel ini, mari kita meneroka dengan lebih mendalam dari sudut saintifik mengenai hubungan antara amalan pemakanan sunnah, mikrobiom usus, dan konsep “kamu adalah apa yang kamu makan,” serta bagaimana pengetahuan ini boleh memberi impak positif terhadap kesihatan dan kehidupan kita.

  1. Apa itu ‘Gut Microbiome’?

‘Gut Microbiome’ atau dalam bahasa melayu- Mikrobiom usus. Mikrobiom usus merujuk kepada komuniti terdiri daripada pelbagai mikroorganisma daripada ribuan spesies yang berbeza terutamanya bakteria, yang mendiami saluran pencernaan manusia dan juga haiwan lain. Mikrobiom setiap individu adalah unik, dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti genetik, diet, persekitaran, dan gaya hidup. Contoh: Bayi yang dilahirkan melalui pembedahan Caesarean cenderung mempunyai mikrobiom usus yang kurang serupa dengan ibu mereka berbanding dengan bayi yang dilahirkan secara normal.

Gambarajah 1: Jenis-jenis bakteria yang diketahui menghuni dalam sistem usus kita (Sumber: Cresci, G. A., & Izzo, K. (2019). Gut microbiome. In Adult short bowel syndrome (pp. 45-54). Academic Press.)

  1. Adakah ‘Gut Microbiome’ ini baik untuk badan kita?

Komuniti mikrobiom usus di dalam usus pencernaan kita merangkumi mikroorganisma yang baik dan juga mikroorganisma yang berpontensi berbahaya. Namun, dalam tubuh yang sihat kebiasaannya, komuniti mikrobiom usus ini hidup secara simbiotik iaitu saling bergantung antara satu sama lain. Hubungan simbiotik yang seimbang tidak akan memberi bahaya kepada tubuh badan kita. Hubungan simbiotik ini boleh terganggu apabila terdapat unsur luar yang menggugat keseimbangan komuniti tersebut. Ia boleh berlaku disebabkan beberapa faktor seperti jangkitan penyakit, amalam diet pemakanan tertentu, atau pengambilan antibiotik atau ubat-ubatan lain yang membunuh makhluk hidup ini. Apabila keseimbangan terganggu, ia disebut sebagai “dysbiosis”. Semasa dysbiosis, mikororganisma ini tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan baik, dan ini boleh membuat tubuh badan lebih terdedah kepada penyakit.

Gambarajah 2: Faktor-faktor yang dikatakan boleh mempengaruhi jenis bakteria dalam mikrobiom usus kita. (Sumber: Cresci, G. A., & Izzo, K. (2019). Gut microbiome. In Adult short bowel syndrome (pp. 45-54). Academic Press.)

  1. Apa fungsi ‘Gut microbiome’ di dalam perut.

Mikrobiom usus memainkan beberapa peranan penting dalam tubuh manusia:

  • Membantu pencernaan makanan: bakteria yang hidup dalam usus kita boleh menukarkan makanan yang tidak dapat cerna oleh usus seperti serat makanan dan bahan lendir dalam usus manusia menjadi bahan yang berguna. Proses ini menghasilkan bahan yang dipanggil asid lemak rantai pendek (SCFA) dan gas. Antara jenis SCFA yang dihasilkan ialah acetate, propionate, dan butyrate.
  • Mengawal metabolisme dan berat badan: Terdapat kajian yang telah menunjukkan bahawa jumlah kandungan SCFA dalam tubuh badan terutamanya butyrate dan propoinate, berkait rapat dengan pengurangan risiko obesiti dan kawalan gula dalam darah yang lebih baik. SFCA juga mempengaruhi hormon dalam perut yang mengawal rasa lapar atau kenyang.

Selain itu, kebanyakan kajian mengenai individu yang mengalami berat badan berlebihan dan obesiti menunjukkan adanya dysbiosis yang disebabkan oleh kepelbagaian komuniti mikororganisma yang lebih rendah di dalam usus.

  • Pengaruh kesihatan mental dan fungsi otak: Penyelidikan terkini menunjukkan hubungan kuat antara usus dan otak, sering dirujuk sebagai paksi usus-otak. Bakteria usus boleh mempengaruhi mood, tahap stres, dan fungsi kognitif.

Eksperimen haiwan dan bukti klinikal telah menunjukkan bahawa mikrobiom usus boleh mempengaruhi emosi dan tindakan hos dengan menghasilkan metabolit dan neurotransmiter. Contoh:

  • Lactobacillus reuteri meningkatkan interaksi sosial dengan meningkatkan tahap oksitosin dalam salur darah dan otak.
  • Lactobacillus rhamnosus didapati menghasilkan GABA (gamma-aminobutyric acid) dan mengawal reseptornya dalam sistem saraf pusat (CNS). Ini membantu mengurangkan gejala kemurungan dan anxiety.
  • Perlindungan Terhadap Penyakit Radang: Mikrobiom usus yang seimbang boleh membantu mengurangkan keradangan dalam tubuh, yang berkait rapat dengan pelbagai penyakit kronik seperti penyakit radang usus, diabetes, dan penyakit jantung.
  1. Bagaimana pemakanan harian kita memberi kesan kepada fungsi “gut microbiome”.

 

  • Pemanis Berintensiti Tinggi dan Bahan Tambahan Makanan: Beberapa kajian haiwan menunjukkan bahawa pemanis-pemanis seperti sucralose, aspartame, dan saccharin mungkin mengganggu keseimbangan dan kepelbagaian mikrobiom usus dan juga meningkatkan keradangan.
  • Emulsifier: Emulsifier (bahan penstabil), yang biasa terdapat dalam makanan yang telah diproses, juga terbukti mempengaruhi mikrobiota usus dalam haiwan. Dalam kajian haiwan, tikus yang diberi emulsifier tertentu mengalami pengurangan kepelbagaian mikrobiom dan perubahan dalam jenis bakteria dalam usus mereka.

Pilihan Diet:

  • Diet vegan boleh mengakibatkan perbezaan dalam metabolit yang dihasilkan oleh mikrobiom usus, tetapi kesan terhadap komuniti bakteria usus adalah sedikit. Diet vegan terbukti meningkatkan komuniti microbiom di dalam usus manusia. Kandungan fiber yang tinggi yang terkandung dalam diet vegan, mengakibatkan penghasilan metabolit sperti SCFA melalui proses fermentasi oleh microbiom usus.
  • Diet bebas gluten, walaupun bermanfaat bagi mereka yang sensitif terhadap gluten atau penyakit celiac tetapi mungkin mempunyai kesan negatif terhadap mikrobiom usus dalam individu yang sihat.
  • Diet tinggi protin (High-protein diet) berpotensi untuk memberikan kesan negatif kepada microbiom, seterusnya kepada status kesihatan tubuh badan hos. Kajian telah menunjukkan pengambilan diet tinggi protein ini mengakibatkan pengurangan jumlah bakteria yang menghasilkan metabolit proprionate and butyrate. Antara lain, berlaku pertambahan bakteria-bakteria yang diakitkan dengan penyakit, dan berlaku pengurangan bakteria-bakteria yang bermanfaat. Anara bakteria-bakteria yang menunjukkan pertambahan bilangan seperti Bacteroides dan Parabacteroides, adalah sangat berkait dengan proses pembentukan tumor dan kanser kolon.
  • Diet tinggi lemak (High-fat diet) merupakan antara faktor utama berlakunya peningkatan kadar obesiti di dunia. Banyak kajian telah mendapati diet tinggi lemak ini menyebabkan disbiosis, dan disbiosis ini memberi kesan terhadap epidemik obesiti. Diet tinggi lemak ini menyebabkan berlakunya pengurangan Bacteroidetes and peningkatan Firmicutes, dan perubahan bakteria ini di dalam usus manusia telah dikaitkan dengan keadaan obesiti dan perkembangan penyakit-penyakit yang kronik.
  • Ubat-ubatan: Ubat-ubatan, seperti laksatif osmotik, progesteron dan antibiotik, boleh mempengaruhi komposisi mikrobiom usus dengan ketara.
  • Amalan Berpuasa: Penganut Islam berpuasa wajib di dalam bulan Ramadan. Puasa-puasa sunat juga dipraktikkan oleh sebilangan penganut Islam, jenis puasa sunat ini termasuklah puasa 6 hari Syawal, 10 hari pertama Zulhijjah, puasa hari Isnin dan Khamis, puasa hari-hari putih dalam bulan Islam (13,14 & 15 haribulan). Kajian terkini yang dijalankan pada tahun 2021 telah menunjukkan amalan puasa wajib selama sebulan oleh penganut Islam memberikan kesan yang positif terhadap microbiom usus. Pasukan penyelidik mendapati jumlah kepelbagaian microbiome usus meningkat, berlaku peningkatan bacteria Lachnospiraceae, dan seterusnya penghasilan metabolit butyrate. Hasil dapatan ini memperjelaskan tentang bagaimana amalan berpuasa (intermittent fasting) memberikan kesan yang baik terhadap status kesihatan.
  1. Cara menjaga pemakanan mengikut Sunnah Rasulullah

 

  • Makan bijirin penuh

Rasulullah SAW memakan roti yang dihasilkan menggunakan barli yang belum diproses. Hal ini kerana, bijirin yang tidak diproses mengandungi banyak serat dan karbohidrat yang bermanfaat seperti beta-glukan, yang dicernakan oleh bakteria dalam usus untuk memberikan manfaat kepada berat badan, risiko kanser, diabetes, dan masalah kesihatan lain.

  • Makan makanan probiotik

Probiotik merupakan mikroorganisma hidup yang apabila diberikan dalam jumlah yang mencukupi, memberikan manfaat kesihatan kepada hos. Produk tenusu seperti keju dan susu adalah antara makanan probiotik yang diambil oleh Rasulullah. Makanan tenusu ini mengandungi bakteria yang baik yang boleh membantu mengembalikan keadaan usus menjadi sihat selepas berlaku dysbiosis.

  • Makan makanan prebiotik

Prebiotik adalah jenis serat yang merangsang pertumbuhan bakteria yang sihat. Prebiotik ini membekalkan ‘makanan’ kepada bakteria untuk hidup, dan seterunya memberikan kesan yang baik terhadap kepelbagaian microbiom dan jumlah microbiom. Antara makanan yang dikategorikan sebagai prebiotik yang diamalkan oleh Rasulullah ialah kurma, madu dan minyak zaitun.

  • Makan secara bersederhana

Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (No. 5416) dan Muslim (No. 2970), Daripada Aisyah RA berkata:” Sejak datang ke Madinah sehingga sampai saat Baginda SAW wafat, keluarga Nabi Muhammad SAW tidak pernah memakan roti dari tepung gandum sehingga kenyang selama tiga hari berturut-turut.”

Hadith ini menyarankan kepada kita untuk tidak mengambil pemakanan secara berlebihan walaupun makanan tersebut baik untuk tubuh badan. Antara hikmah akan perbuatan makan secara bersederhana ini termasuklah untuk menjaga keharmonian keseimbangan komuniti mikriobiom usus didalam badan kita yang boleh membawa ke arah dysbiosis.

Kesimpulan

Pengambilan makanan yang tidak sihat dan juga tidak seimbang boleh memberikan kesan negatif terhadap kesihatan tubuh badan kita terumatanya kepada mikrobiom usus kita. Apabila keseimbangan fungsi mikrobiom usus terjejas, pelbagai penyakit sama ada dari segi mental dan fizikal akan timbul. Oleh itu, sebagai umat Islam, kita perlulah  menjaga pemakanan kita dengan mencontohi sunnah Rasulullah SAW untuk mengelakkan tubuh badan dari mengalami gejala penyakit. Rasulullah amat menyarankan umatnya untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Jika seseorang itu sihat dan kuat, dia dapat bekerja, menyara keluarganya, dan memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Kesihatan adalah faktor penting yang membolehkan seseorang itu menjalankan tanggungjawabnya dalam kehidupan dunia dan agama dengan baik. Sabda Rasulullah SAW: Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada seorang mukmin yang lemah dan dalam kedua-duanya itu terdapat kebaikan. Bersungguh-sungguhlah terhadap sesuatu yang bermanfaat bagimu dan jangan lemah semangat,” (Hadis riwayat Ibn Majah no. 4158).

Rujukan:

‌Gwak MG, Chang SY. Gut-Brain Connection: Microbiome, Gut Barrier, and Environmental Sensors. Immune Netw. 2021 Jun;21(3):e20. https://doi.org/10.4110/in.2021.21.e20

Jovel, J., Dieleman, L. A., Kao, D., Mason, A. L., & Wine, E. (2018). The Human Gut Microbiome in Health and Disease. Elsevier EBooks, 197–213. https://doi.org/10.1016/b978-0-08-102268-9.00010-0

Syakimah, W. (2018, July 2). Makanan Sunnah – PORTAL MyHEALTH. PORTAL MyHEALTH. http://www.myhealth.gov.my/makanan-sunnah/

Valdes, A. M., Walter, J., Segal, E., & Spector, T. D. (2018). Role of the gut microbiota in nutrition and health. BMJ, k2179–k2179. https://doi.org/10.1136/bmj.k2179

Artikel ini ditulis oleh:

 

Nursyarah Humaira’ Shaharuddin

Sarjana Muda Pengajian Islam dan Sains, Akademi Pengajian Islam, UM

Institut Sains Islam, USIM

 

Nuruliza Roslan (PhD),

Timbalan Dekan, Institut Sains Islam, USIM

Penyelidik Kanser Biologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM

 

Faizul Helmi Addnan (PhD)

Pensyarah Kanan

Penyelidik Nutrisi Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box